Blog Archives

Balasan syurga bagi orang menahan marah, nafkahkan harta

Oleh Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

SETIAP muslim bercita-cita untuk masuk syurga. Beruntunglah bagi mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT. Mereka adalah orang yang taat kepada Allah SWT dan sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara dilarang-Nya.

Allah SWT menjelaskan mengenai sifat mereka yang akan masuk syurga, yang pertama ialah mereka suka menafkahkan harta pada jalan Allah SWT sama ada di waktu senang mahupun susah.

Firman Allah yang bermaksud: “Iaitu orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

Sifat kedua yang ada pada ahli syurga, mereka adalah orang yang kuat menahan sifat marahnya dan suka pula memaafkan orang lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya serta memaafkan (kesalahan) orang.” (Surah ali-Imran, ayat 134)

Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa orang yang kuat dalam pandangan syarak ialah mereka yang berjaya mengawal perasaannya ketika marah untuk mengelak daripada bencana lebih buruk.

Hal itu dijelaskan Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang kuat itu bukan terletak pada kemampuan berkelahi, tetapi orang yang kuat itu adalah yang dapat mengendalikan diri mereka ketika sedang marah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Islam mengajar umatnya bagaimana mengendalikan diri dalam keadaan marah supaya sifat marahnya itu tidak berlarutan.

Daripada Abu Dzar, ia berkata: Sesungguhnya Rasulullah berpesan kepada kami dengan sabdanya yang bermaksud: “Jika salah seorang antara kalian marah sedang pada saat itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Namun jika tidak hilang juga marahnya, maka hendaklah ia berbaring.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Selain itu, mereka yang sedang marah juga boleh memadamkan kemarahannya dengan berwuduk. Hal itu dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan sesungguhnya syaitan itu diciptakan daripada api, dan api itu hanya dapat dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, jika salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia berwuduk.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Mereka yang berjaya menahan amarahnya supaya tidak merebak akan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT di dalam syurga kelak, di mana mereka boleh memilih mana-mana bidadari yang mereka sukakan.

Daripada Sahl bin Muaz bin Anas, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa menahan amarahnya pada hal ia mampu untuk menumpahkannya, maka Allah SWT akan memanggilnya di hadapan para pemimpin makhluk, lalu Allah SWT memberinya kebebasan untuk memilih bidadari mana yang ia sukai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Di samping mampu menahan sifat marah, sifat ahli syurga juga ialah mereka suka memaafkan orang yang melakukan kesalahan terhadap diri mereka, sehingga tidak ada sedikitpun niat dalam diri mereka untuk membalas dendam kepada seseorang.

Rasulullah SAW menjelaskan daripada Ubay bin Kaab, di mana baginda bersabda yang bermaksud: “Barang sesiapa yang ingin dimuliakan tempat tinggalnya dan ditinggikan darjatnya, maka hendaklah ia memberi maaf kepada orang yang telah menzaliminya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan menyambung silaturahim kepada orang yang memutuskannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

Sifat ketiga yang ada pada ahli syurga ialah mereka suka memohon ampun terhadap kesalahan mereka. Firman Allah yang bermaksud: “Dan juga orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri mereka ingat Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa mereka dan siapa lagi dapat mengampuni dosa selain daripada Allah.” (Surah ali Imran, ayat 135).

Bagi mereka yang memohon keampunan kepada Allah SWT, Allah SWT akan mengampunkannya. Daripada Abu Said, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Iblis berkata: Wahai Tuhanku, demi kemuliaan-Mu, aku akan terus menggoda anak cucu Adam selama roh mereka masih berada di tubuh mereka. Allah pun menjawab: Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tetap akan memberi ampunan kepada mereka selama mereka memohon ampunan kepada-Ku.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Rasulullah SAW juga mengingatkan mereka yang selalu memberi ampunan kepada seseorang akan mudah mendapat keampunan daripada Allah.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berikanlah kasih sayang, nescaya kalian akan dikasihi dan berilah keampunan, nescaya kalian akan diberikan keampunan. Celakalah bagi orang-orang yang mendengar perkataan, tetapi tidak mengamalkan dan celaka pula bagi orang-orang yang terus menerus berbuat dosa yang mereka kerjakan, sedang mereka mengetahui (larangan berbuat dosa itu).” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Pemikiran hebat, berzikir mesti saling melengkapi

Ulul Albab oleh Abdurrahman Haqqi

DI HADAPAN kita ada dua senario yang tidak ada senario ketiganya. Senario pertama berkaitan dengan zikir dan senario kedua berkaitan dengan fikir di mana zikir tanpa fikir tidak akan ke mana dan fikir tanpa zikir akan sesat dan membinasakan.

