Puasa dulu-dulu

Pada tahun 60-an dahulu, bulan Ramadhan amat dinanti-nanti. Pertamanya pada bulan inilah disediakan makan yang sedap-sedap. Kalau pada bulan biasa makan nasi berlauk ayam hanya sekali dua dalam setahun. Sekor ayam dikejar keliling kampung untuk disembelih sebelum digoreng atau digulai. Pada bulan Ramadhan kami lebih kerap makan ayam, sekurangnya dalam sebulan lauk ayam disediakan dua atau tiga kali, khas untuk lauk bersahur (supaya lalu (berselera) makan. Waktu berbuka kadang-ladang ada air tuak(nira kelapa), kadang-kadang bawang putih jeruk. Sekiranya ingin meminum aisbatu, pada tengaharinya kami ke kedai “Pak Lah” satu-satunya kedai Melayu yang menjual ais batu sepanjang jalan dari Kemuning ke Bukit Bakar selebihnya kedai “Ah Chong” di Kemuning. Aisbatu disimpan di dalam abuk gergaji supaya tidak cair menjelang waktu berbuka. Ini kerana pada masa itu kampung kami belum ada bekalan elektrik. Menunggu geduk (gedang besar) dibunyikan dari surau berhampiran amat suspen sekali. Tidak ramai yang mampu mempunyai radio. Sekiranya hari hujan kami terpaksa menunggu waktu berbuka tanpa sebarang suara. Ini adalah  untuk memastikan kami mendengar bunyi geduk tanda waktu berbuka. Abah akan menegur (macam marah) sekirangnya bising. Pada kebiasaaannya apabila cuaca tidak baik waktu berbuka akan melebihi waktunya kerana ingin memastikan waktu berbuka telah sampai. Kadang-kadang waktu berbuka akan disampaikan melalui mulut ke mulut. Kadang-kadang kami diketawakan kerana belum berbuka oleh mereka yang telah berbuka kerana mereka mendapat maklumat awal. Apabila mendengar muzik padang pasir sekarang, kami terkenang sewaktu itu kerana kami menganggap muzik tersebut bercirikan Islam dan dimainkan di radio sebelum waktu berbuka. Sekarang baru kami tahu bahawa muzik tersebut kebanyakannya diiringi oleh penari atau penyanyi yang miskin kain. Maklumlah hanya mendengar di radio sahaja. Wakti terawih paling seronok, kami tidak ketinggalan berterawih di balasah (surau)walaupun jumlah yang kami buat tidak pernah cukup 23 rekaat. Semasa orang dewasa berterawih kami merayau-rayau mencari buah-buahan (musim buah) seperti rambutan. langsat dan sebagainya (panjat pokok rambutan waktu malam). Apabila solat terawih hampir tamat kami mesti berada di surau kampung kami (sekarang surau itu dinamakan Surau Pak Da Lah (abah) kerana kesetiaannya dari dulu 60-an hingga sekarang). Terkini surau ini hanya diimani oleh abah dan dimakmumi oleh mek dan kaum hawanya sahaja. Kaum lelaki semuanya berbondong-bondong ke masjid baru yang berhampiran. Pada kebiasan selepas solat terawih kami ada jamuan kuih yang berbagai yang dibawa oleh para jemaah. Biasanya  apabila mereka menyediakan kuih untuk berbuka, kuih tersebut akan disediakan lebih untuk dibawa ke balasah. Kuih ada bermacam-macam tetapi yang paling ragular ialah tteri mandi(puteri mandi) dan buah mulong (buah Melaka) serta air kopi ‘O’. Sekirangnya kami tertidur semasa jemaah pulang, abah akan menggalas kami satu persatu untuk dibawa ke rumah. Karak(pelepah kelapa kering yang diikat dan dibakar) digunakan untuk menerangi malam yang gelap. bersambung….

Leave a Reply