Isyak Yang Panjang

Hadith :

Dari Aisyah r.a ia berkata: “ Rasulullah telah mengakhirkan solat Isyak’ pada suatu malam sehingga lewat larut malam, lalu baginda keluar dan melakukan solat. Baginda berkata: “Sesungguhnya ini adalah waktunya seandainya tidak memberatkan umat ku. “

Riwayat Muslim

Huraian
Sesungguhnya solat adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama. Solat memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan kita. Justeru jika diperhatikan, orang yang sentiasa memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan. Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj dan perintah ibadat solat ini juga berbeza dengan ibadat lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril. Melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin yang wajib dilaksanakan. Sementelah waktu solat Isyak adalah panjang dan lebih afdhal didirikan pada waktu tengah malam namun kita tidak digalakkan sengaja melewatkan tanpa sebarang sebab yang diharuskan lantas terlena lalu terlepas waktunya.

Leave a Reply