Isi Khutbah Sheikh as-Sudais & Fenomena Menyedihkan

Isi Khutbah Sheikh as-Sudais & Fenomena Menyedihkan
By Shahmuzir

Alhamdulillah, tengahari tadi saya sempat sampai ke Masjid Wilayah Persekutuan jam 12.30 tengahari. Masuk di masjid, rupa-rupanya sudah penuh 5 saf di hadapan. Tentu mereka semua menantikan kehadiran Sheikh as-Sudais yang dijadualkan akan memberi khutbah dan mengimami solat fardhu Jumaat di masjid tersebut. Saya terus ke saf paling kanan, meletakkan beg di tepi dinding, solat tahiyyatul masjid dan membaca al-Quran.

Disebabkan oleh masa masih awal, maka pihak masjid telah menjemput seorang qari untuk membaca al-Quran. Kuat sungguh bacaannya sehingga agak menggangu saya untuk membaca al-Quran. Tentu orang lain yang sedang melakukan solat sunnat dan lain-lain ibadah sunnat pun terganggu juga agaknya, aduhai… :(

Sheikh as-Sudais sampai sekitar jam 1.15 tengahari. Saat itu ramai kelihatan berdiri dan yang datang lewat pun sibuk hendak ke depan. Sedangkan adab seorang yang lewat masuk ke masjid hendaklah dia duduk di belakang dengan tenang tanpa berpusu-pusu melangkah peha dan bahu orang lain untuk ke depan. Kerana ini akan menyakitkan hati saudara muslimnya yang lain. Malah ada yang melalui di hadapan orang yang sedang solat, astaghfirullah. Terasa sedih melihat fenomena ini. Ternyata, sebahagian ahli masyarakat masih samar dengan adab di dalam masjid.
Inti Khutbah Sheikh as-Sudais

Sheikh as-Sudais telah menyampaikan khutbah beliau di dalam bahasa Arab dan apabila beliau memulakan khutbahnya, tiba-tiba saya terkenang nostalgia ketika berpeluang mengerjakan umrah dan mendengar khutbah di BaituLLAH al-Haram. Sangat menyentuh perasaan ketika di sana.

Antara mesej utama yang disentuh beliau di dalam khutbah di Masjid Wilayah Persekutuan ialah:

1.

Kepentingan meluruskan aqidah di atas aqidah yang betul
2.

Mengambil ISLAM sebagai cara hidup secara keseluruhannya. ALLAH telah menyempurnakan ajaran ISLAM dan DIA telah redha ISLAM sebagai cara hidup untuk diamalkan.
3.

Sheikh di dalam khutbah beliau sangat menitik beratkan soal ukhuwwah Islamiyyah di antara penganutnya. Berkali-kali Sheikh menekankan bahawa kita adalah ummah yang satu.
4.

Ummat ISLAM mesti mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan menjadikan ia sebagai contoh tauladan yang mesti dijadikan rujukan. Tidak ada cara lain lagi hendak berjaya, melainkan ikut (ittiba’) sunnah. Sheikh menekankan bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah bersabda bahawa semua muslim akan masuk syurga, kecuali yang enggan. Yang dimaksudkan enggan ialah mereka yang derhaka kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dengan tidak mengikuti semua suruhan dan tidak menghiraukan larangannya.
5.

Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang berilmu. Betapa ISLAM sangat menitik beratkan ilmu. Justeru, tuntutlah ilmu dan fahamilah ilmu.
6.

Bukan setakat menuntut ilmu dan faham, tapi mesti amal. Menjadi tuntutan buat kita yang sudah menuntut ilmu, yang ada ilmu untuk mengamalkan ilmu tersebut.
7.

Sheikh as-Sudais mengingatkan tentang kesederhanaan di dalam ISLAM dan betapa pentingnya sifat ini diambil dalam membawa agama ISLAM ke dalam kehidupan.
8.

Sheikh juga menyentuh perihal akhlaq muslimin. Amat menyedihkan sekiranya akhlaq tidak dijadikan tumpuan ummat ISLAM. Kerana antara tujuan penting diutuskan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam ialah untuk menyempurnakan akhlaq.
9.

