Blog

Sila cek result Ramadhan anda!

Label: Irsyad-Nasihat
Dicatat oleh Abu Haseef

Rasulullah SAW bersabda;
رب صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
“Boleh jadi orang yang berpuasa namun ia tak mendapatkan apa-apa dari puasanya selain lapar dan dahaga.” (Musnad al-Syihab)

Ungkapan Nabi SAW di atas merupakan isyarat bahawa wujud kalangan orang yang berpuasa Ramadhan itu, walaupun mereka tidak makan, minum, dan berhubungan badan atau melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, tetapi result puasanya GAGAL.

Untuk menyemak result puasa kita sama ada GAGAL atau tidak, mungkin kita boleh lihat kepada senarai di bawah;

Pertama, ketika seseorang berpuasa tapi gagal memenuhi target walaupun satu kali khatam al-Qur’an di bulan Ramadhan tanpa apa-apa keuzuran yang munasabah. Imam Syafi’i merupakan salah satu contoh tokoh yang berjaya dalam bulan Ramadhan. Bukan satu atau dua kali khatam al-Qur’an, beliau mengkhatamkannya sebanyak enam puluh kali dalam bulan Ramadhan.

Dr. A’id Abdullah al-Qarni menceritakan keadaan rumah para salafussaleh di bulan Ramadhan. Suara lantunan al-Qur’an sentiasa bergema ibarat gema lebah. “Mereka membaca al-Qur’an dengan tartil, memperhatikan keajaiban-keajaiban isinya, menangisi amaran-amaran yang terdapat di dalamnya, berbahagia dengan berita gembiranya, saling menyuruh dengan perintah-perintahnya, dan saling mencegah dengan larangan-larangannya”, tulisnya.

Selain dari itu, Ibn Taimiyah pernah mengatakan, “Sesiapa yang tidak membaca al-Qur’an, ia telah meninggalkan al-Qur’an, sesiapa yang membaca al-Qur’an tetapi tidak merenungi kandungan-kandungan maknanya bererti ia juga telah meninggalkan al-Qur’an, dan sesiapa yang membaca al-Qur’an serta merenunginya namun isinya tidak diamalkan, sama sahaja ia telah meninggalkan al-Qur’an”.

Jika membaca dan berusaha mengkhatamkan al-Qur’an pada bulan Ramadhan pun gagal dilaksanakan, apatah lagi membacanya pada bulan-bulan lain? Apa lagi untuk mengamalkan isi kandungannya?

Kedua, ketika seseorang berpuasa tetapi gagal memelihara anggota tubuh dan pancainderanya dari maksiat serta penyimpangan. Salah satu hikmah berpuasa seperti yang disebutkan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi adalah sebagai tarbiyah (pendidikan) bagi kemahuan, perang terhadap hawa nafsu yang negatif dan hal-hal tabiat buruk yang telah menjadi tradisi, serta melazimkan kesabaran.

Berpuasa perut tanpa puasa anggota tubuh tentunya hanya memperoleh kepayahan fizikal semata namun kosong daripada hikmah dan tarbiyah. Yang terbaik adalah bagaimana puasa yang dilakukan betul-betul mengandungi kebersamaan, antara menahan diri makan, minum, berhubungan badan, dan pada masa yang sama mempuasakan anggota tubuh dari penyimpangan: hati dari penyakit-penyakitnya; lidah dari mengeluarkan kata-kata dusta, fitnah dan biadab; mata dari pandangan yang tak halal; tangan dari merampas hak orang lain; telinga dari mendengar perkataan kotor; nyanyian-nyanyian seronok yang menaikkan nafsu; dan kaki dari melangkah ke tempat-tempat yang tidak baik.

Jika ketika berpuasa di bulan Ramadhan pun gagal menahan diri daripada maksiat dan kejahatan, maka bagaimana pula ketika tidak berpuasa dan di luar Ramadhan?

Ketiga, saat malam-malamnya tidak dihidupkan dengan ibadah. Malam-malam Ramadhan adalah waku yang sangat tepat untuk meningkatkan volume ibadah. Setelah beribadah menahan diri dari segala hal yang dilarang ketika berpuasa di siang hari, maka di waktu malam dihidupkan dengan pelbagai perbuatan terpuji.

