Blog Archives

Mencari Kemenangan Dengan Acuan Allah

“Allah selamatkan penduduk Mekah yang jahiliah itu. Mereka bukan sahaja mengotorkan Masjidil Haram dengan lebih 300 patung, malah bertawaf secara bertelanjang. Tetapi Allah selamatkan mereka dari serangan Abrahah”, saya cuba mengimbas situasi Mekah di ambang kelahiran Rasulullah SAW.

“Jika penduduk Mekah yang jahiliah itu, Allah selamatkan mereka dari kebinasaan, mengapa Allah tidak selamatkan kita? Mengapa kita terus kalah dan kalah? Bukankah kita yang menyembah Allah? Bukankah kita yang berjuang dengan nama Allah? Kenapa Allah tidak tolong kita?”, soalan yang mengganggu fikiran saya ini semakin kritikal.

Malah jika direnung kepada keadaan semasa, yang jahat dan jahiliah itu terus menang dan menang, namun Islam dan kebenaran terus lemah tertindas, bagai tidak terbantu.

Di manakah silapnya?

Fikiran meraba, tangan meraba… lembaran kalam Allah diselak satu persatu dan kita sampai kepada janji Allah ini:

anfaal_33.jpg

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang Engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun)” (Al-Anfaal : 33)

Itu janji Dia.

Bahawa tiada kaum yang terbiar menderita, jika di kalangan mereka itu ada Muhammad SAW.

Biar pun penduduk Mekah itu jahiliah, tetapi dek kerana dari mereka itulah lahirnya Muhammad SAW, maka keberadaan Muhammad itu menjadi sebab untuk Allah selamatkan mereka, sebagaimana Allah menyelamatkan umat Badar, Uhud malah yang kritikal seperti Khandaq.

Hari ini baginda SAW secara fizikalnya tidak ada dan tidak akan ada… kerana jasadnya sudah pulang ke asal. Tetapi bagaimana dengan cara kita beragama? Samakah Islam kita dengan Islam Rasulullah SAW? Serupakah cara kita mencari kejayaan dan kemenangan, jika dibandingkan dengan cara Rasulullah SAW? Atau dalam bahasa yang lebih mudah, ada atau tidak Rasulullah SAW itu dalam kehidupan seharian kita? Hidup minum dan makan, serta hidup di medan perjuangan?

Mungkin Rasulullah SAW tiada… biar pun di sisi mereka yang bernama Muhammad dan berjuang kerana cinta kepada Muhammad… lantaran tidak mengikut acuan yang digunakan oleh Baginda SAW.:

acuanallah.jpg

“Acuan Allah… Apakah ada yang lebih baik dari acuan Allah, sedang kita ini kepada-Nya, adalah HAMBA “ (Al-Baqarah : 138)

JALAN KELUAR

Di belakang mereka maut, di depan juga maut.

Musa dan Bani Israel yang beriman itu dikepung maut. Di belakang mereka adalah Firaun dan bala tenteranya, manakala di hadapan mereka adalah laut yang luas terbentang. Jika dihitung pada upaya helah akal manusia, tiada lagi jalan keluar.

“Bawa-bawalah mengucap!”

Tetapi putus asa dari rahmat Allah itu bukan sifat golongan yang layak dibantu. Kerana segala kesempitan dunia itu, tidak terbanding oleh kuasa Allah untuk menghulur keselamatan.

thalaaq_2-3.jpg

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan dijadikan untuknya jalan keluar (dari belenggu masalah) dan dikurniakan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka” (Al-Thalaq: 2-3)

Laut itu terbelah, membentangkan jalan keselamatan dan pertolongan yang tidak disangka-sangka buat Musa dan Bani Israel. Mereka yang kerdil itu terselamat dan meneruskan perjalanan, Firaun yang gagah, lama berkuasa lagi mencengkam rakyatnya itu tenggelam, binasa… kerana mereka terlalu kerdil di sisi Allah yang Maha Gagah lagi Perkasa.

Syaratnya adalah TAQWA.

musa.jpg

SYARAT TAQWA

Taqwa itu bukan slogan. Ia bukan modal khatib melenakan jemaah Jumaat.

Taqwa adalah kayu ukur Allah terhadap kualiti insan. Sebaik-baik kamu adalah yang paling tinggi nilai taqwanya.

“Apa itu taqwa?”, tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka’ab Radhiyallahu ‘anhuma.

“Pernah kamu susuri jalan yang penuh duri?”, balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

“Pernah saja”, jawab Umar.

“Apa yang kamu lakukan?”, pintas Ubai.

“Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati”, jawab Umar lagi.

“Itulah TAQWA!”, simpul Ubai bin Ka’ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang TAQWA.

TAQWA itu adalah kualiti manusia yang merentas jalan berliku. Ada manfaat ada mudarat, ada yang boleh ada yang jangan… seorang ahli taqwa itu akan mengambil kira semuanya. Melangkah dengan penuh kesedaran, bijak mengawal pergerakan, dan peduli kepada setiap yang menjadi cabaran di sepanjang perjalanan itu. Itulah taqwa.

Orang bertaqwa bukan orang hidup ikut suka.

Pejuang bertaqwa bukan pejuang yang berjuang ikut suka.

Mereka mengambil kira segala peraturan Allah, perkara yang memenangkan, dan perkara yang membinasakan.

PERATURAN ALLAH

Soalnya peraturan Allah itu bagaimana?

“Patuh pada al-Quran dan al-Sunnah”, jawab kita semua.

Sahih… tepat… tetapi mungkin belum jelas, mungkin belum lengkap dan belum praktikal.

Ketetapan Allah itu ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah, tetapi bukan di situ sahaja adanya ketetapan Allah dalam kehidupan ini. Ada petunjuk datang dari nas, ada petunjuk datang dari peraturan alam.