Apa yang paling disukai oleh sepasang kekasih ketika mereka sedang memadu kasih sayang sehingga kehidupan mereka terasa indah dan bermakna? Walaupun banyak jawapan yang mungkin kita dapati, cuba kita pusatkan jawapannya kepada saling mengingati. Seorang kekasih akan gembira dan senang hati jika mereka selalu mengingati dan diingati oleh kekasih mereka di mana dengan ingatan itu mereka akan berasa senang hati pula untuk meneruskan aktiviti kehidupan mereka dengan penuh himmah dan keceriaan. Inilah natijah konsep zikir dalam Islam. Ketika kita mencintai Allah, kita akan selalu mengingati-Nya dan ketika itu jualah yang kita ingati yakni Allah akan mengingati kita dan apabila Allah mengingati kita maka semua naungan dan pertolongan Allah akan kita peroleh. Allah SWT berfirman maksudnya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku mengingatimu.” (Surah al-Baqarah: 152)

Apabila kita mencintai sesuatu maka kita akan selalu berfikir agar kecintaan kita itu selalu memberikan kebaikan kepada kita. Kita akan selalu berfikir bagaimana kita boleh mengekalkan percintaan berkenaan. Kita akan selalu berfikir bagaimana kita boleh mencari kepelbagaian agar percintaan itu akan selalu hidup dan berkembang. Inilah konsep fikir dalam Islam. Ketika kita mengharapkan keredaan Allah, kita akan selalu menggunakan akal fikiran bagaimana mendapatkan, menambahtumbuhkan dan mempelbagaikannya. Itulah hakikat yang kita simpulkan daripada 17 ayat al-Quran (sama dengan 17 raka’at yang kita lakukan sehari semalam untuk solat) yang menegaskan mengenai perkara tafakur atau fikir.

Dua senario di atas adalah sifat masyarakat ulul albab yang digariskan al-Quran dalam ayatnya yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang yang berakal; (iaitu) orang yang menyebut dan mengingati Allah ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.” (Surah Ali ’Imran: 190-91)Dalam ayat di atas perkataan yang digunakan adalah kata jamak bagi ‘orang yang menyebut dan mengingati Allah’. Ini mengisyaratkan kepada kita bahawa ia adalah galakan secara kolektif dalam berzikir dan bertafakur walaupun pada asasnya ia ditujukan kepada individu.

Berzikir dalam pengertian terminologi dihadkan kepada ucapan lisan untuk menyebut dan mengingati Allah zikr al-lisan. Bagaimanapun, sebenarnya ia lebih luas daripada itu. Ia boleh menjadi zikr al-qalb atau zikir hati dan juga zikr al-jawarih atau zikir anggota badan. Pembahagian zikir seperti ini tersirat dalam ayat di atas pada kalimat “ketika mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring”.

Ketika kita mengucapkan dengan lisan lafaz ‘la ilaha illallah’ maka ia disebut zikr al-lisan. Ketika kita dalam hati menegaskan lafaz itu menjadi tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, maka ia disebut zikr al-qalb. Dan akhirnya ketika kita menjelmakan menerusi anggota badan dalam beribadah, bermu’amalat, bermunakahah, dan perundangan yang hanya ditujukan kepada Allah semata-mata dan tidak dipesongkan kepada tuhan lain, maka ia disebut zikr al-jawarih.

Agar zikir kita sempurna maka ketiga-tiga perkara di atas mestilah ada dan diambil kira, maka fadilat zikir bagi individu dan masyarakat yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya akan dinikmati.

Al-Quran menegaskan bahawa dengan zikir, hati kita akan tenteram dan damai dalam ayatnya bermaksud: “(iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’du: 28)

Dengan berzikir maka kita sedang menumbuhkembangkan keimanan kita. Nabi bersabda maksudnya: “Nyanyian dan permainan hiburan yang melalaikan menumbuhkan kemunafikan dalam hati, bagaikan air menumbuhkan rumput. Demi yang jiwaku dalam genggaman-Nya, sesungguhnya al-Quran dan zikir menumbuhkan keimanan dalam hati sebagaimana air menumbuhkan rumput.” (Hadis riwayat al-Dailami)

Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa berzikir adalah satu proses penyembuhan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan maksudnya: ‘Menyebut-nyebut Allah adalah suatu penyembuhan dan menyebut-nyebut mengenai manusia adalah suatu penyakit (penyakit akhlak).’

