Antiintelektualisme

Oleh Rosniza Mohd Taha

Sikap negatif pelajar gugat mutu pewaris kepemimpinan negara

BersamaNaib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Aminah Ayob

TABIAT anti-intelektualisme yang kian merebak di kalangan pelajar universiti bukan saja menjejas prestasi mereka sepanjang pengajian malah boleh menggugat kualiti mahasiswa sebagai pewaris kepemimpinan negara.

Kerap kedengaran rungutan pensyarah universiti mengenai pelajar yang tiada motivasi belajar, tidak begitu kisah menimba ilmu dan gemar memperlekeh pensyarah.

Sebagai contoh, seorang profesor mengadu kepada saya perihal pelajarnya yang tidak dapat menjawab soalan diajukan dalam kelas, tidak suka bertanya, meminta soalan ramalan apabila diadakan kuiz serta cepat berpuas hati dengan markah lulus C walaupun kebanyakan markah menerusi tugasan berkumpulan.

Ini adalah antara tabiat anti-intelektualisme yang semakin menular di kalangan mahasiswa.

Prof Dr. Aminah Ayob

Banyak tingkah laku dikesan di kalangan pelajar IPT ketika ini termasuk tidak melaksanakan tugasan yang diberikan kepada mereka, tidak menyumbang dalam perbincangan kelas kerana tidak berpengetahuan, suka merungut mengenai beban tugasan serta melobi supaya ia dikurangkan.

Ada juga yang ponteng kuliah kerana lebih cenderung kepada kegiatan lain, memberi penilaian yang rendah kepada pensyarah yang memberi banyak tugasan dan menuntut standard tinggi, membazirkan masa dengan aktiviti tidak berfaedah seperti tidur dan menonton video, tidak membuat persediaan untuk kuliah atau ujian, tidak ambil peduli mengenai kerja tambahan atau mengambil inisiatif berbincang dengan pensyarah serta rakan berhubung topik yang tidak difahami.

Bertambah parah apabila ada di kalangan pelajar yang bangga menyatakan dia tiada masa untuk belajar serta berpuas hati dengan pencapaian ‘cukup makan’ serta malas membaca.

Tabiat lazim anti-intelektualisme termasuk mengejek dan melabel pelajar rajin ‘macam perempuan’ atau ulat buku, merendahkan kegiatan berkonsep ilmiah dengan menyifatkan ia membosankan, manakala peraturan akademik pula dianggap menyusahkan serta mengganggu masa lapang.

Sifat dan tabiat buruk ini juga dilaporkan menjadi-jadi di kampus universiti Amerika Syarikat, malah pada 1963, Richard Hofstadter memenangi hadiah Pulitzer bagi bukunya berjudul “Anti-Intellectualism in American Life”.

Kini, sifat itu sudah berjangkit di kalangan penuntut universiti kita kerana mereka keliru dan tidak tahu apa tujuan sebenarnya memasuki universiti atau sekadar bermegah dan mendapat segulung ijazah?

Antara faktor penyebab anti-intelektualisme kian menular di kalangan mahasiswa adalah mereka tidak berminat dalam pembelajaran, tidak bijak mengurus masa, tidak arif cara belajar di universiti, taksub dengan fahaman politik atau perkauman hingga menutup terus minda untuk meneliti pandangan lain serta gemar menurut emosi yang suka memprotes.

Pelajar yang mempamerkan tingkah laku anti-intelektualisme lebih cenderung kepada kegiatan hiburan melampau, membuang masa bersembang di kafe, berkaraoke, berpesta, menonton televisyen daripada menghadiri majlis ilmu serta tidur lewat dan membuatkan mereka tidak hadir kuliah kerana lena diulit mimpi.

Tidak kurang juga pelajar yang berkasih keterlaluan hingga mengganggu emosi, membeli belah dengan wang biasiswa atau pinjaman serta menyiapkan tugasan pada saat akhir.

Semua sifat ini tidak sepatutnya ada pada diri seseorang mahasiswa, apatah lagi mereka bakal bergelar pewaris pemimpin bangsa dan negara.

Kemudian, mereka mahu pekerjaan dan mendesak kerajaan menyediakan peluang pekerjaan untuk mereka, minta pelbagai subsidi, jika tidak mereka menyalahkan kerajaan dan menentang kerajaan, adakah ini adil?

Bolehkah mereka ini menjadi pemimpin di jabatan kerajaan, bank, syarikat, organisasi, malah dalam keluarga dan komuniti?

Sesungguhnya anti-intelektualisme boleh menggugat kualiti mahasiswa sebagai pewaris kepimpinan negara kerana pemimpin tidak boleh meneraju dengan ilmu panjang sejengkal.

Sebaliknya, negara memerlukan generasi muda yang berciri pemikir serta memiliki keupayaan modal insan holistik dan berkualiti supaya dapat menyumbang secara proaktif ke arah pembangunan negara.

INFO: Intelek

  • Anti-intelektualisme ialah ciri atau perlakuan yang tidak mencerminkan amalan dan budaya intelektual
  • Ia menerangkan sifat tidak suka atau tidak percaya usaha keintelektualan.
  • Leave a Reply