Melepak, berbual kosong dan menonton TV merupakan kebiasaan yang dilakukan oleh sebahagian kaum Muslim. Mereka menghabiskan malam-malam dengan bicara tanpa manfaat, merokok, bercengkerama hingga larut malam sambil menghabiskan malam tanpa diisi dengan ibadah untuk meningkatkan ketaqwaan.

Jika di dalam Ramadhan pun malam-malamnya dipersia-siakan, maka bagaimana pula malam-malam di luar Ramadhan?

Keempat, ketika berbuka puasa menjadi saat untuk “membalas dendam”. Berbuka puasa sering dijadikan kesempatan “membayar hutang” makan dan minum di siang berpuasa. Semua makanan dan minuman dilahap untuk menggantikan “tunggakan” sebelumnya. Jika ini yang terjadi, lalu di mana letaknya pengajaran menahan diri dari MENURUTI HAWA NAFSU.

Tidak menjadikan buka puasa sebagai balas dendam, membuat jiwa terkawal, hati akan menjadi sibuk memikirkan hal-hal yang baik, dan orang yang berkemampuan akan semakin sedar bahawa dirinya telah diberi nikmat yang begitu banyak berbanding orang fakir, miskin, dan anak yatim piatu yang sering menahan lapar dan dahaga.

Sebahagian kaum salaf pernah ditanya, “Mengapa puasa itu disyariatkan oleh Allah?” Mereka menjawab, “Puasa disyari’atkan supaya orang yang kaya pun dapat merasakan pedihnya rasa lapar sehingga mereka tidak melupakan orang-orang yang kelaparan”.

Jika di bulan puasa pun nafsu makan dan hikmah meraikan orang fakir miskin tidak mampu dihayati, bagaimanalah keadaannya di luar Ramadhan?

Kelima, ketika Ramadhan tidak dioptimumkan dengan infak dan sedekah. Di bulan Ramadhan, dianjurkan untuk lebih memperbanyak sedekah dan infak. Ramadhan sendiri disebut juga sebagai syahrul juud iaitu bulan kedermawanan. Rasulullah mengatakan bahawa, “Sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan ramadhan”. (Riwayat al-Tirmizi)

Jika di bulan Ramadhan pun payah nak bersedekah, bagaimanalah agaknya di luar Ramadhan?

Keenam, seseorang juga dianggap GAGAL Ramadhan jika lebih sibuk membekalkan keperluan lebaran berbanding memenuhi bekalan amal soleh khususnya di 10 malam terakhir Ramadhan.

Sedangkan Nabi SAW dan para sahabatnya menjadi semakin aktif dan giat menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf di masjid, melipatgandakan ibadah, berzikir, memburu malam Lailatul Qadar, dan merasakan kesedihan luar biasa kerana sebentar lagi akan berpisah dengan bulan Ramadhan.

Ummul Mukminin, A’isyah r.a menceritakan tentang keadaan Rasulullah SAW ketika sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan: “Adalah Nabi SAW ketika memasuki sepuluh hari yang terakhir di bulan Ramadhan, maka beliau mengikat kainnya, menghidupkan malamnya, dan membangunkan keluarganya.” (Riwayat al-Bukhari)

Jika tawaran sehebat malam Lailatul Qadar pun tidak dipedulikan, inikan pula ibadah-ibadah sedia ada yang wujud di luar dan di dalam Ramadhan, sudah tentu tidak pernah dipedulikan.

Ketujuh, ketika Idul Fitri menjelang, ia disambut seolah-olah hari kebebasan dari “penjara”. Ramadhan dianggap sebagai penjara dan penghalang untuk melakukan perkara-perkara yang menyimpang. Sehingga apabila keluar sahaja daripada Ramadhan, terasa seperti seorang ‘banduan’ yang menghirup udara kebebasan untuk melakukan apa saja yang diinginkannya. Keadaan ini berlaku kerana selama berpuasa, dia tidak mengikuti adab, tata cara dan jahil dengan hikmah dan tawaran hebat yang wujud dalam bulan itu.

Jika Ramadhan yang merupakan penghulu segala bulan pun tidak tahu dihargai malah dibenci, maka bagaimanakah keadaan imannya di bulan-bulan lain?

