Jangan Mengintip!

Hadith :

Sesiapa yang mengintip atau memandang di dalam rumah sesuatu kaum tanpa izin mereka maka sesungguhnya halallah bagi mereka mencungkil matanya.”

(Ahmad, Muslim, Abu Daud dan al-Baihaqi)

Huraian
Allah mengingatkan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (al-Hujurat: 12). Ayat ini bukan sekadar mendidik jiwa dan membersihkan hati, bahkan ia menjadi dinding yang memagari kehormatan, hak dan kebebasan seseorang manusia. Namun seharusnya kita dapat membezakan dan memahami dengan jelas dan benar bahawa mengintip dan mencari rahsia walaupun hukum asalnya adalah haram tetapi ia dikecualikan dalam hal-hal tertentu yang diharuskan syarak. Seperti penguat kuasa yang dibenarkan untuk membuat intipan khalwat sekiranya mendapat satu maklumat daripada sumber yang dipercayai. Hal ini diharuskan kerana ia dilakukan untuk mengesahkan kes tersebut dan bagi mendapatkan bukti.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply