Solat Pada Waktunya

Hadith :

Dari Abu Dzar r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bertanya kepadaku, sambil menepuk pahaku: Apa yang engkau lakukan jika engkau berada dalam lingkungan kaum yang suka melalaikan solat dari waktunya? Jawabku:”Apa perintah tuan untuk saya?“ Sabda baginda, solatlah pada waktunya (sekalipun sendirian). Sesudah itu selesaikanlah segala urusanmu. Jika kebetulan orang solat berjamaah dan engkau masih berada dalam masjid, maka solatlah pula (bersama mereka).”

(Muslim)

Huraian
Solat bukan perkara yang remeh di dalam agama. Bahkan ia menduduki tempat teratas dalam penilaian ketaatan manusia sehinggakan di padang Mahsyar kelak setiap amalan manusia didahului kiraannya daripada solat itu sendiri. Jika baik dan sempurna ia dikerjakan maka semua amalan berikutnya akan baik. Hal ini kerana fungsi solat itu adalah untuk mencegah manusia daripada melakukan kajahatan dan kemungkaran. Begitulah sebaliknya. Oleh itu janganlah kita merasa berat untuk melakukan solat kerana perasaan itu membuka peluang kepada syaitan untuk melalaikan kita dengan mendedahkan kita kepada perkara-perkara yang menarik nafsu seperti duduk-duduk berkumpul dan berbual-bual sehingga terleka atau terlalu asyik membeli belah sehingga terlupa akan solat. Adalah lebih baik sekiranya kita dapat mengerjakan solat itu pada awal waktu meskipun secara sendirian daripada terlewat mengerjakannya kerana sebab-sebab yang sebenarnya boleh dielakkan. Bahkan dalam hadith di atas Rasulullah s.a.w menggalakkan kita merebut pahala solat berjamaah sekalipun kita telah selesai mengerjakan solat (sendirian) demi menekankan akan kepentingan menyegerakan solat dan keutamaan berjamaah.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply