Pemimpin

“Kepimpinan” ialah perkataan terbitan daripada “pimpin”. Pimpin bererti bimbing, pandu atau tunjuk. Memimpin diberi erti sebagai memegang tangan dan membawa berjalan menuju ke sesuatu tempat. Kepimpinan membawa erti “keupayaan memimpin” dan “kepemimpinan” pula “keupayaan sebagai pemimpin, daya seseorang pemimpin” (Kamus Dewan 1994).Kepimpinan merupakan satu subjek yang menarik kepada semua golongan masyarakat. Kepimpinan memberi gambaran individu yang berkuasa dan dinamik, yang memerintah tentera atau mengarah empayar korporat. Sejarah manusia penuh dengan pemimpin tentera, politik, agama dan sosial. Perjuangan pemimpin yang berani dan bijaksana menjadi intipati legenda dan mitos.

Persoalan yang selalu timbul ialah kenapa sesetengah pemimpin menyemarakkan semangat dan kesetiaan yang begitu tinggi dan membawa organisasi mereka ke mercu kecemerlangan. Walaupun persoalan ini telah lama menjadi subjek perbahasan, penyelidikan ke atasnya baru dimulakan dalam abad ini. Malah di negara kita penyelidikan tentang kepimpinan baru dimulakan. Tumpuan penyelidikan adalah pada faktor penentu keberkesanan pemimpin dan kepimpinan. Ahli sains perilaku manusia cuba mengkaji ciri-ciri pemimpin dan kepimpinan, perilaku, sumber kuasa atau aspek persekitaran menentukan pengaruh pemimpin ke atas pengikut dan mencapai objektif mereka.

3.2 Teori Kepimpinan

Banyak telah ditulis tentang kepimpinan. Terdapat tiga aliran atau pendekatan untuk menerangkan fenomena keberkesanan pemimpin. Pendekatan pertama, teori sifat, cuba mencari sifat-sifat sahsiah (personaliti) sejagat. Diandaikan bahawa pemimpin mempunyai sifat-sifat yang tidak dipunyai oleh bukan pemimpin. Pendekatan kedua, teori perilaku, cuba menghuraikan kepimpinan melalui perilaku orang yang memimpin. Kedua-dua pendekatan ini didapati kurang memuaskan. Pendekatan ketiga, teori kontingensi, mencadangkan model kontingensi untuk mengatasi kelemahan pendekatan terdahulu dan mengambil kira penemuan penyelidikan.

3.2.1 Teori Sifat

Teori ini berasaskan andaian bahawa pemimpin mempunyai sifat-sifat sahsiah, sosial, fizikal, atau intelektual yang berbeza daripada bukan pemimpin. Senarai sifat ini termasuk: kecerdasan, karisma, ketegasan, ketekunan, kekuatan, keberanian, kejujuran, kesabaran, keyakinan diri, dan lain-lain.

Bolehkah kita bezakan sifat-sifat yang dimiliki oleh pemimpin terkenal seperti Nabi Muhammad s.a.w., Winston Churchill, Martin Luther King, John F. Kennedy, Sukarno, Nasser, Lee laococca, Margaret Thatcher, Tunku Abdul Rahman, Dr. Mahathir Mohamad, Lee Kuan Yew dan Ted Turner, umpamanya? Mereka ini memenuhi takrifan kita sebagai pemimpin tetapi mereka mempunyai ciri-ciri yang sungguh berbeza. Penyelidikan menunjukkan 80 sifat kepimpinan telah disenaraikan, tetapi cuma sebahagian kecil daripada ciri-ciri itu yang dikongsi bersama. Jika teori ini diterima, kesimpulan yang boleh dibuat ialah kepimpinan adalah kebolehan semula jadi.

PROFESOR MOHAMED SULAIMAN
Profesor dalam bidang Pengurusan
USM

Leave a Reply