BACA DAN AMBIL IKTIBAR

Selamat Hari Raya

Barakallahu Fikum.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir batin. Itulah ucapan yang sering dilafazkan. Tentu sekali kita berharap dosa-dosa sesama manusia akan terhapus. Saya juga tidak terkecuali. Hampir lapan bulan saya bersama khalayak pembaca Majalah I, pasti ada kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan melalui penulisan atau pemikiran. Ia mungkin melukakan hati para pembaca.

Maafkan saya. Sungguh, saya tidak bermaksud begitu. Kesemua tulisan-tulisan yang telah tersiar merupakan pinjaman Allah yang diberikan kepada insan kerdil seperti saya. Saya bersyukur. Namun saya sentiasa berdoa agar ia menjadi satu amal ibadat yang diterimaNya. Malah saya berjiwa besar agar ia boleh menjadi ilmu yang bermanfaat.

Hakikatnya, setiap perbuatan termasuklah penulisan perlu dilakukan dengan niat semata-mata kerana Allah. Ia selari dengan tuntutan surah Surah Adh-Dhariyat ayat 56. Ia ayat yang diulang-ulang dibaca dan disebut melalui ceramah dan kuliah agama dipelbagai pentas. Maksud saya, ia ayat popular di pasaran ceramah. Terjemahan ayat tersebut bermaksud,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu

Hari raya adalah hari yang menggembirakan. Kami sekeluarga tentunya terselit sedikit rasa sedih – terutamanya anak-anak – kerana tidak dapat menyambut hari bermakna ini bersama kaum keluarga yang ramai. Buat pertama kali kami – insyaAllah – menyambut hari lebaran di Tanah Suci Madinah. Ia perbandingan sambutan yang akan saya ceritakan pada bulan-bulan seterusnya.

Sesungguhnya kami sangat teruja. Kami merancang akan menunaikan umrah pada hari raya ketiga. MasyaAllah, Subhanallah, Allahu Akbar, ia sesuatu yang tidak pernah saya mimpikan. Berhari raya di Masjid Nabawi dan di Masjidil Haram bersama isteri, anak-anak dan ibu mertua. Jika diberi kesempatan, kami mungkin dapat menyambut hari yang penuh makna ini bersama rakan-rakan di Madinah, Mekah dan Jeddah.

Namun ada beberapa perkara yang sering saya sampaikan kepada sanak-saudara, para pelajar dan mereka yang hampir tentang ujian menyambut hari raya di Malaysia. Ia ujian yang sangat besar. Ramai yang tertipu dengan “adat-istiadat” menyambut hari raya yang sudah menjadi rutin amalan.

Misalnya, ziarah-menziarah atau kunjung–mengunjung merupakan amalan yang sangat mulia. Namun jika ia dilakukan sehingga mengabaikan solat berjemaah di masjid pastinya merupakan satu tragedi besar. Saya fikir begitu. Ia menjadi tidak apa dalam keadaan masyarakat yang tidak menjadikan amalan solat berjemaah ke masjid sebagai satu amalan besar yang perlu dipatuhi.

Barangkali tiada getar di jiwa membaca hadis yang dilaporkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud,

“…sesungguhnya memang aku bercadang untuk menyuruh diiqamahkan sembahyang dan aku suruh seseorang untuk mengimami para jemaah, dan aku pula keluar dengan beberapa orang lelaki yang membawa bersama mereka beberapa ikatan kayu api untuk pergi ke rumah-rumah orang yang tidak hadir kepada solat berjemaah, lalu aku bakarkan rumah-rumah mereka”

Mahukah kita membayangkan begitu, rumah kita dibakar ketika menyambut hari kemenangan? Allah… Allah… Allah… itulah yang saya maksudkan dengan tragedi besar yang perlu difikirkan secara bersungguh-sungguh.

http://muhdkamil.org/blog/

Leave a Reply