pENDAKWAH mURRABIY- DISIPLIN PENDAKWAH

Memahami Konsep Murabbiy Dalam Diri Pendakwah

Fiqh Ad-Dakwah / Minda Madani

Konsep “Murabbiy” dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap “muallim”. Muallim bermaksuf pengajar, lebih menjurus kepada sorang pengajar atau guru yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya. Tetapi, konsep “Murabbiy” merujuk kepada Pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari.

Justeru, Murabbiy akan memastikan sesuatu ilmu itu dihayati sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbiy berlegar di “hati”. Perumpamaan yang boleh diketengahkan di sini ialah Muallim adalah orang yang bertugas mengumpulkan bahan masakan sepeti tepung, gula, garam dan rempah ratus. Manakala Murabbiy adalah diumpamakan seperti seorang tukang masak yang mahir berkemampuan mengadun dan membancuh tepung hingga berjaya dimasak menjadi kuih/hidangan yang enak.

KONSEP MURABBIY DALAM GERAKAN

Dalam gerakan Islam khususnya gerakan pelajar seprti PKPIM, peranan melahirkan kepimpinan bertaraf Murabbiy mempunyai siknifikasi dan kepentingan besar terhadap gerakan dari aspek membangun kepimpinan pelapis dan kaderisasi. Kegagalan melahirkan kepimpinan kampus mahupun Jawatankuasa Pusat serta Badan Gabungan Negeri yang mempunyai ciri-ciri Murabbiy boleh membawa kepada kepincangan Tanzim Haraki dan menyebabkan berlakunya gejala penyakit;

a. kelesuan gerakan.
b. wujud “one man show” atau kepimpinan dikuasai oleh kelompok tertentu.
c. membawa kepada gejala kelesuan dan kegersangan ahli baru seterusnya membatutkan perkembangan kaderisasi.
d. menjadikan sesuatu gerakan lebih bersifat “program oriented” berbanding untuk menjadi gerakan yang “mission oriented”.
e. akan wujud ahli-ahli yang gugur “mutasaqitun fi thoriqud dakwah”

f. menghadapi masalah penerusan kepimpinan. Akan wujudlah “vacuum” dalam proses transisi; dan lain-lain hingga boleh membawa kepada gejala keruntuhan jemaah/gerakan.

Justeru itu, kepimpinan bersifat “Murabbiy” adalah penting dan menjadi teras terutamanya dalam gerakan dakwah pelajar. Suasana pelajar/ mahasiswa yang masih dalam proses “learning and education” atau masih di peringkat Tarbiyah, amat memerlukan kehadiran “Murabbiy” sebagai pembimbing atau pendidik kepada mereka.

Oleh yang demikian PKPIM mengambil langkah pro-aktif menginstitusikan “Murabbiy” bagi setiap unit gabungannya bagi
memastikan dakwah Islamiyyah mengakar keumbinya.
CIRI-CIRI KEPIMPINAN /PENDAKWAH – Murabbiy
Asas pembinaan seorang “Murabbiy” berkait rapat dengan konsep pembinaan Pendakwah. Berbicara tentang Dakwah dan Pendakwah dalam Islam, semestinya elemen “Murabbiy” / pendidik tidak boleh dipisahkan. Berikut dikemukakan beberapa pandangan tokoh dan ulama’ dalam membinan asas keperibadian unggul Pendakwah.

1. Buku : Gerakan Islam: Kepimpinan – Syura –Tarbiyah, Zawawi Ali dan Mohammad Kamil Abdul Majid, menyatakan antara sifat-sifat Qiyadah dalam membimbing Harakah masakini perlu berteraskan ciri-ciri dan sifat kepimpinan Rasullullah s.a.w iaitu:

a. Keberanian dan keazaman yang kukuh.
b. Sabar dan berpendirian teguh – dalammengharungi segala rintangan, ujian dan siksaan kaum Quraish terhadap dirinya.
c. Keadilan dan Persamaan – Rasulullah s.a.w seorang yang bersifat adil dan mewujudkan persamaan contohnya Baginda turut sama dalam melaksanakan pembinaan Masjid pertama di Madinah. Baginda juga turut menggali Khanda / parit dalam peristiwa Ahzab.

d. Peribadi dan Watak yang Sempurna – keperibadian dan budipekerti Rasulullah s.a.w amat meyakinkan.

Sheikh Fathi Yakan, Musyhkilatu da’wah wad-da’iyah menulis tentang sifat-sifat pendakwah sepertimana berikut:
a. Kebersihan Jiwa dan Rohani
– perlu sentiasa ikhlas
– sentiasa mengingati Allah swt.
– Selalu memperbaiki ibadahnya, membanyakkan amalan sunat dan – tidak meninggalkan tahajjud.

b. Kesihatan Badan dan Kekuatannya
-Menjaga kesihatannya kerana kepimpinan dan pendakwah penuh dengan pemikiran, kerja dan perjuangan yang bersambung-sambung dan tidak henti-henti.

c. Keupayaan Akal dan Fikiran
– Pemimpin, fikiran dan mindanya haruslah terdiri dari pelbagai bahan tidak hanya terhad kepada ilmu Islami sahaja tanpa mendalami ilmu-ilmu lain.

