Puasa dulu-dulu III

Selepas semua kelengkapan hari raya sudah disedia, kami asyik mencuba untuk beberapa kali. Yang seronoknya masing-masing merahsiakan kepada kawan-kawan tentang baju raya, padahal semuanya uniform sekolah. Selain kelengkapan pakaian, kami membeli bunga api, mercun serta pistol mainan yang menggunakan ubat mercun, pistol air pun disediakan serta senapang buluh peletin (sejenis buluh yang kecil). Masa itu belum ada pengharaman main mercun. Biasanya ada yang kebas tangan kerna mercun. Kami tidak pasti samada terdapat mangsa mercun yang putus jari dan sebagainya seperti sekarang kerana beritanya amat terhad. Apa yang kami maklum di kampung kami tidak pernah berlaku. Malam raya kami main meriam buluh atau meriam tin milo. Kami saling berlawan di antara satu sama lain meriam siapa yang paling kuat berbunyi. Ubat meriam seperti kabait senang dibeli. Pagi-pagi raya sebelum solat raya orang dewasa memasang mercum di penjuru surau. Mercunnya panjang sambung menyambung biasanya dipolopori oleh “Arwah Pak Da Leh”. Pada pagi raya selepas solat subuh, rumah pertama yang mesti dikunjungi ialah rumah guru Al Quran (Tok Dolah). Sesiapa yang gagal hadir pada pagi raya, jawabnya “awas” nanti apabila datang mengaji siap disindir atau kalau tidak bernasib baik kena marah. Katanya murid tidak menhormati guru. Terima kasih dan Alfatihah kepada arwah kerana mengajar kami sehingga boleh membaca AlQuran. Pada kebiasaannya apabila bercuti ke kampung pada musim cuti, kami tetap mengunjungi beliau serta tidak ketinggalan membawa sekotak rokok sigerik (Bensen N Henges). Beliau amat seronok menerima pemberian kami. Maklumlah dulu-dulu untuk mendapatkan sekotak rokok bukan perkara yang senang. Biasanya perokok akan menghisap rokok daun sahaja. Kalau membeli rokok pun bukan sekotak tetapi sebatang atau dua batang, mereka kerap menghisap rokok sigerik dalam bulan puasa selepas berbuka berbanding bulan lain. Jenama rokok yang paling murah ialah ” SIGNAL ” harganya 40 sen untuk 20 batang. bersambung…

Leave a Reply