Kelapan, tiada tindakan susulan setelah keluar dari Ramadhan. Inilah tanda paling nyata akan kegagalan dalam ‘pertandingan’ Ramadhan. Seseorang itu langsung tidak meneruskan dan mempertahankan taqarrubnya dengan Allah. Seolah-oleh tuhan itu hanya ada di bulan Ramadhan, hilang Ramadhan maka hilanglah segala amal kebajikan, amal ibadah, perintah dan larangan, dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Jika ini berlaku, maka tiadalah beza baginya sama ada Ramadhan itu wujud atau tidak kerana keadaan dirinya akan tetap kembali kepada asal kebiasaannya.

Semoga penulis dan anda semua tidak tergolong kalangan mereka yang GAGAL pada Ramadhan kali ini, sebaliknya LULUS walaupun dengan tahap yang beza-beza. Apa yang penting, moga Syawwal benar-benar menjadi hari kemenangan buat kita semua. Banyakkan takbir dan tahmid kehadrat Allah dan jangan lupa ucapkan “TAQABBALALLAAHU MINNAA WA MINKUM” (SEMOGA ALLAH MENERIMA AMAL IBADAH RAMADHAN DARI SAYA DAN KAMU) setiap kali bertemu sesama saudara seislam kita di Idulfitri nanti.

Wallahu a’lam.

Categories: Knowledge | Leave a comment

PRA, SEMASA DAN PASCA RAMADAN

Pra Ramadhan
hamba taqwa memenuhi beberapa saf rumahMu
Semasa Ramadhan
hamba taqwa dan hamba ikut-ikutan memenuhi rumahMu pada setiap ruang
Pasca Ramadhan
hamba taqwa memenuhi beberapa saf, hamba ikut-ikutan keluar dari saf

Itulah pentunjuk samada kita kita hamba taqwa atau hamba ikut-ikutan

Categories: Knowledge | Leave a comment

Amalan Harian Yang Perlu Dijaga Secara Istiqamah

by Ahmad Sanusi Husain (Malaysia) on Wednesday, September 8, 2010 at 12:48am

Amalan Harian Yang Perlu Dijaga Secara Istiqamah:

1. Solat Tahajud di waktu ¾ malam sekurang-kurangnya 2 rakaat & solat sunat Witir sekurang-kurangnya 1 rakaat sebelum masuk waktu Subuh- Tahajjud merupakan jalan orang-orang yang soleh, amalan para Nabi dan Wali-wali Allah yang terdahulu. Jangan ditinggalkan.

2. Selepas Subuh, zikir 300pagi {100x [tasbih,tahmid dan takbir], 100x selawat & 100x istighfar}. Zikir sangat penting kerana semasa kedatangan DAJJAL hanya zikir sebagai sumber makanan dan minuman. Hanya orang yang benar-benar jaga zikir shj mempunyai sumber makanan dan minuman pada waktu itu. Selainnya akan mengikut DAJJAL untuk mendapat makanan dan minuman.

3. Kemudian bacalah surah Yasin- Allah janji segala hajatnya pada hari itu akan dipenuhi.

4. Kemudian selepas 26 min naik matahari, solat sunat Isyraq 4 rakaat- Allah janji akan menolong kamu menyempurnakan segala urusanmu pada hari itu.

5. Kemudian solat sunat Dhuha, boleh dilakukan bermula 20 minit selapas Isyraq (di antara jam 8-12 tghari). Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mengerjakan solat Dhuha 2 rakaat, dia tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yg lalai dan lupa.” Solat Dhuha juga memudahkan urusan dan memberkati rezeki.

6. Selepas solat Zohor, bacalah surah Ar-Rahman- Nabi SAW bersabda: “Segala sesuatu itu mempunyai mempelai, dan mempelai bagi Al-Quran adalah surah Ar-Rahman.” Surah Ar-Rahman menanam sifat syukur di dalam hati atas nikmat-nikmat Allah dan dengan amalan membaca Surah Ar-Rahman juga sangat baik untuk meningkatkan kecerdasan otak.

7. Selepas solat fardhu Asar, zikir 300 petang, {100x [tasbih,tahmid dan takbir], 100x selawat & 100x istighfar}

8. Kemudian baca Surah An-Naba’ – Nabi SAW bersabda: “ Jika kamu tahu fadhilat dan besarnya pahala membaca surah An-Naba’, maka kamu akan berhenti daripada tugas-tugas kamu, lalu mempelajari surah tersebut dan mendekatkan diri kepada Allah dengan membacanya. Sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang mengamalkan membacanya selain dosa syirik.”

