Mengapa Mesti Kembali Kepada Jahiliah?

Hadith :

Daripada ‘Amru bin al-‘Ash r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya yang bermaksud : “ Tidakkah engkau ketahui bahawa Islam itu meruntuhkan apa yang ada sebelumnya, hijrah menghapuskan apa yang ada sebelumnya dan sesungguhnya haji itu menghapuskan apa yang ada sebelumnya?”

(Muslim)

Huraian
Pembaharuan yang dimaksudkan di sini bukan sahaja terbatas dalam bidang agama, tetapi mencakupi semua aliran pemikiran yang pernah diguna pakai oleh umat Muslimin untuk membangun dan memajukan ummah. Dalam era baru zaman kini umat Islam daripada semua lapisan dan peringkat umur wajib mengembalikan diri masing-masing kepada cara hidup yang menjanjikan kekuatan. Segala-galanya bertujuan menebus kembali maruah dan martabat diri. Kekuatan yang wajib dikembalikan ialah kekuatan iman yang akan melahirkan usaha dan amalan produktif, kemajuan dan pembangunan yang kukuh. Segala-galanya bertunjangkan kepada nilai akhlak tinggi berdasarkan al-Quran dan al-sunah yang didatangkan bukan untuk membawa keruntuhan tetapi meninggikan pencapaian akhlak dan pengertiannya. Malangnya masih wujud sebilangan besar masyarakat yang mengambil unsur negatif dari kehidupan zaman jahiliah yang bertentangan dengan agama dan kemanusiaan sebagai jalan pintas menjalani kehidupan yang diinginkannya. Inilah antara penyakit yang sedang menjalar dan menular pantas dalam nadi masyarakat Islam hari ini menyebabkan keruntuhan Islam. Oleh itu pembaharuan sikap dan pemikiran amat perlu bagi membolehkan umat Islam mencapai kemajuan serta kecemerlangan dalam membina kehidupan yang lebih baik seterusnya mendapat keredaan Allah SWT.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply