PETIKAN DARI BLOG KEHIDUPAN RINGKAS TAPI SIGNIFIKAN

DEWAN KULIAH

 NOTA HARI INI

5 Rabiul Awal 1434

Ia Tidak Wajib

Sangat benar yang ia tidak wajib. Misalnya, menuntut ilmu formal tidak wajib sehingga ke peringkat PhD. Malah tidak lulus SPM juga tidak mengapa. Apa sahaja yang dikaitkan dengan keperluan dunia pada dasarnya tidak wajib.

Lalu kita boleh memberi contoh. Tan Sri Syed Mokhtar yang tidak ke universiti berjaya menjadi salah seorang terkaya di Malaysia. Malah beliau mempunyai universiti sendiri. Penuntutnya melangkaui pelbagai benua. Membaca kisah beliau sangat mengasyikkan.

Puan Ainon PTS juga selalu menyebut yang beliau tidak berjaya menamatkan pegajian PhD. Namun dengan idea kreatif beliau menghasil puluhan buku yang mengajar manusia berfikir. Puan Ainon menulis, bercakap dan mengamalkannya. Maka beliau – saya fikir – berjaya dalam dunia perniagaan yang berkait rapat dengan minat dan upaya beliau tanpa PhD.

Kita boleh memberi banyak contoh tentang perkara yang tidak wajib. Namun tidak ramai yang mahu menegaskan bagaimana perkara tidak wajib tiba-tiba sahaja menjadi wajib. Misal terdekat, hampir seluruh universiti terkemuka dunia meletakkan syarat perlantikan pensyarah perlu berkelululusan PhD. Benar, belajar sehingga ke peringkat PhD tidak wajib tetapi untuk menjawat jawatan pensyarah universti – dalam kebanyakan kes – ia wajib bersijil PhD.

Lalu mereka yang tidak berkelulusan PhD mungkin berkata, “tidak mengapa, saya tidak perlu bekerja di universiti. Saya mahu berniaga”. Hakikatnya, mereka yang berkelululusan PhD juga boleh berkata, “Opps… saya tidak berminat bekerja di universiti, saya juga mahu berniaga”. Mereka mempunyai dua pilihan.

Begitulah. Ia bukan soal berkelulusan PhD atau tidak. Tidak pula mereka yang berkelulusan PhD lebih baik daripada mereka yang lain. Saya hanya memberi contoh (analogi) mudah tentang realiti kehidupan yang sedang kita hadapi.

Dulu – misalnya – saya cukup berkira dengan solat. Saya hanya melakukan perkara wajib. Tidak perlu membaca surah selepas al-fatihah. Bacaan dalam ruku’ atau sujud diketepikan. Ia tidak wajib. Lalu solat menjadi sangat ringkas, pantas dan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Acap kali terlupa yang rupa-rupanya solat sudah berakhir.

Malah ada yang mencadangkan, solatlah di hujung waktu dan di awal waktu. Ia seolah-olah jamak sepanjang masa. Hilang kepentingan solat berjemaah di masjid. Allah ya Allah, ia tidak wajib!

“Marilah kita bangun pada 1/3 malam,” ia ajakan yang paling saya sukai. Namun – sesekali – ada yang berkata, “ia tidak wajib prof. Saya takut tidak dapat istiqamah”.

“Marilah kita puasa sunat. Puasa Nabi Daud, puasa sunat  paling disukai Allah,” ia juga ajakan yang tidak putus-putus saya ajukan terutamanya kepada mereka yang sihat tubuh badan.

“Prof, tidakkah ia kelihatan Islam sangat menyusahkan jika kita memberi penekanan kepada soal-soal begini. Ia hanya perkara sunat,” kata seseorang.

Saya sangat sebak dan sayu. Konsep wajib, sunat dan makruh barangkali sangat besar kesannya kepada sebahagian daripada kita. Pemisahan ini menjadikan kita sangat berkira dengan amalan-amalan sunat yang boleh menguatkan amalan wajib yang lain.

Saya fikir konsep “menyembah dan beramal ibadat semata-mata kerana Allah” dan “sepanjang masa”, sangat sukar dicapai jika kita berkira-kira dalam setiap amalan.

Lalu jika ada yang mengajak ke arah kebaikan maka lebih baik kita berdiam diri. Tidak usahlah berkata, “ia tidak wajib”. Jauh sekali untuk berkata, ” saya mahu tetapi….”.

Kami mohon keampunanMu ya Allah. Moga kami menjadi golongan terbaik di sisiMu.

4 Rabiul Awal 1434

http://muhdkamil.org/

Leave a Reply