Peraturan nas itu adalah Syariatullah.

Peraturan alam itu adalah Sunnatullah.

BAGINDA SAW, SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH

Ketika Baginda SAW mengajar kita melakukan urusan harian, Baginda SAW sering memberikan demonstrasi perlakuan agama pada mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

i. Urusan Harian

Lihat sahaja urusan sembelihan. Kita diajar supaya memperelokkan sembelihan, dan Sunnahnya adalah pada Basmalah dan pisau yang tajam. Apakah faedah menggunakan pisau yang tajam?

“Ayam tak sakit!”, jawapan standard kebanyakan kita.

“Syariat diturunkan untuk faedah manusia, bukan ayam”, itu ulasan saya.

korbanlembu.jpg

Penggunaan pisau yang tajam akan mempercepatkan kerja. Kurang tenaga yang diperlukan namun lebih hasilnya. Lebih efisyen, lebih efektif… atau dalam bahasa hari ini, Baginda SAW mengajar kita soal produktiviti.

Maka keelokan pada sembelihan bukan hanya pada Basmalah, tetapi juga pada pisau yang tajam.

ii. Urusan Perjuangan

“Aku Rasulullah, aku kekasih Allah, Allah memerintahkan aku berhijrah dan berjuang, pasti Allah membantu….!?”

Pernahkan Baginda SAW berfikiran begitu? Pernahkah Baginda SAW beranggapan bahawa perjuangannya atas nama Allah, Islam dan kebenaran, pasti perjuangan itu akan menang, lantas baginda lengah dalam strategi dan persiapan?

Tidak sekali-kali.

Untuk Hijrah, Baginda SAW memanfaatkan segala kebijaksanaan, memaksimakan segala strategi hingga boleh menjadi prinsip kepada apa yang kemudiannya dinamakan sebagai SAINS KETENTERAAN.

Begitu banyak lambakan perancangan dan strategi Baginda SAW hingga sahabat bertanya, mana satukah wahyu dan mana satukah pandangan profesional Baginda? Syariatullah pada wahyu menjadi suatu kepatuhan dan ketaatan, manakala Sunnatullah menuntut perbincangan, analisa dan bekerja secara kolektif.

Tiada tinggi rendah antara tuntutan Syariatullah dan Sunnatullah… kerana kedua-duanya merupakan aturan Allah untuk kesejahteraan kehidupan manusia. Ayat hukum terbitan nas, dan ayat sains terbitan alam, kedua-duanya dilaksanakan sepenuh hati.

CONSTANTINOPLE DAN UKURAN RABBANI

Sikap demikian terhadap persoalan Syariatullah dan Sunnatullah, bukan hanya tercatat pada era Nubuwwah, malah ia terus menjadi kayu ukur kepada kesempurnaan kerja Ummah pada agenda seterusnya.

constantinople.gif

“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” [Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

constantinople2.gif

44H, Muawiyah bin Abi Sufian Radhiyallahu ‘anhu menghantar delegasi pertama umat Islam ke arah menundukkan Constantinople. Ramai sahabat yang menyertainya, termasuk Abu Ayyub al-Ansari dan Ibn Abbas sendiri. Mereka pergi dengan keyakinan yang tinggi terhadap janji Nabi SAW, bahawa Constantinople yang gah, sombong dan bongkak itu akan tunduk kepada Islam, bukan terjajah tetapi untuk dibebaskan dari perhambaan sesama mereka sendiri.

Bagaimanakah kekuatan Constantinople? Bagaimana cuaca di sana? Bagaimana sosio politik penduduknya?

Sahabat Nabi SAW tidak mengetahuinya. Namun kerana yakin dengan janji Baginda SAW bahawa kemenangan adalah untuk Islam… mereka teruskan jua.

Misi tidak berhasil. Bukan gagal, tetapi belum berjaya. Abu Ayyub al-Ansari radhiyyallahu ‘anhu terbunuh syahid. Biar pun mereka itu generasi sahabat yang dididik sendiri oleh Rasulullah SAW, namun Allah belum mengizinkan kemenangan kerana ada pelajaran besar yang perlu ditekuni oleh Ummah.

Usaha diteruskan lagi di zaman Sulaiman bin Abdul Malik, di zaman Harun al-Rashid dan terus dicuba dan dicuba…hingga ke era Sultan Yildirim Beyazit (1389-1403) dan Murat Ke-2 (1421-1451)di era Othmaniyyah… janji Nabi SAW belum tertunai.

alfatih.jpg

Hinggalah muncul era pemerintah Kesultanan Othmaniyyah, Sultan ke-7 bergelar Sultan Muhammad bin Murad II menaiki takhta. Beliau insan biasa yang luar biasa.

Luar biasa pada keghairahannya terhadap misi Constantinople.

Luar biasa pada ketinggian akhlaq dan ilmunya.

Luar biasa pada penguasaan kemahiran memerintah dan peperangan.

Luar biasa pada Syariatullah dan Sunnatullah yang dijunjungnya atas nama TAQWA.

Sultan Muhamamad al-Fatih mengkaji aspek ketenteraan, aspek politik dan sosial Constantinople. Beliau mengetahui serba serbi tentang kekuatan dan kelemahan kota yang bakal ditundukkan itu lantas bertindak selaras dengannya. Malah bukan sahaja beliau yang hebat, tentera-tenteranya juga sama tinggi.

Semasa beliau bersama ribuan tenteranya bergerak menuju Constantinople, mereka telah melintasi ladang anggur. Sultan Muhammad telah berpura-pura jatuh gering.

“Hanya anggur sahaja yang mampu menyembuhkan sakit ini”, katanya.

