‘Pesta ilmu’ galak budaya baca buku ilmiah

BERMULA 4 sehingga 13 April ini, akan berlangsung ‘pesta ilmu’, iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Penganjuran pesta buku ini diharapkan mampu membangkitkan kesedaran mengenai budaya membaca dalam jiwa rakyat, khususnya kepada generasi muda. Seperti tahun sebelumnya, pesta buku ini bakal menjadi tumpuan peminat buku, pengamal budaya membaca dan mereka yang menghayati budaya ilmu.

Selain itu, ia memberi galakan kepada mereka yang terbabit dalam industri penerbitan buku negara untuk meneruskan komitmen menerbitkan buku berkualiti, bermanfaat dan mampu mencerdaskan otak serta menyegarkan minda pembaca.

Penerbit buku perlu menghidupkan tradisi keilmuan dan keintelektualan dengan menggalakkan penerbitan buku berkualiti dan karya besar. Mereka perlu memperbetulkan niat dan mengetepikan sikap ingin mengaut keuntungan semata-mata hasil penerbitan buku kerana sikap ini mampu membantutkan usaha untuk memperkasakan modal insan di tanah air kita.

Pihak swasta dan korporat juga perlu sedar peranan mereka dalam membantu kerajaan memperkasakan modal insan dengan menyalurkan kewangan kepada mana-mana pihak yang ingin menggalakkan budaya ilmu menerusi penerbitan buku berkualiti.

Rakyat keseluruhannya perlu sedaya upaya memupuk budaya membaca agar ia menjadi sebati dalam jiwa. Sejak kecil kanak-kanak perlu dididik mencintai buku dan amalan membaca dan ia pasti menuntut role model yang baik daripada ibu bapa.

Leave a Reply