9. Selepas solat Maghrib, solat sunat Auwabin-Allah janji akan memberi keampunan terhadap dosa-dosa melainkan dosa syirik kepadaNya.

10. Kemudian bacalah surah Al-Waqiah-Allah janji sesiapa yang istiqamah mengamalkannya pada setiap malam, kebuluran & kemiskinan tidak akan menemuinya.

11. Selepas Isya’ bacalah surah Al-Mulk-Allah janji akan memelihara daripada azab kubur. Nabi SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca surah Al-Mulk dan surah As-Sajdah.

12. Setiap malam bacalah Ayatul Kursi dan “Amanar-Rasul” hingga habis. Sangat-sangat penting untuk melindung diri daripada pengaruh syaitan dan kejahatan

13. Sebelum tidur, solat sunat Taubat dan tidur beradab seperti mana Nabi SAW tunjuk ajar.

14. Setiap malam apabila hendak tidur, Muhasabah diri, pohonlah keampunanmu kpd Allah diatas dosa-dosa dan bagi setiap amalan yang baik, nyatakan kesyukuranmu kepada Allah.

15. Sebelum tidur fikirkan dan renunglah(muqarabah) juga mengenai mati dan peristiwa-peristiwa selepas maut. Muqaraba adalah perlu untuk membentuk sifat Taqwa.

16. Setiap hari bacalah al-Quran (Tilawatul Quran) walaupun hanya satu ‘ain’. Latihan tilawah sangat memberi kesan kepada hati. Hati yang tidak ada al-Quran seumpama hati yang mati. Pembacaan Al-Quran janganlah ditinggalkan. Hak Al-Quran adalh perlu dikatamkan dua kali setiap tahun.

17. Setiap pagi Jumaat bacalah surah Al-Kahfi, kalau tak mampu habiskan seluruh surah, bacalah seberapa banyak yang boleh- Allah janji ‘cahaya’ di hari kiamat dan diampunkannya diantara dua Jumaat. Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya drpd bawah kakinya hingga ke langit.’

18. Hendaklah hati & lidah sentiasa sibuk dengan berzikir didalam apa jua kegiatan sama ada berjalan, duduk atau bekerja. Berzikirlah ‘Lailahailallah’ sebagai amalan tetap dan berkekalan.

19. Puasa sunat Isnin & Khamis, juga puasa sunat pada hari-hari yang digalakkan dalam Islam. Untuk puasa-puasa sunat, mintalah keizinan daripada suami-suami kamu.

20. Cubalah sedaya-upaya berada dalam keadaan berwudhu’. Sabda Nabi SAW: ‘Wudhu’ adalah senjata orang-orang mukmin.’ Faedah wudhu’ sangat besar.

21. Tatkala Haid, jangan tinggalkan zikrullah. Meninggalkan zikir akan mengeraskan hati dan melayukan cahaya rohaniah bagi hati.

22. Tetaplah dengan usaha kamu melawan hawa nafsu. Jagalah mata, telinga, lidah dan hati. Mengumpat dan mengata-ngata orang lain adalah bencana yang sangat besar. Ia menghapuskan dan melenyapkan pahala dan kesan ibadat.

Categories: Knowledge | Leave a comment

Pelbagai pandangan tentang solat wusta

ELIHARALAH kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. (al-Baqarah: 238)

SYEIKH al-Maraghi berkata: Dua ayat terdahulu membahaskan berkenaan dengan hukum, sebahagiannya berkaitan ibadat dan sebahagian yang lain berkaitan muamalat. Kedua-duanya berakhir dengan penerangan daripada jalan atau cara yang utuh dan teguh dalam bermuamalah antara suami isteri. Telah menjadi sunah al-Quran bahawa diikuti hukum dengan perintah supaya bertakwa kepada Allah.

Memberi peringatan dengan ilmunya berkenaan dengan hal hamba-hambanya dan apa yang disediakan bagi mereka daripada balasan atas amalan sehingga penguasaan agama ke atas nafsu dan melahirkan keikhlasan.