Bahkan ditegaskan dalam sebuah hadis bahawa perbezaan orang yang hidup dan yang mati adalah zikir. Sabda Junjungan seperti diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim maksudnya: ‘Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan yang tidak, seumpama orang hidup dan orang mati.’

Justeru, zikir adalah penyelamat manusia daripada seksa neraka jahanam seperti yang terkandung dalam hadis bermaksud: ‘Tiada amal perbuatan anak Adam yang lebih menyelamatkannya daripada azab Allah selain zikrullah.’ (Hadis riwayat Ahmad)

Jika kita secara sepintas memerhati ucapan ‘Tuhanku, semakin Aku berilmu semakin bertambah kejahilanku, tambahkanlah kejahilan kepadaku,’ sudah tentu kita akan terperanjat kerana ia bertentangan dengan doa yang selalu kita baca, rabbi zidni ‘ilman atau Tuhanku, tambahkanlah ilmu kepadaku. Tapi jika kita perhatikan ucapan berkenaan dengan saksama maka kedua-duanya tidak berbeza dari segi isinya walaupun bahasanya memang berbeza. Inilah hasil daripada proses berfikir yang dilakukan akal manusia.

Ada 17 ayat al-Quran yang menyentuh seruan kepada manusia untuk berfikir, tafakkarun dan yatafakkarun al-Quran menggalakkan kita untuk selalu berfikir kerana dengan berfikir kita akan mencapai apa yang kita tuju dan hajati. Semua yang manusia ciptakan sejak Nabi Adam hingga ke hari ini bahkan sampai kiamat kelak adalah hasil daripada penggunaan fikiran manusia.

Dengan adanya fikiran dan menggunakannya maka seorang manusia itu disahkan hidup. Dengan meminjam ada yang ditemui bapa falsafah sains moden Rene Descartes (1596-1650) dalam Cogito ergo sum atau ‘aku berfikir maka aku wujud, hidup’, kita boleh menggunakannya dalam membentuk masyarakat yang makmur, bukan yang membinasakan.

Descartes adalah seorang ahli matematik yang berupaya membangun falsafah seperti konstruksi matematik. Oleh itu, dia memulakannya dengan suatu keraguan dan melanjutkannya dengan metod matematik. Dengan ini, terbentuklah suatu falsafah baru. Dia memulakan dengan langkah seorang skeptis dan keluar daripada keraguan sebagaimana yang dilakukan oleh Augustine. (A Kamil ‘Meragukan Kesangsian Dsecartes’)

Dengan metod pemikiran di ataslah, tamadun Barat secara amnya dibangunkan hari ini. Sayangnya mereka mengetepikan senario zikir sehingga apa yang terjadi sekarang adalah penciptaan permusuhan di kalangan masyarakat dunia yang mana yang ada pada diri mereka adalah siapa bersama kami adalah teman kami dan siapa yang menentang kami adalah musuh kami.

Masyarakat dunia sememangnya memikirkan kemakmuran manusia tapi tidak berpandukan zikir oleh itu mereka sesat dan menyesatkan. Sebagai contoh, mereka pada tahun 1980-an telah menghamburkan wang sebanyak AS$4,000 bilion untuk membangunkan projek pembunuh mereka sendiri yang bernama senjata nuklear sejak Perang Dunia Kedua. Senjata nuklear berkenaan cukup untuk membunuh AS$58 bilion orang yakni 12 kali ganda jumlah penduduk dunia waktu itu. Dan pada saat itu, biaya yang dikeluarkan untuk seorang tentera adalah AS$25,000 manakala untuk pendidikan hanya AS$450. Untuk operasi kapal induk Amerika Syarikat diperlukan biaya AS$550,000 sehari manakala 14,000 orang mati kebuluran di Afrika. (Laporan dibuat oleh bekas pegawai Perlucutan dan Pengawasan AS, Ruth Sivard dalam ‘Pengeluaran sosial dan ketenteraan dunia 1985’) Inilah akibat daripada fikiran manusia yang tidak berlandaskan zikir.

Berfikir dalam ajaran Islam lebih baik daripada ibadah seperti dalam hadis tafakur sa’ah khairun min ‘ibadah sanah atau berfikir sejenak adalah lebih baik daripada setahun ibadah. Oleh itu, orang yang berfikir mempunyai kedudukan tersendiri di sisi Allah. Mereka selalu dimotivasi dalam al-Quran dengan seruan untuk berfikir kerana dengan berfikir maka ilmu pengetahuan diperoleh. Dengan ilmu pengetahuan yang semakin tinggi sebagai hasil daripada proses pemikiran maka ia menjadi penimbang aras tamadun dan budaya yang mencakupi aktiviti berfikir, berperasaan dan berkemahuan. Pada tahap ini, kegiatan berfikir (tafakur), pengajian (mutala’ah) dan penyelidikan (tadabbur) semakin subur yang ditujukan untuk usaha pemenuhan keperluan material mahupun spiritual.