Tetapi tidak ada seorang pun daripada tenteranya yang mempunyai buah anggur. Ladang anggur yang bukan milik mereka itu tidak disentuh dan tidak pernah menjadi salah satu daripada pilihan penyelesaian kepada masalah yang ada.

“Beta sudah sembuh!”, kata Sultan Muhamamd al-Fatih.

Ternyata tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Sultan Muhammad ’sembuh’ dengan ketinggian Syariatullah pada taqwa tenteranya, di samping Sunnatullah yang telah diperlengkapkan.

Setelah tawaran perdamaian di saat akhir ditolak, serangan dilancarkan bertubi-tubi… lebih sebulan pertempuran berlangsung dan akhirnya tibalah saat yang dijanjikan Allah dan Rasulnya, Constinople rebah di tangan insan biasa yang luar biasa… Sultan Muhammad bin Murad II… Sultan Muhammad al-Fatih.

Insan biasa yang luar biasa, menempa kejayaan hasil menggabungjalinkan Syariatullah dan Sunnatullah.

Sabda Nabi SAW tentang kemenangan Islam di kota Constantinople bukan berlaku di tangan generasi sahabat. Ia berhasil di tangan sebaik-baik ketua dan sebaik-baik tentera, lebih 800 tahun selepas janji itu dilafazkan Baginda SAW.

Itulah formula kemenangan Islam.

Islam tidak menang hanya kerana nama perjuangan itu adalah perjuangan Islam. Kemenangan adalah untuk kesempurnaan usaha melengkapi syarat kemenangan.

Ayuh pejuang Islam… jika mahu menangkan Islam, jangan berikan alasan tembok Constantinople itu terlalu kukuh untuk runtuh. Jangan beri alasan perjalanannya yang jauh. Jangan beri alasan bahawa helahnya licik bagi belut di liku selut. Kemenangan itu dekat, jika pejuangnya melengkapi syarat TAQWA. Iaitu pada mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

Integiriti itu penting.

Komitmen kepada hukum syarak semasa turun berkempen itu penting.

Halal haram itu sentiasa penting.

Efisyensi rekod dan pengurusan itu penting.

Penggunaan segala skil komunikasi itu penting.

Teknologi itu penting.

Syariat dan Sains kedua-duanya itu penting.

Itulah formula memenangkan Islam.

MOTIVASI AKHIR

“Kota Constantinople itu akan berada di tangan umat ini”, pesan Baginda SAW kepada sahabat yang keletihan di medan Khandaq.

Constantinople?

Janji itu keterlaluan.

Masakan tidak. Penduduk Madinah hanya segelintir. Mereka itu pula antara hidup dan mati, tatkala dikepung segenap Barisan Nasionalis Arab yang bergabung membentuk tentera Ahzab. Tiba-tiba baginda SAW memberikan janji bahawa kita yang kecil, antara hidup dan mati ini, akan menundukkan Constantinople, kota terbesar di dunia itu.

Apakah ini suatu kemustahilan?

Beginilah cara Nabi SAW memotivasikan sahabat.

Percaya selepas melihat sesuatu tiada nilai iman. Ia hanya suatu ikrar pada sesuatu yang telah ada hasilnya. Percaya seperti ini percaya murahan yang tidak berhajatkan kepada usaha dan pengorbanan.

Namun Baginda SAW mengajar para sahabat supaya percaya sebelum melihat sesuatu, dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Itulah hebatnya motivasi minda mukmin profesional.

Mereka percaya sebelum melihat dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, namun kita mempercayainya. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

alfatih2.gif

Kita juga belum pernah melihat kemenangan Islam, bahkan diselubungi kekalahan demi kekalahan. Namun kita percaya bahawa hari esok adalah untuk Islam. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Bahawa kemenangan adalah milik Islam.

Andai cukup syarat-syaratnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Sehari Sebuah Firman-سُوۡرَةُ الرَّحمٰن

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ.١٣

Maksudnya :Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan

(wahai umat manusia dan jin)? (13)

MANIFESTO PAS-MANIFESTO BN AKAN MENYUSUL

Sila layari :http://files.myopera.com/marhaen/pdf/Manifesto_PAS_4book_printing.pdf

Manifesto Barisan Nasional akan menyusul selepas ini kerana buat masa ini belum dilancarkan lagi….. harap bersabar….

APABILA MENANG MAJORITI- APA YANG PERLU DITADBIRKAN ?

Kalau kita melihat di negara maju seperti Amerika Syarikat, Great Britain(England), Jepun, Perancis, Korea dan beberapa negara lagi, mereka sering bertukar tampuk pemerintahan. Apa yang mereka tadbirkan setelah parti mereka berjaya mengalahkan parti memerentah ? Apakah mereka mempunyai kemampuan mentadbir? apakah mereka mempunyai dana untuk menggerakkan pentadbiran negara ? Pelbagai persoalan berbangkit bagi mereka buta tentang corak pentadbiran negara. Bagi negara kita yang tidak pernah bertukar tampuk pemerintahan, rakyat kebanyakkan mempunyai kesangsian yang amat tinggi tentang kemampuan pihak pembangkang untuk mengantikan kerajaan sedia ada dan seterusnya memerintah negara.

                  Mentadbir sesebuah negara tidak semudah mentadbir sebuah organisasi. Kerajaan yang diberi mandat akan menguruskan dari sekecil perkara seperti memastikan longkang di taman perumahan sehingga kepada dasar ekonomi negara. Mentadbir aset dan wang negara dari nilai satu sen sehingga berbilion ringgit. Mentadbir jentera kerajaan yang melebihi 1.3 juta kakitangan dan lebih 25 juta rakyat. Menjalinkan hubungan diplomatik dan pelaburan dengan beratus-ratus negara. Semua perkara di atas telah dan sedang berjalan sama ada lancar atau sebaliknya. Semua ini digerakkan oleh teknokrat, ahli ekonomi , pentadbir-pentadbir, penjawat awan dan swasta yang sedia ada. 

          Oleh kerana itu sehingga pillihanraya ke 11, mereka tetap memilih kerajaan yang sedia ada. Tidak mustahil mereka akan mengundi untuk membenarkan mandat ini diteruskan oleh kerajaan sedia ada. Parti yang memenangi pada setiap pilihan raya bertanggungjawab terhadap sistem pentadbiran negara dan ekonominya berfungsi . Secara ringkasnya tidak kira siapa memenangi pilihan raya, maka mereka bertanggungjawab menjana pentadbiran dan ekonomi negara agar rakyat hidup sejahtera. Kerajaan yang memerintah hanya boleh menambahbaik atau menukar sistem mengikut keperluan demi kepentingan negara. Perkara pokoknya siapa yang memerintah sistem tetap berjalan. Di sini rakyat yang mempunyai kuasa mutlak mempunyai tanggungjawab untuk memilih pengurus sistem ini. Sama ada masih meyakini peneraju yang sedia ada mempunyai kemampuan untuk membawa kepada kesejahteraan  rakyat kini dan generasi yang akan datang. Atau apakah pihak pembangkang yang sedang bertungkus lumus untuk cuba mengambil-alih bagi mengurus sistem yang sedia ada diyakini dapat melaksanakan sistem yang lebih baik. Semua jentera pelaksana, kewangan dan sebagainya telah tersedia. Sesiapa yang berjaya mendapat majoriti, merekalah yang akan mengurusnya. Apakah kita bersedia mencontohi negara maju yang sering bertukar ganti mengurus sistem di negara mereka? Kesimpulannya, yang mahu diurus sedang menunggu pengurusnya. Kakitangan kerajaan sedia ada akan melaksanakan dasar pengurusnya, dana negara menunggu siapa pemenang yang akan mengurusnya, negara-negara asing sedang menunggu siapa rakan sejawatnya, rakyat sedang menunggu apakah bentuk pengurusan yang akan dilaksanakan oleh pemenang nanti. Kitalah yang mencorak negara kita. Siapa pun pemenangnya kita tetap kita hari ini dan kita keesokan harinya. Jadikan diri kita orang BIJAK.

         

Kewajipan Mengundi Mengikut Hukum Syarak

Oleh Dato’ Haji Harun Taib

Menegakkan Pemerintahan Islam
Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah atau Imaratul Mukminin ataupun al Imamah al ‘Uzma. Ia merupakan sebuah pemerintahan yang berteraskan kepada syariat Islamiyyah sama ada pada perlembagaannya, undang-undangnya, ekonominya dan lain-lainnya. Ia ditakrifkan oleh Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Khaldun dan lain-lain dengan maksud :

”mengalang ganti kenabian dalam urusan menjaga agama dan mentadbirkan dunia dengannya”.

Pengertian ini dibuat berdasarkan kata-kata Abu Bakar Al Siddiq r.a. sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. maksudnya:

”Muhammad sudah wafat, maka agama ini sudah pasti memerlukan orang yang mengurusnya”.

Kata-kata ini terus mendapat sokongan dan persetujuan padu dari kalangan para sahabat yang menghadiri perhimpunan Saqifah Bani Sa’adah yang berakhir dengan pencalonan beliau (Abu Bakar) sebagai khalifah menggantikan Rasulullah s.a.w.

Hukum Menegakkan Pemerintahan Islam
Ramai di kalangan ‘alim ulama’ yang bercakap tentang perkara ini, yang biasa didengari ialah seperti Al Imam Al Mawardi, Abu Yu;la, Ibnu Khaldun, (faqih Siasi), Imam Al Haramain Al Juwaini, (Faqih Ijtima’ie), Imam Al Ghazali, (Faqih Tasawwuf) dan lain-lain lagi. Sebagai contoh kita ambil sahaja kata-kata al Faqih al Ma’ruf Ibnu Hazam Al Andalusi:

”Para ulama’ daripada Ahlu Sunnah wal Jamaah, Al Murji’ah, As Syiah dan Khawarij bersatu pendapat dalam mengatakan bahawa menegakkan Pemerintahan Islam itu adalah wajib, maka seluruh umat berkewajipan melakukan taat kepada Imam yang adil yang menegakkan ke atas mereka hukum hakam Allah, yang mentadbir dan memerintah mereka dengan syariat Allah yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Namun begitu terdapat satu puak daripada Al Khawarij yang bergelar Al Najdat mengatakan bahawa tidak wajibnya menegekkan kerajaan yang serupa itu. Walau bagaimanapun mereka sudah tidak wujud lagi dewasa ini.

Pendapat mereka ditolak oleh Ijma’ mereka yang telah disebutkan itu, lebih-lebih lagi apabila kita dapati Al-Quran dan Al-Sunnah turut menyatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu.

Wajibnya menegakkan Pemerintahan Islam itu berdasarkan Syara’ dan berdasarkan ‘Aqal

Kita telah menyatakan bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu wajib. Apakah wajibnya itu berdasarkan syara’ atau berdasarkan ‘aqal atau kedua-duanya sekali?

Al Mawardi, Abu Yu’la, Ibnu Hazam dan Ibnu Khaldun menyatakan bahawa syara’ dan ‘aqal sama-sama mewajibkan kita menegakkan pemerintahan Islam. Hal ini berdasarkan Al-Quran, Al-sunnah, Al-Ijma dan ‘aqal (logik). Antara lain Firman Allah Ta’ala:

Ayat ini menfardhukan kepada kita mentaati Allah, Rasul dan Ulu Al Amri yang memerintah kita. Rasulullah s.a.w. antara lainnya ada bersabda:

Selain dari Al-Quran dan Al-Sunnah, para sahabat dan tabi’in telah sebulat suara mengatakan wajibnya menegakkan pemerintahan yang serupa itu (Pemerintahan Islam).