Namun, tabiat nafsu kadang-kadang lalai daripada peringatan dengan kesibukan hidup atau mendapat nikmat kelazatan yang menyebabkan mereka menyimpang daripada jalan kebenaran petunjuk sehingga akhirnya berpecah.

Daripadai sini amat perlu kepada pemberi peringatan membentuk roh sehingga membuang sifat kebendaan atau material semata-mata.

Seterusnya dihadapkan supaya bermuraqabah kepada Allah dengan cara membersihkan daripada segala najis dan kotoran sehingga terangkat daripada perlakuan yang tidak baik dan cenderung kepada keadilan dan ihsan. Peringatan tersebut ialah solat yang dapat mencegah sebarang kemungkaran dan percakapan buruk.

Firman Allah s.w.t: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu.

Ibn al-Arabi berkata: perkataan muhafazah bermaksud berterusan dan tekun melakukan sesuatu iaitu dengan cara bersungguh-sungguh melakukannya serta berhati-hati agar tidak mempersiakan keseluruhan atau sebahagiannya. Memelihara sesuatu bererti memelihara seluruh juzuk dan sifatnya.

Contohnya surat yang ditulis oleh Umar: Barang siapa yang menyimpannya dan memeliharanya bererti dia telah menjaga agamanya.

Sayid Qutub berkata: Dalam ayat ini diperintahkan supaya dipeliharakan semua solat, iaitu mendirikannya di dalam waktu-waktunya masing-masing dan menyempurnakan segala rukun dan segala syaratnya.

Firman Allah: khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar). Adapun solat wusta maka mengikut pendapat yang rajih yang dipilih dari pelbagai riwayat ialah solat asar kerana Rasulullah s.a.w bersabda pada hari peperangan al-Ahzab: Mereka telah menghalangi kita daripada solat wusta, iaitu solat Asar. Allah penuhkan hati dan rumah mereka dengan api neraka! (riwayat Muslim)

Tujuan beliau menyebut solat asar secara khusus mungkin kerana waktunya datang selepas tidur tengah hari yang mungkin terluput dikerjakan oleh seseorang.

Suka dinyatakan kenapa dinamakan solat wusta?

Ibn al-Arabi mengemukakan tiga andaian:

- Ia diambil daripada perkataan al-wasat yang bermaksud saksama, terbaik dan mempunyai kelebihan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai Muhammad) satu umat pilihan lagi adil.

Dan firman Allah lagi dalam surah al-Qalam, ayat 28 yang bermaksud: Bukankah aku telah katakan kepada kamu (semasa hendak menghampakan orang kafir miskin daripada habuannya): Amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah s.w.t (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu)?

Dalam kedua-dua ayat ini, perkataan tersebut merujuk kepada makna ‘yang terbaik’.

- Ia bermaksud pertengahan dari segi bilangan kerana ia adalah solat yang berada di tengah-tengah antara solat lima waktu.

- Ia bermaksud pertengahan waktu.

Ibn al-Qasim berkata, Malik berkata: Solat subuh ialah solat wusta kerana solat zuhur dan asar pada waktu siang dan solat maghrib dan isyak pada waktu malam, sedangkan subuh berada antaranya dan ia solat yang paling sikit kadarnya.

Solat zuhur dan asar boleh dijamakkan, begitu juga maghrib dan isyak boleh dijamakkan sedangkan solat subuh tidak boleh dijamakkan dengan mana-mana solat pun. Ia juga solat yang ramai orang terluput kerana tertidur.

Pandangan yang sama disebut oleh Zaid bin Aslam. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa solat subuh ialah solat wusta kerana dikerjakan antara kegelapan malam dan kecerahan siang. Di samping itu kerap kali manusia terluput mengerjakannya. Ibn Abbas juga berkata: Setelah membaca qunut dalam solat subuh, inilah solat wusta.

Secara ringkasnya dinukilkan tujuh pendapat tentang apakah solat yang terbaik itu:

- Pertama: Solat zuhur seperti pendapat Zaid bin Thabit.

- Kedua: Solat asar seperti pendapat Ali dalam satu riwayatnya.

- Ketiga: Solat maghrib seperti kata al-Barra’.

- Keempat: Solat isyak.

- Kelima: Solat subuh seperti pendapat Ibn Abbas, Ibn Umar, Abu Umamah dan riwayat yang sahih daripada Ali.

