SOLAT BERJEMAAH DAN BANGUN MALAM

DEWAN KULIAH MKI

Tema: Ringkas tapi Signifikan

SOLAT BERJEMAAH DAN BANGUN MALAM
23 Zulhijjah 1434

Solat tiang agama. Ia rukun Islam kedua. Wajibnya kita perlu solat lima waktu – Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya – sehari semalam. Solat jugalah yang paling awal dihitung sebelum amal-amal lain pada hari penghakiman nanti. Dinyatakan berulangkali di dalam al-Quran betapa salah satu ciri mereka yang bertaqwa adalah mereka yang mendirikan solat.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

(Surah al-Baqarah, ayat 2-3).

Benar – dalam keadaan biasa – solat tidak dikecualikan kepada manusia. Ada solat sambil berbaring, duduk atau hanya melalui gerakan mata semata-mata jika ditimpa bencana tubuh. Jika bermusafir dihadiahkan jamak dan qasar. Allah ya Allah, begitulah pentingnya solat dalam kehidupan manusia. Malah solat juga sebagai ubat apabila manusia ditimpa bencana atau ujian. Manusia perlu solat dan sabar. Allah SWT berfirman melalui surah al-Baqarah, ayat 45 yang bermaksud,

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.

MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar.

Kami – saya dan Roza – semua ingin berkumpul di Firdaus. Itulah satu-satunya impian dan keinginan yang tinggal. Kehidupan di dunia hanyalah persinggahan sementara yang perlu ditafsir semula tahap kepentingannya. Allah ya Allah … masih tinggal berbaki sangat singkat. Usia kami – 50 dan 46 – tahun merupakan tanda aras jelas betapa ia usia tua dan beruban sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT. Terdapat pelbagai isu utama dan keutamaan yang perlu diberi pertimbangan serius terutamanya dalam konteks ibadat asas yang wajib. Solat merupakan isu utama.

Pertama, menjadi manusia terpilih dan terbaik di sisiNya bukan hanya semata-mata menunaikan ibadat wajib. Mereka yang cemerlang seharusnya mampu membuat pilihan melakukan perkara yang disunatkan. Malah apa yang dilakukan oleh Baginda SAW perlu dituruti. Mereka beramal ibadat dengan penuh keikhlasan kerana cintakan Tuhannya. Misalnya dalam konteks solat wajib lima waktu – sepatutnya – pilihan untuk solat berjemaah di masjid merupakan amalan yang perlu diberi pertimbangan khusus. Ia amalan yang sangat mustahak. Baginda SAW telah nyatakan melalui satu hadis yang bermaksud,

Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Tidak ada solat yang lebih berat bagi orang munafik daripada solat Subuh dan Isyak. Kalaulah mereka tahu keutamaan kedua solat itu (dilaksanakan berjemaah), nescaya mereka akan datang ke masjid sekalipun dengan merangkak.

Sesungguhnya saya ingin menyuruh seseorang azan dan qamat, kemudian menyuruh yang lain menjadi imam solat berjemaah, kemudian aku sendiri pergi mengambil suluh (obor) lalu ku bakar orang-orang yang tidak datang solat (berjemaah).

(Hadis Sahih Bukhari, Jilid 1. Hadis bernombor 374)

Barangkali solat berjemaah tidak wajib bagi sesetengah pandangan. Tidak mengapa. Biarkan ia begitu. Bagi mereka yang mahu berpimpingan tangan ke Firdaus – termasuklah saya dan Roza – bersama pasangannya – pastikan – masjid menjadi rumah yang perlu dikunjungi.

Namun sangat luar biasa jika kita di kala usia hujung senja memilih untuk solat berjemaah di padang golf berbanding di masjid. Begitulah juga bagaimana mereka yang berkuasa melihat meneruskan mesyuarat sebagai sesuatu yang lebih penting walaupun azan sedang berkumandang. Malah bukanlah satu kepelikan menerima undangan perkahwinan yang majlisnya bermula sebelum azan Isya dilaungkan. Bilakah kali terakhir kita melihat penganjur konferens atau seminar menjadikan solat Asar berjemaah di masjid sebagai ruang masa istimewa?

Agaknya bagaimana mereka ini mahu ke Firdaus?