Dari segi logiknya pula, manusia itu tidak boleh hidup dalam keadaan porak peranda tanpa tanzim, maka setiap tanzim perlu kepada pihak yang berkuasa, maka yang berkuasa di dalam sesebuah negara ialah pemerintah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

”Jika tiga orang berada dalam pelayaran maka hendaklah mereka melantik seorang ketua”.

Hadis ini menunjukkan bahawa nabi mewajibkan perlantikan ketua dalam kumpulan yang kecil, maka apatah lagi kumpulan yang lebih besar dan tersebar.

Cara-cara Menegakkan Pemerintahan Islam
Sebelum itu, kita telah menyatakan bahawa Pemerintahan Islam itu berbentuk khilafah. Pembentukan dilakukan melalui perlantikan pemimpin tertinggi iaitu khalifah dan khalifah pula akan melantik pembantu-pembantunya sama ada jemaah menteri, ahli syura dan lain-lain.

Dalam keadaan biasa, perlantikan khalifah itu berlaku melalui tiga peringkat pencalonan, penapisan calon dan pungutan suara rakyat yang berhak bersuara. Ia dikenali dengan Bai’ah Ammah.

Hal ini dipetik dari peristiwa perlantikan Saidina Abu Bakar Al Siddiq, di mana beliau dicalonkan dan disahkan pencalonannya di dalam perhimpunan Saqifah Bani Saidah, kemudian selepas itu dilakukan ‘baiah ‘ammah’ di masjid Al Nabawi.

Baiah ‘ammah itu kadangkala dipanggil pungutan suara ramai, kadangkala digelar dengan nama Al Syahadah iaitu para saksi yang juga dipanggil pengundi memberikan penyaksiannya bahawa calon itu adalah layak memiliki syarat-syarat yang dikehendaki oleh Islam.

Kewajipan Ummah di dalam Menegakkan Pemerintahan Islam
Sama ada persetujuan kepada pencalonan yang kita sebutkan di atas dibuat atas nama ‘Baiah Ammah’ atau ‘Al Syahadah’ maka setiap umat Islam yang aqil baligh wajiblah menyertainya. Atas nama baiah ianya wajib kerana bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

”Sesiapa yang mati dan tidak pernah melakukan bai’ah nescaya matinya itu dalam keadaan jahiliyyah”.

Antara maksud lafaz baiah itu ialah:
”Aku memberi baiah kepad kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya”.

Adapun atas nama Al Syahadah, ianya diwajibkan bersandarkan kepada antara lainnya Firman Allah Ta’ala, maksudnya:
”Dan hendaklah kamu persaksikan dua orang yang adil dari kalangan kamu”. (At Talaq:2)

Firman Allah lagi, maksudnya:
”Dan hendaklah menegakkan syahadah semata-mata kerana Allah”. (At-Talaq:2)

Firman Allah Ta’ala lagi, maksudnya:
”Dan janganlah kamu menyembunyikan syahadah dan sesiapa yang menyembunyikannya maka sesungguhnya berdosalah hatinya”. (Al-Baqarah: 283)

Oleh kerana itu para pengundi haruslah mempunyai syarat-syarat yang ada pada saksi, antara lainnya bersifat adil. Mereka memberikan persetujuan kepada seseorang calon itu hanya berdasarkan kelayakan peribadi dan matlamat pencalonan seperti mana hadith Rasulullah s.a.w. yang maksudnya:

”Aku memberi baiah kepada kamu dengan syarat kamu menegakkan kepada kami Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya”.

Mendaftar Diri Sebagai Pemilih
Sayugia diingatkan bahawa menegakkan pemerintahan Islam di Malaysia memerlukan kepada proses mendapat suara majoriti di dalam dewan rakyat atau dewan negeri. Untuk mendapat suara majoriti di dewan rakyat atau dewan undangan negeri mestilah memenangi kerusi terbanyak di dalam dewan-dewan tersebut.

Untuk memenangi kerusi-kerusi yang dipertandingkan di dalam pilihanraya mestilah mempunyai pengundi yang ramai (majoriti). Undi yang serupa itu tidak akan diperolehi kecuali para pencinta Islam layak menjadi pengundi.

Mereka tidak akan layak mengundi (mengikut peraturan yang ada) kecuali mereka didaftarkan sebagai pemilih. Oleh kerana itu dan berdasarkan kepada fakta-fakta yang telah kita bentangkan di atas dan berdasarkan kaedah fiqh:

”Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya maka ia menjadi wajib”.

Maka dengan itu mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam negara Malaysia ini adalah menjadi wajib mengikut hukum syara’.

Kesimpulan dan Penutup
Semua mengetahui bahawa melaksanakan hukum syara’ itu adalah wajib. Ia tidak boleh dilaksanakan kecuali wujudnya kerajaan Islam. Maka mewujudkan kerajaan Islam adalah wajib.

Dalam konteks Malaysia hari ini, proses menegakkan kerajaan Islam dibenarkan oleh undang-undang adalah melalui pilihanraya, maka menyertai pilihanraya untuk tujuan tersebut adalah wajib. Seseorang itu tidak mengundi di dalam pilihanraya kecuali dia adalah seorang yang layak dan berdaftar sebagai pemilih secara sah. Maka mendaftarkan diri sebagai pemilih adalah wajib.

”Sesuatu yang wajib tidak sempurna melainkan dengannya akan ia menjadi wajib”.