– Berupaya juga menganalisis persekitaran dengan menggarapkan ilmu pengetahuan dan maklumat yang sedia ada dengan menjadikan pengalaman sebagai panduan berteraskan kepada Al-Quran & As-Sunnah.

Seterusnya beliau menambah bahawa ada beberapa sifat-sifat yang perlu bagi Pimpinan:
a. Mengenali Dakwah – mengenali organisasi dan matlamat perjuangan (ada hubungan)
b. Mengenali Jiwa – mengetahu kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya sendiri
c. Perhatian kepada ahli-ahli – mengambil tahu hal-ehwal pengikut.
d. Tauladan yang baik (al-Qudwatul Hasanah)
e. Pandangan yang tajam – tidak mempunyai sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas.
f. Kemahuan yang kuat
g. Daya Tarikan semulajadi
h. Optimisma

Sayyid Sabiq juga menyatakan berkenaan sifat pemimpin seperti berikut:
a. Seorang pemimpin itu mesti selalu membuat musyawarah dan jangan membuat keputusan sendiri.
b.Hendaklah seorang pemimpin itu bersifat lemah-lembut dan pengasih kepada pengikut-pengikutnya.
c. Dalam konteks melaksanakan amar ma’ruf nahi munkar, hendaklah pemimpin itu melarang ahli-ahlinya daripada melakukan maksiat.
d. Hendaklah seseorang pemimpin itu menghubungi pengikut-pengikutnya dan mengetahui keperluan mereka.
e. Hendaklah pemimpin itu menyerahkan tugas-tugasnya bertepatan dengan orang yang selayaknya.

REALITI KAMPUS & GERAKAN

Suasana generasi muda yang dihadapi oleh pendokong-pendokong gerakan dan pendakwah kini amat mencabar kerana pengaruh besar globalisasi, kesan-kesan negatif post-modernism disamping ancaman unsur-unsur percubaan mengurangkan Imej Islam serta imej negatif “dakwah” yang dijuruskan oleh barat sebagai Terrorisme. Generasi muda kini juga lebih bersifat “metrialistik” dan tersadur dengan budaya “simplistic” yang membawa kepada meluasnya budaya “hendonisme” sehinggga menyebabkan hilang jatidiri dan merosakkan – jasmani, rohani, fizikal dan mental. Wujud juga usaha-saha merobotkan Generasi muda dan unsur-unsur tidak langsung yang bersikap melemahkan tahap keintelektualan Mahasiswa. Disamping itu wujud tekanan-tekanan semasa daripada pihak berautoriti.

Justeri itu, suasana kini, menjadikan suatu keperluan bagi mewujudkan pendakwah / kepimpinan yang bersifat “Murabbiy” dengan melaksanakan pendekatan Dakwah Bil-Hal dan bersabar serta berstrategi dalam bergerak.

Rasulullah tetap terus bersabar ketika berdakwah dan berdoa:

Ertinya : “Wahai Tuhanku! Berilah hidayah kepada kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak menegerti”.

Dalam pengertian ini al-Iman Asy-Syahid Hassan al-Banna berkata:
“Jadilah kamu ketika (menyeru) manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu dan dia menggugurkan buah kepada mereka”.

Renungan : Syair gubahan Abi Al-Aswad Addualy:-

“Wahai orang yang memberi pelajaran kepada orang lain, mulailah dari dirimu sendiri hingga kau berilmu, Engkau memberi ubat kepada orang sakit hingga baik, sedangkan kau sendiri berpenyakit; Maka mulaikah denganmu, cegahlah dari kelalaian, jika selesai maka kaulah seorang yang arif bijaksana; Pastilah orang akan mengikuti, jika engkau mengajak dan menjalankan
apa yang engkau dakwahkan, dan menerima semua ajaran-ajaranmu;

Janganlah melarang perbuatan sedangkan engkau sendiri mengerjakannya, aib besar bagimu jika kau lakukan itu.”

http://www.abim.org.my/minda_madani/

Tujuh disiplin bentuk pendakwah berjaya..
Nuffnang Ads

Orang yang pada mulanya berminat memahami isu agama dan cuba untuk mendalaminya, akhirnya lari dan menyepikan diri kerana sikap ditunjukkan ‘pendakwah awam’ atau umat Islam yang tidak bijak membicarakan ilmu agama.

