Biofuel: Antara realiti, ilusi

SALAH satu faktor yang membawa kepada kenaikan harga bahan makanan sedunia dikaitkan dengan perubahan daripada tanaman untuk makanan kepada tanaman untuk biofuel iaitu penggunaan tenaga alternatif menggantikan bahan bakar seperti minyak.

Terdapat banyak gambaran positif biofuel dalam bidang tenaga antarabangsa. Ia dilihat sebagai penyelesaian kepada krisis tenaga dan masalah perubahan iklim yang disebabkan oleh kesan gas-gas rumah hijau.

Persoalan sekarang adakah ini suatu keyakinan atau sesuatu ilusi bahawa biofuel – bahan bakar daripada tumbuhan-tumbuhan – merupakan penyelesaian segera kepada krisis tenaga dan pemanasan bumi sekarang?

Kesatuan Eropah (EU) yang ingin menyaingi Amerika Syarikat dalam pemonopolian sumber tenaga melihat biofuel sebagai sumber tenaga yang ‘mapan’.

Kegilaan baru EU telah mempengaruhi negara sedang membangun untuk turut serta dalam kempen mencari tenaga alternatif hijau dan menjadikannya sebagai tenaga komoditi eksport yang baru.

Bagi pemahaman asas, biofuel sebahagian besarnya melibatkan penghasilan etanol daripada tumbuhan-tumbuhan sebagai ganti kepada bahan bakar diesel berasaskan fosil.

Kebanyakan daripada sumber biofuel semasa diperoleh daripada tebu, kacang soya, jagung, kelapa sawit dan biji sesawi.

Memandangkan keprihatinan yang tinggi terhadap kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh persaingan untuk penghasilan bahan bakar, generasi baru biofuel yang dihasilkan daripada sisa pertanian dan balak sedang dicari tetapi masih tidak berdaya maju.

Di Indonesia misalnya kajian sedang dilakukan untuk melihat sejauh mana pokok kelapa dapat menjadi bahan bakar alternatif bagi kenderaan dan jentera.

Sebenarnya, biofuel bukanlah suatu sumber tenaga yang baru. Pada masa lalu kebanyakan komuniti di serata dunia telah menggunakan minyak kelapa sebagai bahan bakar untuk masakan.

Bagaimanapun gembar-gembur sekarang mengenai biofuel merupakan suatu yang bersifat sejagat, merupakan agenda EU. Ia bukannya bertujuan mencari jalan penyelesaian kepada masyarakat miskin di negara sedang membangun yang memerlukan bahan api murah, selamat dan melindungi alam sekitar.

Tetapi ia merupakan usaha sejagat yang bersandarkan kepada premis bahawa biofuel menawarkan penyelesaian teknologi segera kepada krisis tenaga sejagat sekarang.

MembangunInilah yang menarik minat kebanyakan negara sedang membangun yang ingin berkongsi bahagian pasaran dalam menghasilkan biofuel. Ilusi sekarang adalah dengan mengekalkan kehidupan pengguna yang membazirkan ini dan penggunaan bahan bakar fosil yang mahal – dapat diatasi dengan menggunakan biofuel.

Siapakah yang menjadi mangsa kepada permintaan industri baru ini daripada negara perindustrian? Tentulah negara sedang membangun! Perkembangan yang berlaku harus ditangani dengan berhati-hati supaya negara sedang membangun tidak terjebak dalam perangkap pergantungan kepada negara maju lagi.

Dengan krisis makanan sejagat dan kenaikan harga makan ruji yang tidak dapat ditanggung oleh penduduk negara sedang membangun, apakah tanaman pertanian untuk biofuel dapat menjadi keutamaan sekarang?

Kebanyakan biofuel sekarang dihasilkan daripada tanaman bijirin seperti kacang soya, ubi kayu, jagung, kacang tanah, kelapa sawit, tebu dan biji sesawi.

Ini tentu akan memberi persaingan kepada sumber tanah dan pertanian. Penanaman tanaman untuk biofuel akan mencetuskan persaingan baru untuk sumber pertanian terutamanya untuk tanah dan air, antara penghasilan makanan dan penghasilan biofuel.

Demi pulangan cepat, kebanyakan tanah pertanian akan diperuntukkan bagi penghasilan biofuel terutama tanaman bijirin bagi memenuhi permintaan dan mengawal harga.

Masalahnya sekarang kepesatan pembangunan telah menyebabkan jumlah tanah semakin sedikit, apatah lagi bagi tanah pertanian dan sekarang persaingan tanah untuk biofuel pula.

Apa yang menambahkan lagi kebimbangan kita terhadap permintaan untuk penghasilan biofuel dan kesan daripada perubahan iklim ke atas bekalan dan pengagihan air dunia ialah dunia akan berhadapan dengan suatu lagi krisis besar iaitu krisis air sejagat.

Peningkatan penghasilan untuk biofuel kepada skala komersial dan perkembangan tanah pertanian ini akan meningkatkan permintaan air bagi pertanian yang telah menggunakan 93 peratus daripada bekalan air bersih.

Dalam persaingan antara tanaman makanan dan bahan bakar hijau, penduduk miskin yang mempunyai capaian terhad kepada penguasaan tanah dan terpaksa berjuang untuk mendapatkan air akan mengalami kerugian.

Dengan ini, tanaman bahan makanan terutama makanan ruji seperti beras dan bijirin lain di negara pengeksport contohnya India, Thailand, Filipina, Mexico dan Brazil akan berhadapan dengan tekanan dan persaingan sama ada menanam tanaman biofuel atau tanaman makanan ruji dan bijirin.

Ini tentu akan meningkatkan harga bahan makanan dunia.

{ Leave a Reply ? }

Leave a Reply

Pingback & Trackback

  1. buy mdma - Trackback on 2016/09/08/ 03:48
  2. Online styling service - Trackback on 2016/12/20/ 17:08