Sehari Sebuah Firman-سُوۡرَةُ الرَّحمٰن

 وَٱلۡحَبُّ ذُو ٱلۡعَصۡفِ وَٱلرَّيۡحَانُ .١٢

Maksud:Demikian juga terdapat biji-bijian yang ada jerami serta daun dan terdapat lagi bunga-bungaan yang

harum. (12)

SIAPA YANG KITA UNDI, KENAPA KITA UNDI INI?

Parlimen Bubar Hari Ini Untuk

Pilihan Raya Umum Ke-12

 

Mari Mengundi..Namun Jangan Teruk Sangat Mencaci Hingga Tanpa Batasan

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-12 diadakan.

Beliau mengumumkan pembubaran itu pada satu sidang media di pejabatnya di sini, yang disiarkan secara langsung menerusi RTM1 tengah hari ini.

Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri masing-masing, kecuali Sarawak berkuatkuasa pada tarikh yang sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

Katanya beliau telah menghadap dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pagi ini untuk pembubaran Parlimen ke-11.

sumber : bernama

 


Ulasan UZAR

Dalam kereta tadi sekitar jam 12 tghari, berita IKIM diberitakan bahawa YAB Perdana  Menteri menafikan pembubaran parlimen akan dibuat hari ini dan juga menafikan mesyuarat kabinet hari ini adalah yang terakhir.

Sejam sesudah itu, dalam berita televisyen. Isteri saya menghubungi memaklumkan bahawa parlimen telah dibubarkan hari ini.

Nasihat buat semua rakan-rakan pengundi yang telah berdaftar. Jalankan tanggjung jawab mengundi dengan amanah, dan ingatkan diri bahawa Allah swt sedang melihat siapa yang kita sokong dan pandangan Allah swt lebih utama dari pandangan manusia.

Sebagai pengundi, JAUHILAH SEBARANG JENIS RASUAH POLITIK DARI MANA-MANA PARTI POLITIK JUA, JANGAN KERANA BEBERAPA RATUS RINGGIT ATAU BEBERAPA KAMPIT BERAS, BASIKAL DAN SEBAGAINYA..MENYEBABKAN KITA TERHUMBAN DI DALAM API NERAKA BERTRILLION TAHUN DUNIA. DIAZAB DI BARZAKAH DENGAN AZAB YANG PEDIH. Maintainkan iman di musim pilihanraya … 

Sebagai ingatan semula disertakan satu artikel saya yang disiarkan beberapa tahun lepas, maaf saya tidak sempat mengeditnya.

CIRI UTAMA DEMOKRASI DAN PENDIRIAN ISLAM TENTANGYA

1) Pemerintah dari kalangan rakyat.

Asas ini diterima oleh Islam sebagaimana Sabda Nabi SAW :

خيارأئمتكم الذين تحبونهم ويحبونكم وتصلون عليهم ويصلون عليكم وشرار أئمتكم الذين تبغضونهم ويبغضونكم وتلعنونهم و يلعنونكم

Mafhum : Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu sukai, dan mereka( pemimpin) juga menyukai kamu, kamu mendoakan mereka, begitu juga mereka, manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka juga benci kepadamu, kamu melaknat mereka, mereka juga melaknat kamu” (Riwayat Muslim)

Begitu juga dengan hadith [5] :

ثلاثة لا ترتفع صلاتهم فوق روؤسهم شبرا..وذكر أولهم.. رجل أم قوما وهم له كارهون

Mafhum : “Tiga kumpulan yang tidak diangkat solatnya walapaun sejengkal di atas kepala mereka, …disebut pertamanya, lelaki yang mengimamkan kaum, dalam keadaan kaum membencinya”

 

Jelas dari hadith tadi, Islam juga menitik beratkan kepimpinan rakyat yang disukai oleh rakyat, justeru realiti semasa bagi mengetahui kesukaan rakyat kepada seseorang pimpinan adalah melalui kaedah pengundian.

 

2) Pemerintah bekerja untuk rakyat.

 

Pemerintah bekerja untuk kebaikan rakyat. Ciri ini juga telah diterima oleh Islam sebagaimana konsep kepimpinan dalam Islam, dimana pemimpin hakikatnya menjadi petugas yang bersusah payah bagi kebaikan rakyat. Di sebut di dalam sebuah Hadith :

سيد القوم خادمهم

Mafhum : “Pemimpin kaum adalah org yang berkhidmat (khadam) bagi kaum.” [6]

 

Khalifah Abu Bakar as-siddiq, berkata : Wahai manusia, aku bekerja untuk keluargaku maka aku mencari penghasilan untuk makanan mereka, sekarang aku bekerja untuk kamu, maka tetapkanlah buatku dari Baitul Mal kamu” [7]

Khalifah Uthman ra juga pernah menegaskan bahawa : ” Urusan aku adalah menuruti urusan kamu”

 

Abu Muslim al-khawalani, seorang faqih tabi’ein masuk menemui Muawiyyah ra. lalu berkata :

السلام عليكم أيها الأجير

Mafhum : “Asallamualaikum wahai org gaji”

 

Malah pemimpin Islam bertanggung jawab menyelamatkan rakyatnya dengan memberikan bantuan apabila mereka dalam kesusahan sebagaimana firman Allah dalam ayat 33, Surah al-Maidah. Malah kewajiban utama para pemimpin Islam adalah memberikan nasihat-nasihat keagamaan terhadap rakyatnya sebagaimana disebut di dalam hadith riwayat Bukhari dan Muslim yang masyhur. Tugas mereka juga adalah untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah keburukan dunia dan akhirat dari menimpa rakyatnya.

 

Sabda Nabi SAW :

عن معقل بن يسار قال: سمعت النبي(ص) يقول: ما من عبد استرعاه الله رعية فلم يحطها بنصيحة إلا لم يجد رائحة الجنة

Mafhum : “Tiada seorang manusia pun yang Allah memberikannya kuasa pemerintahan, kemudian ia tidak memberikan nasihat Islam (kepada rakyatnya) kecuali tiadalah ia mendapat cium bauan syurga” ( Riwayat Bukhari dan Muslim ) [8]

 

Sebuah hadith lagi menyebut

الناس على دين ملوكهم

Ertinya : “Sesungguhnya rakyat akan mengikut gaya, cara hidup dan agam pemimpin mereka” [9]

 

Cuma perbezaan terzahir jika dilihat dari cara kerja pemimpin dalam sistem Islam dan demokrasi. Pemimpin dalam system Islam bekerja untuk rakyat kerana Allah manakala pemimpin demokrasi tidak bekerja untuk Allah pada konsep asalnya tetapi bebas menurut pengamal demokrasi tersebut.

 

3) Suara majoriti adalah terpakai.

 

Asalnya Islam tidak meletakkan suara majoriti sebagi pemutus dalam semua pekara. Ia tidak tepakai dalam perkara-perkara thawabit [10]. Perkara thawabit juga tidak boleh berubah menurut zaman dan masa, ia adalah perkara yang mesti dilakukan serta tiada ruang ihtimal. Manakala perkara mutaghayyirat adalah perkara dari Nusus Zanniyyah seperti Nas umum (menurut jumhur), lafaz bersifat Mutlaq terutamanya dalam perkara ijtihadiyyah dan baru [11]. serta perkara-perkara bersifat strategi kepimpinan dan politik yang tiada nas qati’e.

 

Firman Allah SWT :

وإن تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله إن يتبعون إلا الظن وإن هم إلا يخرصون

Mafhum : “Sekiranya kamu mentaati majority di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu, mereka tiada menurut kecuali sangkaan…” ( Al-An’am :116)

 

Justeru, Islam menerima suara majority dalam hal ‘mutaghayyirat’ tetapi dengan syarat-syarat tertentu, menurut keadaan dan maslahat seperti hanya undian di kalangan ‘ ahl al-hal wal al-‘aqd ‘ [12] atau dalam menentukan bentuk-bentuk tindakan dan bukannya bersifat hukum. Juga dalam urusan melantik pimpinan atau juga urusan kemaslahatan rakyat seperti membina lebuh raya dan menetapkan cukai tol.

 

Ini bermakna unsur ini juga diterima oleh Islam, cuma dalam ruang lingkup yang terhad, ini kerana aqal manusia tidak mampu mengetahui seluruh kebaikan untuk manusia, hanya Allah swt yang mengetahui kebaikan sebenar untuk manusia. Perlu di ingat bahawa Allah tidak menafikan fungsi aqal dalam menentukan tindakan terhadap perkara baru selagi mana tidak melanggar nas atau ‘maqasid syariat’.

 

4) Rakyat diberi hak kebebasan sewajarnya.

 

Islam juga mengiktiraf kebebasan individu samada dalam menegur pemerintah, kerjaya yang halal, beragama dan mengamalkan, pemilikan harta dan banyak lagi. Bagaimanapun demi menjaga ketenteraman manusiawi samada rohani dan jasmani maka kebebasan yang dianjur oleh Islam mempunyai batasannya. Secara ringkas batasannya terkandung dalam 5 perkara dharuriyyat [13] :

 

i. Aqidah : Bermakna disekat kebebasan bagi keluar atu menggugat aqidah Islam samada murtad atau memerangi Islam. Juga tidak dibenarkan merosakkan aqidah umat.

ii. Nyawa : Kebebasan Islam tidak membenarkan membunuh tanpa hak, membunuh diri, menyakiti individu lain tanpa hak, maka tidak dibenarkan juga menyerang sesama manusia tanpa sebab.

iii. Aqal : Kebebasan Islam tidak membenarkan umatnya merosakkan aqalnya samada dengan meminum arak, dadah atau apa jua yang memabukkan, tidak juga bebas melihat atau melakukan sesuatu yang boleh merosakkan aqal.

iv. Keturunan/Maruah: Kebebasan Islam juga tidak membenarkan mencabul kehormatan sesama manusia, tidak juga dibenarkan berzina, menuduh zina tanpa saksi, mengumpat, memfitnah, dan mencari-mancari kesalahan manusia.

v. Harta : Kebebasan Islam tidak membenarkan merampas harta, curi, rompak, memeras, menipu, menindas secara riba dan seumpamanya.

 

Lalu, secara teori umum, Islam menerima kaedah ini tapi diperincikan bersama pengecualian-pengecualian demi kemaslahatan manusia.

 

5)Rakyat berhak menegur kepimpinan yang silap serta berhak menjatuhkannya.

Item ini jelas, bertepatan dengan Islam, ia bertitik tolak dari kepimpinan adalah amanah dan tangung jawab, sebarang penyelewengan mesti ditegur oleh rakyat. Rasulullah sendiri menerima pandangan dann teguran para sahabat dalam beberapa persitiwa yang terkenal antaranya, teguran Al-Habbab Ibn Munzir dalam menentukan kubu terbaik dalam peristiwa perang Badar, begitu juga teguran suad dalam kes ditolak dengan busar oleh Rasul dan banyak lagi.

