5 A

Dalam sehari dua ini para ibubapa dan guru menzikirkan 5 A. Kesedihan dan kekecewaan bagi mereka dan keluarga mereka yang gagal mencapai 5 A, sedangkan peluang masih terbuka luas di hadapan sama ada semasa tingkatan 3 atau tingkatan 5 nanti. Bagi pihak sekolah pula sibuk menyenaraikan sebab musabab kenapa keputusan begini dan begitu.
Namun sudahkah kita pastikan misi kita ke akhirat nanti. Di antara pra syarat pertama untuk meraih redhaNya ialah kita perlu mendapat 5 A dalam solat kerana ianya perkara pertama akan dihitung nanti. Sudahkah kita pasti mendapat A solat Subuh, A solat Zohor, A solat Asar, A solat Maghrib dan A solat Isya’?
Keputusan 5 A dalam solat kita merupakan tiket untuk mendapat redhaNya, sedang 5 A UPSR belum tentu ke mana arah kita!
Tidak ada peluang keduan jika kita gagal mendapat 5 A dalam solat lima waktu kerana selepas ini kita pula akan disolatkan pada bila-bila masa sahaja apabila malaikat maut mencabut nyawa kita. Oleh itu, bersegera berusaha mencapai 5 A solat lima waktu kita. Untuk mendapat 1 A dalam sesuatu solat fardu, kita perlu membuat muhasabah tentang kualiti solat pada hati kita walaupun Allah yang menentukan A atau sebaliknya. Namun, kita diberi garis panduan untuk mencapainya sebelum beserah sepenuhnya kepadaNya. Untuk mencapai A ,selain daripada mematuhi rukun dan syarat serta khusyuknya, banyak lagi aksesori(amalan tambahan) yang perlu diserta dalam solat tersebut (sebagaimana karangan yang diberi A oleh pemeriksa perlu ada contoh pada isinya serta dilihat dari aspek tatabahasa, ejaan, kekemasan dan sebagainya). Persiapan untuk mendapat A dalam sesuatu solat bermula daripada aspek pakaian yang bersih serta menutup aurat, persiapan semasa berwudhuk yang diperlengkapkan dengan doa semasa membasuh dan menyapu anggota badan, diekori dengan solat wudhu. Seterusnya langkah ke masjid dimulai dengan doa keluar rumah, doa dalam perjalanan ke masjid. Kenapa ke masjid? Kita masjid untuk solat berjemaah bagi lelaki ganjaran 27 kali pahala berbanding 1 sahaja jika solat bersendirian. Nah! jika solat bersendirian sudah berkurang markah solat kita kerana dengan solat berjemaah kita saling tampung menampung dan dipilih yang terbaik jika kita khusyuk dan menepati rukun. Gagal solat berjemaah tanpa sebarang sebab yang syarie boleh menjejaskan A solat kita. Bagimana dengan wirid tambahan sebagai melengkapi yang rukun sebagai pelengkap kepada solat kita? Sunat rawatib perlu dijaga untuk menampung sebarang kekurangan yang tidak disengajakan dalam solat fardu kita.Bagimana penilaian kita ? dapatkah 5 A ? Sekiranya kita berjaya mencapai 1A dalam satu solat fardu,dikira cemerlang kerana pada asasnya kita berusaha mendapat kualiti yang sama dalam solat kita yang lain(sebai benchmark). Bermakna A dalam satu solat tersebut membuka peluang untuk 4 A bagi yang lain. Utamanya ialah kita hendaklah berusaha mencapainya dengan apa cara sekalipun. Jangan kita ketawa kepada anak-anak kita yang mendapat 5 E, sedangkan solat kita 5 E(mohon dimustahilkanNya). 5 E dalam solat membawa kesengsaraan di akhirat yang kekal abadi berbanding 5 E dalam UPSR hanya kekecewaan yang sementara sahaja. Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai 5 A dalam solat kita serta semua A dalam ibadat lain yang diperintahNya di samping A juga dalam urusan keduniaan.

Leave a Reply