Sayang-menyayangi sesama muslim juga disentuh oleh Sheikh as-Sudais di dalam khutbahnya.
10.

Setiap muslim mestilah mempunyai adab dalam perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat dan pandangan di kalangan ummat ISLAM mestilah ditangani dengan ilmu dan diserahkan kepada ahli ilmu. Janganlah disebabkan oleh perkara-perkara furu`, feqah, ijtihadiah dan lain-lain seumpamanya menyebabkan ummat ISLAM berpecah.
11.

Sheikh mengingatkan juga akan ancaman kepada ummat ISLAM tentang syahwat (perkara-perkara maksiat dan berkaitan nafsu) dan syubuhat (perkara-perkara yang samar-samar dalam kehidupan moden).
12.

Ummat ISLAM mestilah menjadi ummat yang memberikan kebaikan.

Itulah antara beberapa perkara penting yang disentuh oleh beliau di dalam khutbah Jumaat. SubhanALLAH, memang bertenaga penyampaian beliau dan sangat bernilai.

Selepas habis khutbah, beliau mengimamkan solat fardhu Jumaat. MasyaALLAH, sedap sungguh bacaan beliau sebagaimana yang biasa didengari melalui perkakas media yang ada. Tapi, sudah tentulah tidak boleh menandingi apabila beliau membacanya saat bersolat di Masjidil-Haram. Suasananya lain, suasananya istimewa, suasananya syahdu terasa.

Yang menarik hati saya juga ialah walaupun as-Sheikh memegang pendapat bahawa membaca basmalah adalah secara sirr (perlahan), bukannya jahar (kuat) seperti pendapat kebanyakan orang Malaysia, namun beliau dengan sifat keilmuannya meraikan ahli jemaah yang berada di belakang beliau dengan sengaja menperjelaskan bacaan basmalah. Beliau tetap membacanya secara sirr, tetapi bacaan basmalah beliau dengan jelas didengari oleh ahli jemaah melalui mikrofon. Beliau juga berwirid sebentar sehingga boleh didengari suaranya melalui mikrofon, tetapi dengan suara yang sangat perlahan bunyinya. Inilah sifat yang kebanyakannya tidak ada pada sebahagian muslim yang berkeras dengan pendapat dan pandangan masing-masing tanpa meraikan sedikit pun orang sekeliling. Moga-moga ada pengajaran buat kita semua dari sifat keilmuan Sheikh ini, insyaALLAH.
Fenomena Yang Menyedihkan

Di dalam keterujaan ahli jemaah yang hadir untuk melihat dan bertemu dengan seorang tokoh besar yang disayangi mereka, mereka terlupa akan beberapa adab yang sepatutnya ada pada diri seorang muslim. Kita tahu mereka sayangkan Sheikh as-Sudais, yang bukan calang-calang orang, dan peluang untuk bertemu dengannya tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Tetapi perlu diingat bahawa perkara yang utama mestilah diutamakan dahulu.

Berikut adalah beberapa fenomena yang menyedihkan saya tatkala melihatnya:

1.

Ada sebilangan ahli jemaah yang lewat mencari ruang-ruang yang kosong di hadapan. Malah, ada yang duduk di hadapan orang lain. Sepatutnya, duduk sahajalah di belakang dengan tenang dan janganlah melangkah bahu dan peha orang lain, semata-mata hendak mendapat saf di hadapan. Hal ini saya sudah sentuh di awal tulisan ini.
2.

Ketika sedang khutbah, ada sebahagian ahli jemaah yang berdiri dan bergerak dari tempat duduk mereka, semata-mata untuk menangkap gambar dan video. Sedangkan sepatutnya ketika khutbah disampaikan, seorang muslim mestilah khusyuk mendengar apa yang disampaikan oleh khatib.
3.

