Puasa dulu-dulu II

Untuk ke kedai Pak Lah(beli ais), kira 2 batu dari rumah kami biasanya abah berjalan kaki berkaki ayam. Dulu berkaki ayam adalah menjadi kebiasaan. Kami pun kadang-kadang terpaksa berkaki ayam untuk berminggu-minggu apabila selipar jepun sudah tidak boleh dipakai lagi setelah disambung dengan kerawat(dawai) berkali-kali. Untuk mendapat selipar yang baru akan memakan masa. Bukanlah abah atau mek klorek(kedekut) memang tiada pitih(wang). Pada kebiasaan di setiap rumah atau surau disediakan air dalam tempayan siap dengan gayung untuk mencuci kaki sebelum masuk ke rumah atau surau. Boleh dikata sebahagian besar penduduknya setaraf. Kalau ke baruh(bendang padi) biasanya mereka tidak memakai baju walaupun harinya panas terik. Pada masa itu baju dipakai untuk ke surau atau tempat tertentu sahaja. Pada ketika itu juga kami hanya mempunyai sehelai seluar pendek, sehelai baju kemeja dan sehelai kain sarung sahaja. Hari raya merupakah hari yang paling gembira kerana sudah pasti kami akan dibelikan satu set pakaian baru (baju, seluar, kasut dan stokin). Pakaian baru merupakan satu set baju sekolah yang akan dipakai pada hari raya dan seterusnya digunakan untuk pakaian seragam sekolah tahun depan. Pada pagi raya seolah-olah kami akan ke sekolah kerana sebagaian besar kanak-kanak akan memakai baju sekolah baru(ha…ha…ha… seronokkan). Cuma yang kurang selesanya ialah kasut. Kasut yang dibelikan agak besar dengan alasan supaya dapat digunakan dengan lebih lama. Kertas dimasukkan ke hujung kasut supaya ketat dan tidak longgar untuk dipakai. Semua pakaian ini dibeli di kedai(bandar) Machang tanpa kehadiran kami. Biasanya sebelum ke kedai abah akan mengukur panjang bahu kami dengan tali rapia sebagai ukuran untuk baju, lilitan pinggan untuk seluar dan mengunakan lidi untuk mengukut saiz kasut. bersambung…

Leave a Reply