Puasa dulu-dulu VI

Pada hari raya, rumah yang wajib dikunjungi selepas solat raya ialah rumah wa dan chewa (Datuk dan Nenek) Selepas itu rumah mak saudara sebelah abah( bapa) lepas itu sebelah mek (ibu). Sama ada rumahnya jauh atau dekat wajib dikunjungi supaya hubungan keluarga terus erat. Masa kanak-kanak kami berkunjung dengan abah dan mek yang dekat berjalan kaki dan yang jauh seperti rumah Mak Da dan Mak Long terpaksa naik bas. Pada hari raya bas akan penuh sesak. Terdapat sebuah bas (SKMK) Kenderaan Melayu Kelantan Berhad beroperasi di jalan Bukit Bakar, Tambang masa itu 10 sen dewasa dan 5 sen kanak-kanak. Apabila agak remaja kami pergi sendiri dengan sepupu yang sebaya(Jusuh, Hussin dan Hassan). Pada hari raya bandar Machang dipenuhi dengan remaja. Biasanya selepas mengunjungi sanak saudara kami akan ke bandar hasil kutipan duit raya. Pada masa itu duit raya diberi sebanyak 5 sen atau sepuluh sen sahaja. Pada masa rayalah kami dapat merasa duit lebih sedikit, kira-kira lebih seringgit. Wang not RM10 tak pernah nampak pun apatah lagi memegangnya. Apatah lagi wang kertas RM50 atau RM100 tidak tahu pun kewujudannya. Berbanding kanak-kanak sekarang wang kertas RM50 macam biasa sahaja. Kebanyakan remaja yang pergi ke bandar biasanya untuk membeli mercun dan ada yang mengambil kesempatan menonton wayang. Biasanya filem Hindustan (Hindi) dimainkan dipanggung wayang (Alhamdulillah panggung tersebut telah ditutup pada penghujung 80-an di era kepimpingan ulamak).Ada yang menonton filem yang sama sampai tiga empat kali sehinga boleh menghafal lagu Hindi.Di antara filem yang popular pada masa iti ialah “BOBBY”. Kami akan beraya dengan berkunjung ke rumah saudara atau jiran sehingga larut malam dan melangkaui beberapa buah kampung. Selain beraya tujuan sampingan ialah mendapatkan duit raya ha ha ha. Pulang malam, baju raya terus dicuci untuk dipakai keesokan harinya. Memang menyeronokkan. Bersambung…

{ Leave a Reply ? }

Leave a Reply

Pingback & Trackback

  1. Online dating for educated singles in amsterdam - Trackback on 2016/07/15/ 16:13
  2. food stylist - Trackback on 2017/02/20/ 17:08
  3. Trip hop - Trackback on 2017/05/21/ 14:39