Selepas solat fardhu Jumaat, ramai berpusu-pusu ke hadapan untuk bertemu Sheikh. Ada yang sampai melanggar bahu dan peha orang lain. Lebih malang, ada yang sampai melalui di hadapan orang yang sedang solat sunnat ba`diah. Saya terpaksa menangguhkan solat sunnat sehingga keadaan sedikit reda. Saya berganjak dan memilih untuk solat di tepi dinding dan meletakkan beg saya sebagai pengadang. Itu pun ada juga orang yang hendak lalu. Mujur saya sempat menghalang mereka dari masuk kawasan ‘eksklusif’ saya.
4.

Ada sebahagian ahli jemaah yang menaiki mimbar semata-mata untuk menangkap gambar dan video. Perbuatan begini sudah tentulah menimbulkan rasa yang kurang senang di kalangan AJK masjid. Jika hendak buat begitu, dapatkanlah dahulu kebenaran mereka.
5.

Ramai bertolak-tolakan di dalam masjid untuk melihat wajah Sheikh yang kita semua sayangi. Perbuatan begini boleh menimbulkan kemarahan saudara semuslim kita. Bawa bertenanglah.
6.

Sikap yang tidak tenang di kalangan ahli jemaah memberikan kesusahan kepada AJK masjid untuk mengawal keadaan. Sehingga terpaksa diulang peringatan oleh pihak masjid agar beradab di dalam masjid melalui pembesar suara.
7.

Kelihatan ada beberapa ahli jemaah yang berlari ke sana ke sini mencari peluang untuk mendapat ruang yang paling sempurna untuk berada dekat dengan Sheikh.
8.

Terdengar suara manusia menjerit-jerit di dalam masjid ketika Sheikh berjalan keluar dari masjid. Ada yang takbir, ada yang mengarahkan itu dan ini. Mungkin suara sebahagian ahli jemaah dan AJK masjid. Sangat tidak patut mereka melakukan sedemikian. Mungkin disebabkan keadaan gawat, maka mereka terlupa bahawa mereka ketika itu berada di masjid.

Itulah antaranya. Mungkin di lain kali harap-harap perkara seumpama ini tidak berlaku. Saya percaya, perkara sebegini bukan sahaja berlaku kepada Sheikh as-Sudais, malah juga kepada ramai tokoh-tokoh besar. Mungkin fenomena ini berlaku lantaran manifestasi perasaan mereka yang cintakan dan sayangkan para ulama. Saya faham. Namun, dalam menyatakan rasa hormat, sayang, cinta dan kagum itu, janganlah dilupakan tentang adab. Apatah lagi ketika kita berada di dalam masjid. Bukankah masjid adalah rumah ALLAH? Bagaimana pula manifestasi rasa cinta, sayang, kagum dan hormat kepada ALLAH??? Di mana???

Di dalam hati, saya berbisik, susahnya hendak bertemu dengan Sheikh as-Sudais dan tokoh-tokoh yang besar ini. Tapi, hendak berbual dengan Tuhan Sheikh as-Sudais dan Tuhan tokoh-tokoh besar ini tak perlu langsung protokol dan tak susah pun. Kita selalu lupa Yang Maha Besar. Sebaliknya mengejar manusia yang jauh tidak lebih besar dari Yang Maha Besar. Allahu Rabbi! HasbiyALLAH!

Saya hanya merenung dari jauh sambil mengucapkan istighfar. Juga berasa syukur kerana ketika saya berada di IAIS, keadaan tidaklah segawat di Masjid Wilayah Persekutuan ini. Saya masih boleh berjumpa dengan Sheikh as-Sudais dan bersalam dengannya dengan tenang kerana suasana di situ lebih santai.

Semoga catitan ini bisa memberikan manfaat buat diri saya terutamanya, dan juga buat kalian yang sudi membacanya.

WAllahu Ta`ala A`lam.

– www.muzir.wordpress.com

* AMALKANLAH mana-mana yang baik yang dijumpai di dalam blog ini. Dan SEBARKANLAH ia. Jangan lupa untuk sertakan sekali alamat www.muzir.wordpress.com, supaya memudahkan proses rujukan. Semoga dengan mengamalkannya dan menyebarkannya, kita semua akan diganjari ALLAH Ta`ala dengan kebaikan yang banyak, amin.
*
* Email
* Print
*

On the PopPressed Radar

Leave a Reply