Nafkah; Kewajipan Suami

Hadith :

Daripada Sa’ad bin Abi Waqas r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya : “ Sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu nafkah sama sekali untuk mencari keredaan Allah melainkan engkau diberi pahala atasnya sehinggakan apa yang engkau masukkan dalam mulut isteri mu.”

(Al-Bukhari dan Muslim)

Huraian
Seseorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan tanggungannya semenjak mula berlakunya akad nikah, sekalipun isterinya itu seorang yang kaya raya. Hak isteri tersebut untuk mendapatkan nafkah tidak akan berubah dan kewajipan itu tetap ke atas suami. Justeru, suami wajib berusaha mencari nafkah yang halal bagi menampung kehidupan keluarga. Kewajipan memberi nafkah ini juga dinyatakan dengan jelas dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303] misalnya telah memperuntukkan dengan jelas tentang hal pemberian nafkah dalam peruntukan Seksyen 59 hingga peruntukan Seksyen 71. Selain itu, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 juga memperuntukkan hal pemberian nafkah di dalam peruntukan Seksyen 60 hingga peruntukan Seksyen 70. Demikianlah halnya dengan peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri lain di seluruh Malaysia yang turut menyatakan perihal pemberian nafkah ini. Peruntukan-peruntukan ini dibuat untuk memastikan seseorang suami itu tidak lari dari tanggung jawabnya memberikan nafkah kepada isteri dan orang di bawah tanggungannya.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply