Berkumur Sebelum Solat

Hadith :

Diriwayatkan daripada Suwaid bin al-Nu’man r.a:” Pada tahun terjadinya perang Khaibar aku pergi bersama Rasulullah SAW hingga kami tiba di Shahba, sebuah tempat dekat Khaibar, tempat Rasulullah SAW mengerjakan solat Asar dan meminta makanan. Tidak ada makanan lain kecuali sawiq. Nabi SAW menyuruh mencucinya terlebih dahulu. Kami semua memakannya dan tidak lama kemudian Nabi SAW berdiri untuk solat Maghrib, berkumur-kumur dan kami mengerjakan hal yang sama lalu mengerjakan solat dengan tidak mengulang wudhu’.”

(al-Bukhari)

Huraian
Makan dan minum bukanlah perkara yang membatalkan wudhu’ tetapi ia adalah perkara yang membatalkan sembahyang jika berlaku dalam sembahyang. Justeru bagi sesiapa yang mengambil makanan dan ingin mengerjakan solat dengan wudhu’ yang sedia ada digalakkan untuk berkumur terlebih dahulu sebagai langkah pembersihan mulut iaitu jika tidak berkesempatan memberus gigi kerana memberus gigi adalah cara yang terbaik untuk membuang sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gigi. Rasulullah SAW dalam hal ini pernah bersabda yang maksudnya “Sekiranya tidak memberatkan umat ku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak (memberus gigi) setiap kali ingin bersolat.” (Bukhari) Manakala ada dari riwayat yang lain mengatakan, “… Setiap kali hendak berwudhu’” (Bukhari)

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply