Ada PhD belum tentu cendekiawan

TIDAK dapat dinafikan bahawa ijazah doktor falsafah (PhD) mempunyai nilai yang tinggi dan amat berguna kepada kesejahteraan kehidupan manusia. Dan terdapat pelbagai pandangan dan perspektif tentang ijazah tersebut seperti yang telah diajukan dan dibincangkan sebelum ini. Namun terdapat beberapa aspek yang perlu diperjelaskan dari penulisan Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil yang bertajuk Bukan mudah dapat PhD (Utusan Malaysia, 14 April).

Beliau menyatakan bahawa pensyarah yang tidak mempunyai PhD ‘belum sempurna keilmuannya’ kerana seseorang itu tidak didedahkan dengan kaedah pengajian dan penyelidikan. Sebenarnya, ilmu yang ada pada seseorang itu tidak akan sempurna, tidak kira sama ada seseorang itu memiliki ijazah atau tidak.

Di Malaysia, segulung ijazah PhD dianggap sebagai puncak kejayaan dan kesempurnaan seseorang dari segi kebijaksanaan dan keilmuannya. Tetapi adapun pendapat yang menyatakan bahawa segulung ijazah, apatah lagi PhD merupakan permulaannya pencarian ilmu atas perasaan ketidaksempurnaan ilmu yang sedia ada pada seseorang itu.

Dalam kita mengukur keupayaan seseorang guru di universiti misalnya, keperluan PhD tidak sama dengan sumbangannya kepada kesarjanaan. Umumnya, PhD adalah satu kelayakan dalam bentuk ijazah yang dianugerahkan kepada seseorang itu apabila beliau telah menyempurnakan keperluan dan syarat-syarat dari sesebuah universiti. Salah satunya ialah menyiapkan tesis di bawah seorang penyelia atau beberapa orang (mungkin dua atau lebih) yang bertindak sama ada sebagai penyelia bersama, atau penyeliaan oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada beberapa sarjana.

Ijazah doktor falsafah pertama dianugerahkan oleh Universiti Paris tahun 1150. Bagaimanapun, gelaran ‘PhD’ hanya membawa maksud yang diterima pada zaman ini sebagai ijazah tinggi kedoktoran bermula dari amalan universiti-universiti di Jerman.

Apa yang perlu dimaklumkan di sini ialah ijazah PhD diberikan kepada seseorang pelajar yang telah menamatkan sesuatu kajian pasca siswazah dan dengan jayanya mempertahankan tesis beliau yang mengandungi kajian asli dalam bidang sains atau ilmu kemanusiaan.

Di Eropah moden, amalan tersebut dimulakan pada abad kesembilan oleh Friedrich Wilhelm University di Berlin. Amalan penganugerahan ijazah PhD itu kemudiannya digunakan oleh Yale University tahun 1861 dan kemudiannya di United Kingdom pada tahun 1917.

Tidak semestinya sesebuah tesis itu menghasilkan teori baru. Penulis Dr. Mohamed Azam menyatakan “…kalau ia tidak membuahkan satu teori baru, ia tidak dianggap tesis PhD“. Apa yang pentingnya di sini ialah sesebuah tesis itu merupakan sesuatu penyelidikan asli yang menjurus kepada sesuatu penemuan atau tafsiran yang belum pernah wujud sebelumnya.

Juga perlu disebutkan bahawa ijazah PhD bukanlah tanda aras bagi seseorang itu ‘dianggap sebagai seorang scholar’. Perlu kita ingat bahawa seseorang yang memperolehi ijazah PhD tidak semestinya seorang sarjana, ilmuwan atau cendekiawan.

Malangnya di Malaysia misalnya, ramai yang menganggap mereka ataupun diri mereka sendiri itu sebagai sarjana atau cendekiawan selepas memperolehi PhD. Sebenarnya, seseorang itu menjadi sarjana – dalam erti kata kewujudan ciri-ciri kesarjanaan sebelum memperolehi ijazah PhD.

Dan kita perlu ingat, ijazah kedoktoran seperti D. Econs (Doktor Ekonomi) atau D. Sc.(Doktor Sains) adalah lebih tinggi daripada ijazah doktor falsafah. Daripada apa yang diperhatikan, walaupun pada umumnya, setiap penyelidikan ke arah menghasilkan sebuah tesis itu perlu merangkumi dimensi-dimensi falsafah seperti epistemologi, ontologi, aksiologi, teleologi, tidak semua lulusan PhD perlu melalui pengalaman pembelajaran seperti itu.

Dan ini banyak bergantung kepada tradisi sistem, dan keperluan universiti dalam mengendalikan program ijazah tinggi.

Dalam sistem sesebuah universiti dalam atau luar negara, terdapat pelbagai pendekatan dan prosedur, serta mazhab pemikiran yang mempengaruhi, menentukan dan mencorak topik penyelidikan.

Apa yang penting ialah negara dan masyarakat kini memerlukan kualiti pemikiran yang tinggi, menyeluruh dan merentasi pelbagai pembahagian disiplin. Dan ini tidak semestinya diterjemahkan dengan kuantiti mereka yang memperolehi PhD. Kemajuan dan gagasan yang ada pada sesebuah masyarakat dan negara itu bukan bergantung kepada sekeping ijazah hasil daripada kepayahan menjalankan penyelidikan bertahun-tahun lamanya.

Walaupun PhD itu penting sebagai satu proses dan keperluan sesuatu sektor bidang ilmu dan amali untuk kesejahteraan masyarakat dan kemanusiaan, ia bukanlah satu izin berbahas tentang apa sahaja atau menggelar diri itu sebagai cerdik pandai dan mahir kepada semua bidang dan kepakaran kehidupan.

Sebenarnya, ijazah PhD perlu menyedarkan kita betapa kerdilnya ilmu yang ada pada kita ini. Kita perlu sedar bahawa kita ini miskin ilmu, tidak kira betapa tinggi kelulusan kita. Pengajarannya ialah kemiskinan ilmu yang ada pada kita merupakan pencetus kepada kesedaran tentang kekayaan ilmu di alam semesta ini.

Juga, ramai pemegang PhD berhenti menulis setelah memperolehi ijazah. Dan penulisan akademik dan kesarjanaan dalam bentuk buku ilmiah dan jurnal-jurnal tidak menjadikan seseorang itu sebagai sarjana dan cendekiawan.

Kita boleh menggalakkan penulis dan wartawan memiliki ijazah PhD. Yang membezakannya ialah kecenderungan berfikir dan berhujah dalam melihat sesuatu permasalahan itu serta menawarkan perspektif dan cara-cara menangani dan mengatasinya. Fakir miskin akan melihat kepada khazanah dan kekayaan dunia bagi mengatasi masalahnya.

Leave a Reply