 

Hak teguran ini digalakkan begitu hebat di zaman Khalifah Islam yang pertama Abu Bakar As-Siddiq dimana beliau menyatakan dalam ucapannya yang mashyur[14]:

وليت عليكم ولست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و…أطيعوني ما أطعت الله ورسوله فإذا عصيت الله فلا طاعة لي عليكم

Mafhum : “Sesungguhnya aku hanya dilantik dr klgn kamu, bukanlah aku yang terbaik dr kamu, kiranya aku berada di landasan kebenaran maka bantulah aku, taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dan RasulNya, maka apabila aku menderhaka Allah maka tiadalah wajib lagi taat kepadaku”

 

Islam mempunyai sikap tegas terhadap para pemerintah zalim dan bersifat autokratik atau diktator. Sabda Nabi SAW [15]:

أشد الناس عذابا يوم القيامة إمام جائر

Mafhum : “Sekeras2 manusia yang dikenakan azab di akhirat kelak adalah pemimpin yang zalim”

 

Bagaimanapun rakyat yang ingin menegur pimpinan negara Islam seeloknya menjaga adab-adab teguran yang sesuai tetapi jika ia tidak diendahkan, Islam membenarkan pimpinan tersebut diturunkan kerana ia dianggap kepimpinan negara Islam yang menyeleweng, demikianlah pandangan Syeikh Sa’id Hawwa di dalam kitabnya Jundullah hlm 380. Ulama lain juga menambah bahwa proses menurunkan perintah itu boleh dibuat secara aman. Prof. Dr. Muhd Salam Madkur[16] menegaskan adalah suatu kewajiban untuk menurunkan pemimpin fasiq dengan syarat kita mempunyai bukti tentang kefasiqan serta pemimpin tersebut tidak lagi boleh diberi nasihat. Demikian juga pandangan Imam Abu Hanifah[17], Imam al-Qurtubi[18] , Imam Abu Hamid al-Ghazali[19] (505 H) , Imam as-Syawkani[20] (1255 H) dan Dr. Yusoff Al-Qaradhawi[21].

 

Manakala Abu Yu’la al-Farra al-hanbali [22] menuruti pandangan Imam Ahmad Hanbal yang tidak menentang dan menjatuhkan khalifah Makmun dan Mu’tasim. Imam Al-Mawardi ( 450 H) menyebut dalam sesebuah negara Islam yang menyeleweng seorang khalifah itu boleh diturunkan jika berlaku kezaliman dan fasiq[23].

 

Imam an-Nawawi pula dalam mensyarahkan hadith muslim, “Adapun keluar daripada mentaati pemerintah dan memeranginya (dengan mengangkat senjata bukan pilihanraya dan undi) adalah haram dengan Ijma’ al-Muslimin sekalipun mereka itu fasik ataupun zalim. Ini semua jelas terbukti di dalam hadith-hadith yang memberi maksud apa yang aku sebutkan? Kata para ulama? :” Sebab tidak dipecat dan diharamkan keluar menentangnya adalah kerana membawa kepada fitnah dan tumpah darah dan kerosakan yang nyata, maka menjadikan kerosakan memecatnya lebih besar dari mengekalkannya.?

 

Dalam mensyarahkan hadith lain pula an-Nawawi menyebut: ” Sesungguhnya tidak harus menentang pemerintah hanya sekadar zalim atau fasik selagi mereka tidak mengubah suatu daripada kaedah-kaedah Islam. [24] (Syarah Sohih Muslim oleh an-Nawawi, jld 12)

 

Ad-Dawudi pula menyebut: “yang menjadi pegangan para ulama, mengenai para pemerintah yang zalim ialah sekiranya mereka boleh dipecat tanpa sebarang fitnah dan kezaliman, maka wajib dipecat, jika tidak, maka wajib bersabar” (Fath al-Bari oleh Ibn Hajr al-Asqalani m.s. 498/jilid 14 cetakan dar al-Fikr, Beirut)

 

Ibn ‘Atiyyah pula menyatakan : “As-Syura adalah prinsip syariah, mana-mana pemimpin yang tidak ber’syura’ bersama ahli agama, maka menjatuhkannya adalah WAJIB” [25]

 

Maka kaedah Pilihanraya yang ada pada hari ini tanpa syak lagi, adalah suatu kaedah yang berkesan untuk memecat pemimpin zalim dan mengabaikan tanggung jawab Islam dengan aman, tanpa fitnah dan pembunuhan. Selain itu, wajib pula berusaha mengubah kemungkaran melaluinya.

 

 

Rasulullah SAW juga telah menyatakan keharusan merebut kekuasan dari pimpinan sebagaimana hadithnya :

دخلنا على عبادة بن الصامت وهو مريض قلنا أصلحك الله حدث بحديث ينفعك الله به سمعته من النبي صلى الله عليه وسلم قال دعانا النبي صلى الله عليه وسلم فبايعناه فقال فيما أخذ علينا أن بايعنا على السمع والطاعة في منشطنا ومكرهنا وعسرنا ويسرنا وأثرة علينا وأن لا ننازع الأمر أهله إلا أن ترو كفرا بواحا عندكم من الله فيه برهان

Mafhum : Kami telah berbai’ah kepada Rasulullah untuk dengar dan taat dalam keadaan susah ataupun senang, suka ataupun benci dan (dalam keadaan pemimpin) lebih mementingkan dunia melebihi kami.(Kami juga berbai’ah) untuk tidak merebut kekuasaan dari pemerintah melainkan jika kami melihat ‘Kufr Bawwah’ (kekufuran yang nyata) yang kami mempunyai alasan disisi Allah (kami juga berbai’ah) untuk menyatakan al-Hak dimana saja kami berada dan kerana allah kami tidak takut kepada celaan sesiapa yang mencela. [26]

 

Jelas dari hadith di atas tahap untuk kesabaran dan tindakan yang perlu diusahakan oleh individu Islam terhadap pemerintah mereka yang terang-terang melakukan maksiat serta menggalakkannya. Dalam hal ini, pilihanraya adalah salah satu medan yang terbuka demi menunaikan tanggung jawab tersebut. Saya tidak mengtaakan ianyaa adalah satu-satunya jalan, tetapi ia adalah salah satu jalan yang boleh diguna pakai demi mencapai matlamat besar Islam. Wallahu a’lam.

 

 

 

 

 

sekian

www.zaharuddin.net