Batasan Tegas Antara Iman Dan Kufur

Hadith :

Daripada Jabir r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Di antara hamba Allah dan di antara kufur ialah meninggalkan solat.”

(Muslim dan at-Tirmidzi)

Huraian
Ulama’ berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.
1) Golongan pertama berpendapat bahawa orang yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir. Manakala mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya, maka mereka adalah kafir. Golongan ini juga berpendapat semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah kecuali dosa syirik.
2) Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, sama ada mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula. Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW secara jelas menunjukkan bahawa ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya.
3) Menurut Imam al-Syafie pula bahawa sesiapa yang meninggalkan solat sedangkan dia seorang Muslim, maka dia harus ditanya: “Mengapa kamu tidak bersolat? Jika dia menjawab: Saya terlupa. Maka katakanlah: Solatlah engkau ketika sudah ingat. Jika dia menjawab: Kerana saya sakit. Maka katakanlah kepadanya: Solatlah semampu mu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat. Apabila dia menjawab: Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya. Maka katakanlah kepadanya: Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah. Jika tidak kami akan membunuh mu.(Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafie karya Dr Muhammad A W al-Aqil).
Demikianlah seriusnya hukuman terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a Reply