Ramadhan Mengamit Kembali-Esok 1 Ramadhan aL MUBARAK

Esok 01 Ramadhan bersamaan 01 Septemper bermulalah puasa bulan Ramadhan dan SELAMAT BERUASA.

Ramadhan Dibuka Pintu syurga Dan Ditutup Pintu Neraka

Hadith :

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”

(Bukhari & Muslim)

Huraian
1. Kelebihan bulan Ramadhan ialah meluasnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan pada masa yang sama Allah SWT menutup pintu neraka dan merantai segala syaitan yang berkeliaran
2. Umat Islam yang berpuasa pada bulan Ramadhan serta mengamalkan segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang ditegah serta tidak berpuasa melainkan kerana iman dan tidak kerana riya’ (agar dilihat orang), sum’ah (agar didengar orang), ikut-ikutan, maka baginya keuntungan dan pahala yang berlipat ganda banyaknya bahkan syaitan sedikitpun tidak diberi kesempatan untuk menggoda atau menghasut mereka.
3. Bagi orang yang berpuasa tetapi masih bergelumang dengan dosa bermakna bahawa puasanya sama sekali tidak bermanfaat baginya. Yang diperolehinya hanyalah lapar dan dahaga dan Allah SWT tidak akan menerima amalannya.

Hakikat Puasa
Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Puasa itu perisai dan benteng yang membentengi dari sentuhan api neraka.”

Riwayat Ahmad dan Baihaqi

Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Seorang Muslim yang sejati ialah orang yang menunggu-nunggu kedatangan bulan Ramadhan dengan penuh persediaan, rindu untuk mengerjakan ibadah puasa dan bercita-cita untuk memenuhi setiap detik Ramadhan dengan pengisian yang bukan sahaja perkara wajib malah berbagai-bagai perkara sunat yang lain.
ii) Oleh itu puasa sepatutnya menjadi pemadam dosa apabila segala ibadat yang dilakukan diterima oleh Allah S.W.T di mana orang-orang yang seperti inilah yang diharamkan jasadnya daripada api neraka.
iii) Di antara ibadat-ibadat yang harus dilakukan bagi meraih keampunan Allah S.W.T itu ialah melakukan solat tarawikh, solat tahjud, solat taubat, membaca al-Quran, beriktikaf di dalam masjid, memperbanyakkan zikir, doa dan beristighfar, membanyakkan sedekah, menjamu orang berbuka puasa dan mengerjakan umrah (bagi yang mampu). Namun amalan-amalan ini hendaklah dikerjakan dengan hati yang ikhlas kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk kerana di situlah letaknya keberkatan sesuatu amalan yang dilakukan.
iv) Puasa sebenarnya menggariskan undang-undangnya yang tersendiri dan jika dipraktikkan dengan penuh ketaatan terbukti ia akan mampu mendidik dan mengasuh jiwa yang rakus menjadi lembut seperti malaikat yang sentiasa melakukan ibadah dalam mencari keredaan Allah S.W.T.

Kelebihan Bersahur
Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.”

Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian
Pengajaran Hadis:
i) Waktu bersahur ialah bermula pada pertengahan malam hingga terbit fajar namun disunatkan untuk mengakhirkan waktu bersahur iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.
ii) Mengantuk dan letih tidak boleh dijadikan alasan untuk enggan bersahur kerana sahur dapat membantu menguatkan badan orang yang berpuasa untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, di samping sahur itu sendiri adalah satu amalan sunat yang berkat. Menurut Ibnu Hajar Al-Asqalani, yang dimaksud dengan berkat (barakah) itu ialah akan mendapat ganjaran dan pahala di mana Allah akan merahmati orang-orang yang makan sahur dan malaikat juga akan mendoakannya.
iii) Pengambilan makanan sahur adalah titik yang membezakan antara puasa penganut agama lain dengan puasa kaum muslimin kerana penganut lain tidak bersahur sebelum berpuasa.
iv) Waktu sahur adalah waktu yang paling mustajab untuk berdoa kepada Allah S.W.T.
v) Sahur itu boleh dilakukan dengan sedikit makan walaupun cuma seteguk air. Namun tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau terlalu sedikit pasti akan mengganggu kesihatan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

{ Leave a Reply ? }

Leave a Reply

Pingback & Trackback

  1. lam chắn nắng - Trackback on 2016/08/16/ 16:36
  2. How to start a lifestyle blog - Trackback on 2016/12/16/ 13:16