Dalam memperingati Maal Hijrah 1429 sudah menjadi kewajipan umat Islam untuk selalu berzikir dan berfikir demi mencapai kemakmuran bukan untuk memporak perandakan bangunan yang sudah kita bina dengan megah dan indah. Kita mesti kembali kepada ajaran al-Quran yang menggariskan masyarakat ulul albab yang mempunyai sifat zikir dan fikir.

Akhirnya, menerusi zikir dan fikir yang diterapkan dalam masyarakat maka kita akan memperoleh apa yang kita hajati dalam doa dan harapan kita. Allah berfirman maksudnya: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya: ‘Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan’. (Surah Ali ‘Imran: 195) Wallahu a’lam.

CIRI-CIRI SEORANG PEMIMPIN ISLAM

Bagi memastikan pemimpin yang dilantik berupaya menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik serta mencapai matlamat kerajaan Islam yang diterajuinya, maka hendaklah dipastikan agar calon-calon pemimpin ini memenuhi ciri-ciri yang telah digariskan oleh Fuqahak Islam[1];

1. Mereka mestilah terdiri daripada orang-orang yang benar-benar beriman atau yakin dengan prinsip-prinsip tanggungjawab yang terangkum dalam pengertian Khilafah kerana tanggungjawab mentadbir atau mengurus mana-mana sistem atau peraturan tidak boleh dipikulkan ke atas bahu orang-orang yang menentang prinsip-prinsip dan asasnya.

Firman Allah S.W.T.;

يَآ أيــُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا لَاْ تــَتــَّخِذُوْا بــِطَاْنــَةً مِنْ دُوْنـِكُمْ (النساء : 59)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai)”.

2. Mereka tidak terdiri daripada orang-orang zalim, fasiq, fajir dan lalai terhadap Allah serta bertindak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Allah. Sebaliknya mereka hendaklah terdiri dari orang-orang yang beriman, bertakwa dan mengerjakan amal soleh.

وَ لَاْ تــُطِعْ مَنْ أغْفَلْنَاْ قَلْبَهُ عَنْ ذِكْرِنــَاْ وَاتــَّبَعَ هَوَاْهُ وَ كَاْنَ أمْرُهُ فُرُطًا (الكهف : 28)
“Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkahlakunya pula adalah melampaui kebenaran”.

3. Mereka bukanlah dari kalangan orang-orang yang jahil dan tidak mempunyai kecerdikan (sufaha’) sebaliknya hendaklah terdiri daripada ulama’ atau ilmuan yang berakal sempurna, yang memiliki kefahaman dan basirah serta mempunyai kelayakan dari segi intelek dan fizikal untuk mentadbir urusan-urusan khilafah.

وَ لَاْ تــُؤْتــُوْا السُّفَهَاْءَ أمْوَاْلَكُمُ الَّتِيْ جَعَلَ اللهُ لَكُمْ قِيَاْمًا (النساء : 5)
“Dan janganlah kamu serahkan kepada orang-orang yang belum sempurna aqalnya akan harta kamu yang Allah telah menjadikannya untuk kamu sebagai asas pembangunan kehidupan kamu”.
قُلْ هَلْ يَسْتــَوِي الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَ الَّذِيْنَ لَاْ يَعْلَمُوْنَ (الزمر : 9)
“Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui”.

4. Mereka mestilah terdiri daripada orang-orang yang amanah sehingga dapat dipikulkan tanggungjawab kepada mereka dengan kepercayaan dan tanpa keraguan.

إِنَّ اللهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تــُؤَدُّوْا الْأَمَاْنَاْتِ اِلَى أهْلِهَاْ (النساء : 58)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)[2]”.

