Jiran baik umpama harta tak ternilai

Oleh Zahari Hasib

MANUSIA tidak boleh berdiri tanpa pertolongan serta simpati orang lain terutama jiran, pihak yang paling hampir dengan kita untuk menikmati kesenangan dan membantu serta memberi sokongan tatkala menghadapi kesusahan.

Kata pujangga, ada empat faktor untuk kita menikmati kehidupan selesa, iaitu rumah yang lapang, isteri yang setia, kereta yang tidak rosak dan jiran yang baik.

Apabila kita mendapat jiran baik serta berbudi, bererti kita berjaya mendapat sesuatu yang mahal serta tidak ternilai harganya. Tetapi jika kita mendapat jiran tetangga yang kurang berbudi, kita akan menghadapi keadaan yang tidak selesa dan merumitkan.

Hakikatnya, sakit pening, susah senang, jiran adalah orang paling utama untuk kita mengadu. Apatah lagi dalam hal kecemasan, jiran orang pertama yang diharapkan untuk menghulur bantuan atau yang diharapkan bagi mendapatkan pertolongan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawa dua orang pertama yang akan diadili pada hari kiamat nanti ialah dua saudara yang berjiran tetangga.”

Andai kata jiran kita ditimpa bencana maka kitalah yang perlu memberikan pertolongan, nasihat serta simpati. Begitu juga apabila mereka mendapat khabar gembira, wajarlah kita yang dulu mengucapkan tahniah dan syukur.

Perlu diingat, hidup ibarat roda pedati yang sentiasa bergilir untuk turun dan naik. Hari ini kita hulurkan simpati kepada penderitaan orang lain, sudah tentu hari esok orang lain sanggup menderita serta menangis bersama kepayahan kita.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada syafaat bagi seseorang Muslim apabila pada ketika dia sihat dan kenyang tetapi di sebalik dinding ada jirannya yang susah dan lapar.”

Sabda Baginda SAW lagi yang bermaksud: “Akan beroleh syafaat yang besar bagi seseorang Muslim iaitu apabila bau masakannya tercium oleh jiran sebelah lalu dia bergegas pergi memberinya semangkuk.”

Justeru, rasa persaudaraan yang terpancar daripada keikhlasan kehidupan berjiran sangat dituntut oleh Islam seperti mana sabda junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara.”

Perasaan cemburu, dengki, iri hati serta khianat sesama jiran amat dibenci oleh Islam. Diriwayatkan oleh Tabrani, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik mereka yang beriman ialah apabila orang lain selamat daripada tindakan lidah dan tangannya.”

Nabi Muhammad SAW pernah menyatakan kepada seorang sahabat: “Bahawa seorang wanita yang berpuasa siang dan bersolat malam, tetapi dia suka menyakiti hati jirannya, maka perempuan itu adalah penghuni neraka.”

Demikianlah kuat dan besarnya pertalian jiran tetangga yang menjadi perkara penting diingatkan kepada umat Islam. Malah, apabila berhasrat membeli rumah, kita juga dinasihatkan untuk memilih perumahan yang memiliki kejiranan yang baik.

Dalam hadis diriwayatkan Jabar dan Anas, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jibril selalu mengingatkan aku mengenai jiran tetangga, seolah-olah aku menduga Jibril akan menyuruh supaya diturunkan pusaka kepada jiran tetangga.”

Ada empat perkara hak Muslim terhadap Muslim lain: Apabila bertemu ucapkan salam, apabila diundang penuhilah undangannya, apabila sakit ziarahilah dia dan apabila dia meninggal maka iringlah jenazahnya sampai ke kubur.

Seseorang Muslim apabila datang menziarahi orang sakit pada waktu pagi, 70,000 malaikat akan mendoakannya sampai ke petang, dan apabila menziarahinya pada waktu senja 70,000 malaikat akan mendoakannya hingga ke subuh.

Tiga malam sebelum Nabi Muhammad SAW wafat, Baginda menasihatkan sahabat dengan sabdanya yang bermaksud: “Janganlah mati seseorang kamu kecuali dalam keadaan berbaik sangka terhadap Allah dan jiran tetangga.”

Dalam suasana kehidupan maju sekarang, semangat persaudaraan dan kejiranan semakin jauh tidak seperti masyarakat dulu atau kasih sayang serta pengorbanan persaudaraan yang ditunjukkan kaum Muhajirin dan Ansar.

Tidak dinafikan, nilai persaudaraan dan semangat kejiranan masyarakat dulu begitu kukuh hinggakan walau sudah berpindah jauh, masih ada yang sanggup kembali bertemu jiran apabila tiba hari raya atau ingin mengadakan kenduri-kendara.

Malangnya, kemajuan mengorbankan ikatan saling hormat menghormati dan hidup berjiran terutama di kalangan penduduknya yang bekerja.

Renungkan firman Allah yang bermaksud: “Sebenarnya aku amat pemurah dan penyayang, maka kepada mereka yang menghubungkan silaturahim akan Ku tambahkan rahmat-Ku ke atasnya, tetapi apabila mereka memutuskan hubungan persaudaraan nescaya akan Ku pendekkan rezeki terhadapnya.”

Leave a Reply