PENGAJARAN DARI SEBUAH KEMATIAN

Khamis lepas kehilangan ayahanda tersayang, kelmarin kakak kepada ayahanda menyusul. Siapapun pasti merasai keperitan apabila insan yang sedarah pulang meninggalkan kita. Apakah kita yang akan menyusul pada bila- bila masa mengambil iktibar bahawa kita pun akan dimatikanNya. Iktibarnya ialah membuat persiapan sebagai bekal di alam baru yang kekal abadi. Ataukah tiada merasa apa-apa? Amalannya begitu- begitu juga! Atau menggamit keinsafan untuk berubah! Kalau sebelum ini , jarang- jarang solat fardu berjemaah di masjid tapi kita berazam untuk ISTIQAMAH solat fardu berjemaah di masjid. Kalau sebelumnya beramal secara ikut-ikutan atau berdasarkan ilmu yang dipelajari belasan atau puluhan tahun, tapi kini bertekad untuk mendalami ilmu secara serius dan mengamalkannya secara serius. Begitu juga dengan amalan lain yang diperintahkan, sama ada yang wajib atau sunat terdetik untuk memasukki fasa amalan dengan serius. Jadikan iktibar sebuah kematian sebagai ‘turning point’ untuk berubah daripada yang biasa kepada luar biasa( beramal dengan bersungguh-sungguh). Renungilah episod kehadiran meraikan kematian betapa ramainya, namun berapa kerapkan yang mengambil iktibar. Jika kita ke masjid atau surau selepas upacara ritual tadi , adakah nampak perubahan? Ingatlah kematian itu bukan perkara biasa, kerana kematian merupakan permulaan kehidupan yang kekal abadi. BAHAGIAN atau SEKSA. Moga ayahandaku dan ibu saudara serta saudara-saudaraku kaum muslimin diberi pengampunan dan sejahtera di FirdausiNya.

Leave a Reply