MMU keluar pelan garis hala tuju kegiatan R&D

Oleh Rosniza Mohd Taha

UNIVERSITI Multimedia (MMU) akan mengeluarkan Pelan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) MMU 2008 – 2014 pada minggu pertama Mei depan bagi memastikan kegiatan bidang itu dilaksanakan dengan tersusun, sejajar hasratnya mencapai status universiti penyelidikan.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MMU, Prof Dr Zaharin Yusoff, berkata pelan itu akan menggariskan hala tuju dan kekuatan universiti dalam bidang R&D, penyelarasan permohonan bajet serta geran penyelidikan, selain penggabungan kumpulan penyelidik bagi melaksanakan projek tertentu.

Katanya, selain menjadi buku panduan kepada warga MMU memajukan R&D, pelan itu juga sebagai rujukan pihak industri yang berminat menjalin kerjasama dengan universiti berkenaan terutama aspek pengkomersialan produk penyelidikan.

“Pengenalan pelan R&D ini bagi memastikan MMU dapat fokus kepada kekuatan bidang penyelidikannya terutama teknologi multimedia serta tanda komitmen dan kesepakatan warga universiti menjayakannya.

“Pelaksanaannya dipantau secara berterusan dan kad laporan mengenainya mungkin akan dikeluarkan sekurang-kurangnya enam bulan sekali,” katanya pada sidang media sempena majlis meraikan 100 hari pelantikan beliau sebagai Presiden universiti itu, di Cyberjaya, semalam.

Zaharin dilantik Presiden kedua MMU berkuatkuasa 2 Januari lalu menggantikan Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon yang bersara.

Pengenalan pelan tindakan itu antara pembaharuan diperkenalkannya selepas diberi kepercayaan menerajui universiti yang kini mempunyai lebih 20,000 pelajar tempatan dan antarabangsa selepas 11 tahun beroperasi.

Zaharin berkata, MMU akan meneruskan usaha menjadi universiti ternama di dunia menerusi penawaran program akademik yang memenuhi keperluan industri dan R&D terutama teknologi telekomunikasi, teknologi pengurusan pengetahuan, multimedia kreatif serta pengurusan inovasi.

“Kami merekodkan 95 peratus pelajar MMU mendapat tawaran kerja dalam pelbagai syarikat multinasional sebelum mereka menduduki peperiksaan akhir pada tahun akhir pengajian.

“Antaranya Sime Darby yang ketika ini sudah mengambil 40 pelajar dan Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) yang baru-baru ini menawarkan 20 tempat untuk pelajar kami menjalani latihan khas pengurusan dengan mereka,” katanya.

Beliau turut menetapkan lima aspek yang perlu diberi penekanan iaitu penawaran program akademik yang memenuhi keperluan industri, R&D, pengkomersilan produk R&D, pembangunan sumber manusia serta sokongan pentadbiran.

{ Leave a Reply ? }

Leave a Reply

Pingback & Trackback

  1. brazzers porno - Trackback on 2016/06/26/ 09:17
  2. Innovative products - Trackback on 2016/08/06/ 05:30