Mana-mana orang Islam yang diberi kuasa atau peluang untuk melantik pemimpin atau menentukan pimpinan di kalangan umat Islam, maka mereka hendaklah melihat dan mengambil kira ciri-ciri di atas dalam menentukan siapakah yang sepatutnya menjadi pemimpin mereka. Mengabaikan ciri-ciri di atas dalam pemilihan pemimpin akan memberi satu kesan yang buruk kepada masa depan Islam dan juga umat Islam. Melantik pemimpin-pemimpin yang tidak memahami tanggungjawab mereka sebagai khalifah atau bersifat fasiq, zalim dan fujur atau tidak memiliki kelayakan ilmu, intelektual dan fizikal untuk memerintah bererti mendedahkan umat Islam kepada pelbagai kerosakan dan penyelewengan dalam kehidupan duniawi dan agama mereka.
[1] Al-Khilafatu Wal-Muulku, Abul A’la Al-Maududi, m.s 22-24, cet. Darul-Qalam Kuwait (1978).
[2] Termasuk dalam pengertian “menyerahkan amanah kepada ahlinya” dalam ayat ini ialah menyerahkan jawatan-jawatan kepada orang-orang yang selayaknya. (Tafsir Ruhul-Ma’ani, Imam Alisu).

Memperbaiki kehidupan dituntut syarak

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Proses hijrah perlukan ummah muhasabah diri atasi permasalah bagi cipta kejayaan

KITA panjatkan rasa syukur kerana masih lagi dipanjangkan usia untuk bersama melangkah ke tahun baru 1429 hijrah dengan himpunan semangat dan kekuatan membina lembaran kehidupan sebagai insan mukmin yang beriman dan beramal salih.

Perpindahan Rasulullah SAW dan umat Islam dari Makkah ke Madinah menjadi lambang dan obor setiap insan mukmin bagi menterjemah apa yang tersirat di sebalik penghijrahan yang banyak mencatat kemenangan Islam.

Muhasabah diri setiap dari umat Islam sebenarnya menjadi asas yang kuat bagi menangani apa juga permasalahan diri yang timbul untuk disesuaikan dengan konteks hijrah itu sendiri. Banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diambil daripada peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW.

Baginda SAW membuat perancangan cukup teliti bagi memilih tempat yang difikirkan sesuai untuk berhijrah memandangkan keadaan semasa umat Islam Makkah yang kian tertekan dengan ugutan dan ancaman kafir Quraisy.Biarpun perintah untuk berhijrah datangnya daripada Allah, tetapi Rasulullah SAW tidak menggantung harapan penuh kepada pertolongan Allah tanpa mengambil tindakan perlu bagi memastikan kejayaan proses penghijrahan ini.

Baginda SAW memilih Ali bin Abi Talib untuk menggantikan Baginda di tempat tidur, sementara Abu Bakar pula dipilih sebagai teman sepanjang berhijrah. Abdullah bin Urqith berperanan sebagai penunjuk jalan ke Madinah, Abdullah bin Abu Bakar sebagai penyampai berita, manakala Asma’ binti Abu Bakar pula menjadi penghantar makanan kepada Baginda dan Abu Bakar ketika bersembunyi di Gua Thur.

SEJARAH SOLAT 5 WAKTU

Teladan 667: Sejarah Solat 5 Waktu
Posted on Thursday, January 10 @ 06:34:53 MYT by SongkokPutih

Teladan SolatNabi Muhammad SAW merupakan nabi terakhir yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membimbing manusia ke arah jalan kebenaran. Tidak seperti umat nabi-nabi yang lain, umat nabi Muhammad telah diperintahkan untuk mengerjakan solat 5 waktu setiap hari. Ini merupakan kelebihan dan anugerah Allah SWT terhadap umat nabi Muhammad dimana solat tersebut akan memberikan perlindungan ketika di hari pembalasan kelak. Berikut diterangkan asal-usul bagaimana setiap solat mula dikerjakan.

SUBUH

Manusia pertama yang mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

 i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.

 ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.
 

ZOHOR

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah SWT telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

i) Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.

ii) Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.

iii) Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.

iv) Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.
 

ASAR

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari perut ikan Nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah SWT daripada 4 kegelapan iaitu:

i) Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.
ii) Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.
iii) Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.
iv) Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan Nun. 

 
MAGHRIB

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib ialah Nabi Isa a.s. iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:

i) Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.

ii) Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.

iii) Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata,  tiada dua atau tiganya.
 

ISYAK

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat  mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT  menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa  empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

i) Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
ii) Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.iii) Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.


iv) Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH 1429

Semua Muslimin dan Muslimat pasti telah menanam azam baru sempena Maal Hijrah 1429. Azam yang paling baik ialah menjadikan diri kita sebagai hamba yang paling hampir dengan Allah SWT dan yang semakin tinggi ketakwaannya. Inilah  sebenar-sebenar azam. Apabila azam tersebut menjadi realiti semua perjalanan hidup kita akan menuju ke arah kebaikan. Wassalam dan salam perkenalan.