Puasa dulu-dulu VII

Pada pagi raya merupakan hari yang tidak sabar-sabar ditunggu. Pada hari biasa memang mandi merupa amalan yang berat untuk dilakukan. Kecuali untuk ke sekolah. Pada hari cuti biasanya amat jarang mandi pagi.Ini kerana untuk mandi kami terpaksa ke perigi yang jaraknya hampir  satu kilometer dari rumah. Satu-satunya perigi yang digunakan oleh lebih sepuluh keluarga (hampir 100 orang). Perigi digali berhampiran tanah lembah untuk mendapatkan air. Sekarang di mana-mana kita gali pun ada air. Yang istimewanya air perigi akan bersuhu suam-suam di waktu pagi dan sejuk apabila tengahhari. Airnya rasa sedikit manis jika diminum. Dulu-dulu air diminum begitu sahaja tanpa dimasak. Sambil mandi kita boleh minum, sambil menyelam di sungai kita boleh minum air, sekiranya kita terjumpa parit atau lopak kita boleh terus minum. Tiada sebarang halangan seperti dewasa ini air terpaksa dimasak dahulu sebelum diminum kerana semuanya tercemar. Orang berada terpaksa membelanjakan beribu ringgit untuk memasang penapis air di rumah masing-masing dan orang kampung terpaksa menghabiskan gas yang banyak hanya untuk mendapatkan air yang bersih. Masalah yang dihadapi ialah untuk ke perigi seawal mungkin dan mengenakan pakaian baru. Kami terpaksa ke perigi bersama abah kerana di pagi yang gelap kami tidak berani ke sana kerana perigi agak jauh dari rumah orang. Biasanya pada pagi raya ramai kanak-kanak akan ke perigi secara sukarela untuk mandi berbanding hari biasa yang mandi dengan terpaksa.Selepas mandi kami berlari ke rumah. Walaupun badan berpeluh kembali kerana berlari dalam jarak yang jauh tetapi pada anggapan kami bahawa yang penting sudah mandi. Bersambung…

Leave a Reply