Malah sangat menarik – sesekali – saya mendengar kenyataan yang menyatakan mereka solat subuh berjemaah di rumah kerana ingin mengajar dan bersama anak-anak dan isteri. Allah … Allah … ya Allah … kenapa tidak dibawa anak lelaki ke masjid dan biarkanlah isteri dan anak-anak perempuan bersolat di bilik tidurnya. Jika mereka mahu ikut solat di masjid, tidak perlulah dihalang. Itulah keistimewaan wanita yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Begitulah. Kita mendidik anak lelaki supaya mementingkan pelajaran di sekolah sehinggakan takut mengejutkan mereka bangun awal untuk ke masjid berjemaah pada waktu subuh. Takut benar anak-anak ini mengantuk di sekolah! Ia sangat bertentangan dengan didikan yag disampaikan oleh Baginda SAW. Kepentingan solat berjemaah di masjid ini dinyata berulang kali oleh Baginda SAW. Misalnya dalam satu hadis telah dinyatakan keistimewaan solat berjemaah,

Abu Hurairah r.a. memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu beliau pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah dan dihapuskan pula kesalahannya.

Apabila beliau telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: “Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah beliau!” Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat.”

(Hadis Sahih Bukhari, Jilid 1. Hadis bernombor 368)

Ahli syurga merupakan golongan istimewa. Ia bukan orang biasa-biasa. Namun ia juga bukan kerana mereka kaya, berjawatan, berpangkat dan berkuasa. Mereka merupakan manusia beriman dan bertaqwa. Misalnya melalui surah al-Fajr, Allah SWT menjemput mereka yang damai hatinya kembali ke syurga. Bagaimana mahu mempunyai hati yang damai?

Masya Allah …. ketika berlakunya perang Salib – dikatakan – Sultan Sallahuddin Al-Ayyubi telah memilih mereka yang bangun malam sebagai barisan tentera paling hadapan. Mereka berhadapan secara langsung dengan musuh. Jelas, kekuatan dalaman inilah yang membantu semangat juang mereka yang mendatangkan kemenangan kepada pasukan muslimin. Benar, ia perjuangan yang kemenangannya datang dengan bantuan Allah SWT tetapi perjuangan yang bermula dengan hati yang tenang dan damai sangat-sangat membantu.

Ayat 1 hingga 7, surah Muzzammil mengaitkan mereka yang bertahajud pada waktu malam sebagai manusia mempunyai jiwa yang lebih kuat. Inilah kumpulan manusia luar biasa yang dipandang Allah SWT sebagai mereka yang hampir denganNya.

Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah Al-Quran dengan tartil.

(Sesungguhnya engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) berat (kepada orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa) dan lebih tetap betul bacaannya. (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.

(Surah al-Muzzammil, ayat 1-7).

Bangun malam merupakan ciri-ciri mereka yang beriman dan beramal soleh. Insya Allah, mereka ahli syurga. Benar, kami ingin ke Firdaus. Tentu sekali ia memerlukan perancangan rapi. Ia tidak boleh diharapkan tanpa mengikut aturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Tentu sekali ia terkandung dalam perintah dan larangannya. Dalam konteks bangun malam, Allah SWT menyatakan,

Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada Tuhan (dengan mengerjakan solat) dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan solat tahajud) pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.

(Surah al-Insaan, ayat 26).

Setiap perkara yang mahu dilakukan perlu berasaskan ilmu yang benar. Misalnya kami mengetahui terdapat hubungan nyata antara beramal ibadat di sebelah malam dengan menjadi manusia terpilih. Isu ini telah diterangkan oleh Allah SWT dalam banyak keadaan. Misalnya, Allah SWT telah berfirman melalui ayat 17- 18 surah az-Zariyat yang bermaksud,

Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman surga dan di mata air-mata air, seraya mengambil apa yang Allah berikan kepada mereka. Sebelumnya mereka adalah telah berbuat baik sebelumnya (di dunia), mereka adalah orang-orang yang sedikit tidurnya di waktu malam dan di akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah).

Kami mohon keampunanMu ya Allah.

http://www.muhdkamil.org/pensyarah/mki

{ Leave a Reply ? }

Leave a Reply

Pingback & Trackback

  1. emulators for android - Trackback on 2016/06/26/ 04:29
  2. poker depo 10rb - Trackback on 2016/07/01/ 02:51
  3. how to make money online in nigeria fast - Trackback on 2016/07/10/ 07:41
  4. riparazione iphone roma - Trackback on 2016/08/31/ 19:08
  5. Weed eating - Trackback on 2016/10/13/ 08:11