- Keenam: Solat jumaat.

- Ketujuh: Ia adalah solat yang tidak ditentukan.

Firman Allah: …dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Mungkin pendapat yang rajih bahawa yang dimaksudkan dengan qanitina dalam ayat ini ialah khusyuk dan menumpukan ingatan kepada Allah di dalam solat. Kerana dahulu mereka pernah bercakap-cakap di dalam solat apabila mereka menghadapi keperluan-keperluan yang mendadak sehingga turun ayat ini barulah mereka faham darinya bahawa tidak boleh dilakukan kerja yang lain di dalam solat melainkan zikir Allah, khusyuk dan menumpukan ingatan kepadanya.

Suka dinyatakan perkataan qanitin sebenarnya mempunyai banyak makna yang utamanya ialah empat makna:

- Pertama: taat seperti pendapat Ibn Abbas.

- Kedua: berdiri seperti pendapat Ibn Umar.

- Ketiga: diam seperti pendapat Mujahid.

- Keempat: khusyuk.

Kesemua pendapat tersebut ada kemungkinan benar kerana tidak ada percanggahan kecuali pengertian berdiri disebabkan tidak sesuai untuk dipadankan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan berdirilah kerana Allah secara qanitin.

Yang sahih ialah riwayat Zaid bin Arqam kerana ia menunjukkan nas yang terang daripada Nabi s.a.w. Oleh itu tidak perlu dirujuk kepada pengertian yang lain yang masih di peringkat andaian.

Iktibar Ayat

- Berkenaan dengan faedah ayat ini, Ibn al-Arabi berkata: Sebahagian ulama kami mengatakan ada satu pada faedah pada ayat ini iaitu menolak pandangan Abu Hanifah yang berpendapat solat witir adalah wajib kerana solat wusta dikira termasuk dalam solat witir supaya solat yang mengepungnya dari dua arah ialah bilangan yang genap. Apabila dihitung solat yang wajib itu ada enam, maka tentulah solat itu tidak menjadi solat wusta.

- Kelebihan solat wusta.

- Kewajipan memelihara solat fardu secara berjemaah dan khusyuk.

Categories: Knowledge | Leave a comment

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:-

Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:-

Allah menyembunyikan Lailatul Qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadan;
Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari itu;
Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu;
Allah menyembunyikan isim adzam antara nama-nama-Nya agar kita menyebut semua nama-Nya (Asmaul Husna);
Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat;
Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin;
Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia; dan
Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya

Categories: Knowledge | Leave a comment

MUHASABAH DIRI SELEPAS MUASASSAH RAMADHAN

Kelmarin Ramadhan sudah meninggal pencinta. Apakah ianya berlalu seperti tahun-tahun lepas tanpa apa-apa kesan atau berkesannya selepas ini. Tahun depan belum pasti kita ketemu lagi walaupun Ramadhan pasti menjelma sehingga dunia ini digulung-gulung. Apakah rumah ALLAH terus dipenuhi pencinta Ramadhan atau kembali sepi seperti sebelumnya. Ibadat ikut-ikutan adalah punca situasi ini terjadi. Beramal secara tradisi dan ikut-ikutan tidak akan ada istiqamah. Tidak memahami dan tiada penghayatan kerana tiada ilmu. Moga Ramadhan membuka lebaran baru untuk mendalami ilmu, mudahan jika diberi kesempata pada Ramadhan mendatang, kita beramal kerana ALLAH, bukan selainnya. Apabila kita beramal keranaNYA situasi selepas muasassah Ramadhan sudah pasti lebih cemerlang dari sebelumnya.

Categories: Knowledge | Leave a comment

BERAYA-RAYA

Seusai solat idil fitr, sempat memenuhi jemputan jiran Tuan Hj Jamal, selepas itu menerima kunjungan rakan jemaah Surau Assyakirin, Taman Tinosan, Sandakan. Agak ramai juga menyebab ummi dan izzi agak kelam-kabut juga. Alhamdulillah semua ok dan juadah ala kadar pun ngam-ngam. Kesyukuran yang tak terhingga ke hadrat ILLAHI kerana segalanya ok. semoga majlis ini diberkati khususnya tetamu kami.

Categories: Knowledge | Leave a comment