FOKUSKU

Sejak semenjak dua menjakni sudah ramai ilmuan agama menyampaikan ilmu mereka melalui kuliah, forum dan sebagainya sama ada secara bersemuka dengan audien atau bersiaran di media, menulis di pelbagai penerbitan. Tidak kurang juga melalui kelas formal atau separa formal. Namun Blog ini hanya sebagai nasi tambah yang ingin bersama sahabat di blog untuk sama-sama menghayati, memahami dan mengamalkan semua yang diungkapkan Oleh para ilmuan di atas. Cuma pendekatannya ialah bagaimana mengamalkan apa yang disampaikan oleh para ilmuan tersebut. Sedaya mungkin sebagai pemudah cara untuk kita mengamalkan dan apa yang sebenarnya diinginkan oleh para ilmuan tersebut? Apakah mampu kita laksanakan semua saranan para ilmuan tersebut? Kita yang jahil ini nampak begitu hebat dan beratnya amalan yang dicadangkan para ilmuan dan terpaksa memutar perjalanan hidup kita sehingga 360 darjah. Akhirnya satu darjah pun tidak berubah. Blog cuba membantu dengan cara yang mudah agar 360 darjah sebagai target para ilmuan tersebut tercapai. Cara kita ialah kita cuba berubah bermula dengan satu darjah ke satu darjah sehingga mencapai 360 darjah sebagai menjadi target para ilmuan sebelum dipanggilNya. Perubahan satu darjah tersebut biar kekal dan tidak sesekali membuat “anti-clock wise”. Sebagai contoh untuk melaksanakan solat kita kena pastikan kita memahami dengan jelas kenapa adanya suruhan solat dan bagaimana melaksanakannya dengan sesumpurna yang mungkin. Bermula dengan melaksanakan segala rukun solat dan secara beransur-ansur dan istiqamah melaksanakan amalan yang menjadi keutamaan seperti solat berjemaah dan amalan pelengkap(aksesori) dalam solat kita. Dicadangkan agar dilaksanakan dari semudah-mudahnya sehingga istiqamah. Sebagai contoh doa wudhuk diamalkan secara istiqamah dan diikuti dengan solat sunat wudhuk. Melaksanakan sunat sebelum Subuh secara istiqamah bagi mengiringi solat fardu Subuh berjemaah secara istiqamah. Ditambah dan ditambah amalan dan ilmu berkaitan dengan sesuatu ibadat. Inilah pendekatan yang kadang terlepas pandang. Ramai yang ingin melaksanakan apa yang disarankan oleh para ilmuan, namun, di mana ingin dimulai dan bagaimana memulakannya dan bagaimana seterusnya serta bolehkah dilaksanakan secara istiqamah? Apakah perlu tadarus al Quran sepanjang masa dan solat sepanjang masa? Atau mana solat-solat sunat yang ingin dilaksanakan di antara banyaknya solat sunat yang diajar? Dapatkah dilaksanakan dalam 24 jam sehari dengan banyaknya komitmen keduniaan? Blog ini Cuba berkongsi sehinggalah yang pada mata kasar nampak banyak tapi dengan biiznillah insyaAllah dapat kita amalkan.Yakinlah Allah yang menjadikan makhlukNya dan Dialah yang mengatur kehidupan kita. Apa yang dicipta dan diaturNya pasti selari dan mampu dilaksanakan oleh hambaNya.Sesungguhnya ALLAH MAHA MENGETAHUI.

Leave a Reply