Puisi Pagi Ahad: ‘Tak Nak, Tak Nak’


(Dedikasi untuk mereka yang kempunan, dan mereka yang digugurkan)
Tuhan, aku hanya ingin rembat sedikit
lebihnya aku akan berkhidmat
kalau tak siapa nampak
aku mengaku, aku rembat
tetapi sedikit.

Tetapi Tuhan
ada orang lain yang juga nak rembat
ada orang lain yang juga nak sebat
sampai aku tertinggal terkulat-kulat
apa nak buat
apa nak buat.

Aku tak puas hati
tak nak, tak nak
aku tak nak digantikan
aku nak tetap bertanding
aku pun bekerja keras
aku malah tak suka tidur
aku bukan penyapu buruk.

Tuhan, Kau pun tahu
aku hanya mahu berkhidmat
aku akan tetap berbohong
kepada rakyat;
mereka tak nampak
tapi Kau pun tahu
aku rembat,
bukan banyak.

Tak adil, tak adil.
Tak nak, tak nak.

Mengapa aku tak dapat bertanding?
Tuhan mengapa, mengapa?
alasan apa anak mereka,
keluarga mereka,
menantu mereka mendapat tempat.

Tak nak, tak nak,
aku mahu rembat
aku mahu sebat
mengapa aku tak dapat bertanding
mengapa budak busuk itu dapat bertanding.

Tak nak, tak nak,
aku pun nak rembat jugak
aku tahu aku lebih layak
kerjaku keras, tidurku sedikit
tak nak, tak nak…

Faisal Tahrani

Leave a Reply