Kaya Harta Dan Kaya Ilmu

Hadith :


Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: “Nabi Muhammad
SAW pernah bersabda :” Janganlah ingin menjadi seperti orang lain
kecuali seperti dua orang ini. Pertama, orang yang diberi Allah
kekayaan berlimpah ruah dan ia membelanjakannya secara benar (di jalan
yang adil dan sesuai dengan perintah Allah). Kedua, orang yang diberi
Allah al-hikmah dan ia berperangai sesuai dengannya dan mengajarkannya
kepada orang lain.”


 

(al-Bukhari)



 

 


Huraian
Setiap perbuatan ada matlamatnya masing-masing. Tetapi apa yang kita
inginkan dalam hidup ini? Ilmu, wang atau selainnya? Perumpamaan orang
yang kaya harta dan menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah seperti
benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada setiap butir terdapat seratus
biji. Hakikatnya, kaya dan miskin akan menguji tahap keimanan
seseorang. Tidak semestinya yang kaya kurang imannya dan yang miskin
pula kuat imannya atau sebaliknya. Jika direnung manakah yang lebih
utama, ilmu atau harta? Tentu sekali ilmu kerana seperti kata sayidina
Ali: “Ilmu akan menjaga diri mu, sementara harta adalah sebaliknya,
kamu yang harus menjaganya.” Namun alangkah baiknya jika kita kaya
kedua-duanya. Kaya harta dan kaya ilmu kerana kedua-dua mampu menaikkan
kedudukan kita bukan sahaja di sisi manusia bahkan di sisi Allah SWT
iaitu dengan cara memanfaatkan kurniaan Allah itu ke jalan yang
diredhai-Nya.

Sumber
: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply