Punca Tersungkur di Lembah Maksiat dan Dosa

Punca Tersungkur di Lembah Maksiat dan Dosa

Ramai hamba Allah yang mengeluh; ”Alangkah cepatnya hatiku berubah”. Sekejap kuat membara sengatan iman di hati, tapi lama kelamaan pudar juga oleh sengatan syahwat yang berbisa. Jika dulu bersemangat mengkaji dan mengamalkan Islam, kini semangat itu menjadi surut disebabkan kesibukan dunia yang tak ada penghujungnya. Begitulah keadaan seorang hamba yang semakin tenggelam ke dasar lautan duniawi tanpa dia menyedari nafas imannya semakin lemah dan akan mati lemas pada akhirnya. Beruntunglah sesiapa yang mahu memperbaiki imannya, menjaga dan melindungi iman sepertimana dia melindungi hartanya atau popularitinya agar tidak musnah.

Antara tanda-tanda punca kelemahan iman seorang hamba yang menyebabkan dia tersungkur di lembah dosa ialah:

1. Ibadah tidak berkualiti.

Sesiapa yang merasa dirinya jauh daripada Tuhannya, terseleweng dari jalan-Nya ataupun berhenti terlalu lama dalam permainan nafsu syahwatnya; Kembalilah semula ke jalan Allah SWT. Agar dia dicintai Allah SWT, bawalah dua bekalan asas iaitu ibadah wajib dan sunnah. Mungkin ketika iman lemah dia tidak sama sekali meninggalkan kewajipan tetapi ibadahnya itu kurang berkualiti dan sedikit jumlahnya. Padahal iman itu diukur menurut amalan wajib dan sunat yang boleh melahirkan jiwa hamba yang amat dekat kepada Allah Taala.

Rasulullah SAW telahpun bersabda dalam hadis qudsi yang bermaksud; Allah berfirman: Tidaklah seorang hamba-Ku mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang paling Aku cintai selain daripada kewajipan-kewajipan yang telah Aku fardukan kepadanya. Dan hamba-Ku itu sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan ibadah-ibadah sunnah sehingga Aku mencintainya.” (Riwayat al-Bukhari). Ramai hamba Allah yang tertipu dengan amalannya sedangkan ia hanyalah umpama debu pada pandangan Allah SWT.

2. Hati yang tidak Khusyuk.

Awal kerosakan amal ialah hati yang tidak dapat menghadirkan khusyuk. Penyakit ini akan bertambah teruk apabila ia meninggalkan karat-karat kemalasan ketika beribadat. Berjumpa dan berhubungan dengan Allah SWT tanpa wujud perasaan, seolah-olah kosong dan hampa. Dia melakukannya sekadar mendirikan kewajipan sahaja, tetapi tiada kemanisan ibadat.

Khusyuk hanya diperoleh dengan jalan mujahadah. Punca hilangnya khusyuk ialah hati terlalu keras. Cara melembutkan hati ialah dengan melemahkan nafsu. Para sahabat RA membiasakan diri dengan sujud-sujud yang panjang pada akhir malam sepertimana sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Baginda memanjangkan sujud-sujud dalam solat malamnya selama kurang lebih membaca lima puluh ayat al-Quran, begitu juga ketika rukuknya. Saat-saat yang paling dekat seorang hamba kepada Allah SWT ialah ketika dia sujud. Ia mampu melembutkan hati dan mengubat jiwa yang tenat tanpa iman.

3. Berlebihan dengan perkara yang mubah.

Bercuti boleh meredakan ketegangan, menjamu selera dan membeli-belah baik untuk mengubat kebosanan, memakai pakaian yang indah dan mahal tidak dilarang, membeli perhiasan dan apa-apa yang menyukakan hati boleh melahirkan kesyukuran kepada nikmat Allah Taala. Akan tetapi perkara-perkara sebegini kadang-kadang membuat kita leka. Jika berlebihan segala aktiviti untuk memanjakan diri, dibimbangi akan melemahkan semangat perjuangan. Mengaburkan mata dan hati yang celik dan akhirnya larut dalam kesibukan dunia hingga melupakan akhirat.

Peluang hidup di dunia hanya sebentar sahaja, umpama musafir yang berhenti melepaskan lelahnya dan kemudian meneruskan perjalanan. Perjalanan anak manusia masih panjang, dunia cuma tempat persinggahan, yang abadi hanya di akhirat. Jika sehari ada duapuluh empat jam, bayangkan kita memiliki dua puluh empat almari. Setiap satu kita buka, ada yang penuh dengan amal saleh yang bercahaya, ada pula yang berisi dosa yang gelap. Masa yang diisi dengan aktiviti mubah seperti almari yang kosong tidak ada pahala dan juga dosa, sungguh rugi jika almari milik kita itu banyak yang kosong. Sedangkan waktu terus berjalan laju tak sempat menunggu insan yang lalai dan berjiwa lemah kerana dunia.

4. Tidak menghadiri majlis ilmu.

Manusia mudah lupa dan hilang pedoman hidupnya, tidak jelas matlamat, arah dan tujuannya. Siapa dirinya, berasal dari manakah dia, mahu ke mana dan apa yang mahu dicapainya? Semua itu memerlukan jawapan yang pasti. Tetapi manusia yang lemah iman telah kehilangan matlamat hidupnya. Untuk mendapatkan kembali pedoman hidupnya agar tidak tersalah jalan, dia perlukan hidayah iaitu ilmu Allah SWT. Agama yang mampu menuntun dia ke jalan Allah SWT. Sesiapa yang berasa lemah imannya maka duduklah dalam majlis ilmu yang bermanfaat di bawah bimbingan mereka yang dipercayai kesahihan ilmunya, atau bertukar-tukarlah pandangan dan nasihat dengan orang-orang beriman. Fikirkanlah tentang iman kita walaupun sebentar dan perbaiki diri dengan bimbingan nas yang sahih berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya SAW.

5. Mengalami gejala kesedihan dan kerisauan yang berlebihan.
Apabila iman menipis, lupa kepada Allah SWT, akan lahirlah perasaan sedih, susah hati dan murung. Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud: ”Hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.” Mengingati Allah SWT maksudnya ingatan yang membawa kepada kegembiraan. Gembira dengan takdir-Nya, reda dengan jalan hidup yang telah dipilih untuknya, untung rugi harta, susah senang kehidupan. Kerana manusia lahir ke dunia dengan senario yang telah termaktub di Lauh Mahfuz. Ubat penawar bagi kesedihan telah diceritakan dalam al-Quran, bahawasanya Allah Taala telah berfirman yang bermaksud: ”Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu melainkan telah sedia ada di dalam kitab sebelum kami menjadikannya, sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (sombong dan bangga diri) dengan apa yang diberikan kepada kamu.” (Surah Al-Hadid ayat: 22-23)

Setiap mukmin memiliki hati yang mampu berbisik tentang keadaan imannya, siapakah yang paling mengetahui tentang diri kita melainkan Allah Taala dan diri kita sendiri, tepuk dada tanyalah iman. Adakah hari ini iman kita bertambah atau berkurangan?

greenappleku

Leave a Reply