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada Muaz bin Jabal dengan sabda yang bermaksud: “Permudahkanlah orang dan janganlah kamu menyusahkan mereka! Gembirakanlah orang dan janganlah membuatkan mereka lari daripada kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Konsep ‘memberi kemudahan’ serta ‘menggembirakan’ orang yang ingin mengenali Islam disuruh Nabi SAW kepada umatnya. Tidaklah menghairankan dalam masa kurang daripada 100 tahun risalah dakwah dibawa Nabi Muhammad SAW, suara azan sudah berkumandang di benua timur dan barat, melepasi batas budaya dan sempadan negara.

Bagi menghasilkan natijah terbaik pada diri individu Muslim yang ingin menjadikan dirinya sebagai seorang pendakwah berjaya, ada beberapa faktor penting yang perlu dikaji antaranya:

1) Memperbaiki diri dan mendidik jiwa ke arah iman dan takwa. Pendakwah akan menyeru orang lain menerusi perbuatannya terlebih dulu sebelum dinilai melalui tutur perkataannya. Perkara itu ditekankan kerana ia senjata paling penting daripada sudut penilaian manusia di persekitarannya.

2) Pendakwah juga perlu membersihkan jiwanya daripada sifat mazmumah seperti angkuh, sombong, ego, penakut, bakhil, malas dan pendendam. Jika tidak dikikis segala ia pasti mengundang keburukan pada wajah Islam itu sendiri yang menjadi cerminan pada pendakwah berkenaan.

3) Pendakwah perlu memperlengkapkan diri dengan ilmu syariat secukupnya. Ilmu syariat mempunyai peringkat, tahap berbeza dan perlu diambil oleh mereka menurut kemampuan akal seperti sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang dikehendaki Allah dengan kebaikan nescaya dia akan diberikan kefahaman oleh Allah dalam urusan agamanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

4) Pendakwah juga perlu mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan masyarakat sekeliling tanpa mengira usia, budaya, agama, pangkat dan etnik. Kemahiran itu penting bagi membina hubungan baik dengan mereka serta menjadi peribadi disukai ramai.

5) Pendakwah perlu mempelajari kemahiran berdakwah melalui cara terbaik semasa berinteraksi dan berkomunikasi, dialog semasa, memberi kesan kepada pendengar, menarik minat mereka untuk terus mendengar dan isu yang diutarakan sesuai dengan tajuk semasa.

6) Pendakwah perlu mempelajari cara dan teknik terkini yang lebih mantap dengan penuh kesungguhan supaya tidak terus ketinggalan. Segala bentuk maklumat terbaru diperlukan untuk memudahkan penyampaian mesej dakwah kepada orang ramai.

7) Pendakwah secara peribadi harus memahirkan dirinya menyusun masanya yang sesuai untuk membuat sebarang perjumpaan dan pertemuan, menentukan waktu terbaik menyampaikan ceramah, waktu berkesan dan mampu mempengaruhi pendengar.

Teknik pengurusan masa menjadikan keberkesanan dalam dakwah yang dijadualkan secara lebih rapi dan kemas tanpa melupuskan waktu senggang bersama keluarga. Masa yang terurus dan teratur ini akan memudahkan lagi usaha dakwahnya.

Sumber lain yang perlu ada pada diri pendakwah ialah dengan mempelajari pendakwah lain yang lebih maju dan profesional. Mereka sepatutnya mempunyai banyak jaringan dan mampu bersahabat dengan ulama serta pendakwah terkenal lain. Mereka juga perlu berkongsi dalam aktiviti dakwah dan melatih diri ke arah pencapaian lebih baik.

Selain itu, mereka perlu meluangkan masa untuk melawat ke pusat dakwah dan badan dakwah yang lain untuk menimba ilmu pengetahuan. Di samping itu, mereka perlu berjumpa pendakwah veteran dengan mengkaji dan mengutip segala pengalaman.

Apa yang perlu diteliti pendakwah sebelum berdakwah ialah menilai tahap kemampuan orang yang ditujukan dan ingin disampaikan mesej dakwah. Setiap manusia mampu untuk berdakwah menurut kemampuan dan kebolehan dianugerahkan Allah kepadanya.

Pendakwah perlu bersikap dengan lebih berhati-hati dalam percubaan menyampaikan dakwah dan kesemua ini dapat dicapai melalui latihan berterusan dan berkesinambungan serta penuh kesungguhan mengikut keupayaan termampu.

Oleh Mohd Fikri Che Hussain

{ Leave a Reply ? }

Leave a Reply

Pingback & Trackback

  1. business help France, Sweden - Trackback on 2016/07/01/ 02:33
  2. Insulation - Trackback on 2016/07/05/ 14:10
  3. fair n pink - Trackback on 2016/09/26/ 03:52
  4. buy snapchat score - Trackback on 2017/01/24/ 16:33