Blog Archives

AWAS APABILA MENGUNDI KERANA ALLAH MELIHATNYA

Isu Undi, PIlihanraya & Wakil Rakyat :

Pandangan Ringkas 

Oleh :  Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

 

 

 

PRU Malaysia

 

Pilihanraya  adalah suatu proses meraih sokongan dan keyakinanan rakyat bagi membolehkan seseorang calon dipilih mengetuai sesebuah kawasan-kawasan tertentu atau organisasi-organisasi tertentu, dengannya juga dipilih pimpinan sesebuah negara.

Adakah proses ini terdapat di zaman Nabi s.a.w ? Yang nyata, bentuk yang ada hari ini sememangnya tiada terdapat di waktu pemerintahan Baginda Rasululallah s.a.w.

Namun begitu, ini tidak semestinya menjadikannya sebagai haram, Islam melihat perkara ini kepada maqasid atau maksud sesuatu pelaksanaan itu dibuat.

Ia berbeza dengan hal ehwal ibadat yang tidak perlu dikaji hikmah tersirat bagi sesuatu pergerakan ibadah. Undi dan pilihanraya adalah tergolong dalam bab muamalat ( urusan hubungan manusia dengan manusia ) yang diberikan kelonggaran di dalam Islam yang mana  penentuan hukumnya adalah berdasarkan hikmah dan objektif yang ingin dicapai.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau “Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah” pernah menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir semata-mata. (rujuk bab Kepentingan Maqasid atas Zohir ).   

Pilihanraya

Lalu dalam hal ini, maksud pilihanraya dan undi yang utama adalah proses melantik pimpinan yang diyakini rakyat, dipercayai dan disenangi rakyat untuk diberi tugasan dan amanah pentadbiran kawasan dan negara.

Sikap Islam dalam hal ini adalah jelas membolehkannya kerana ia hanyalah bentuk-bentuk dan alat bagi mencapai Maqasid as-Shariah, iaitu Negara yang mempunyai pemimpin, bukankah mempunyai pemimpin itu satu kewajiban.

Manifesto & Kempen

Rasulullah s.a.w semasa di permulaan dakwah juga melakukan kempen bagi menerangkan kepada rakyat Mekah malah luar Mekah agar meyakini baginda dan seterusnya menganut Islam.  Justeru proses kempen adalah diterima dalam Islam selagi mana ia tidak berbohong melaluinya. Di zaman ini, amat perlu bagi rakyat untuk meneliti manifesto dan bukan hanya terpesona dengan rupa wajah calon bertanding serta kandungan percakapannya semasa kempen.

Manifesto sepatutnya menjadi penentu utama samada kita diharuskan untuk mengundi seseorang calon itu atau tidak. Ia ibarat perlembagaan calon dan parti yang bertanding. Mungkin kita menemui manifesto yang menawan hati namun selepas itu track record serta kemampuan peribadi calon perlu diperhatikan pula.

Tidak wajar juga, untuk kita hanya menilai manifesto serta calon berdasarkan penilaian aqal serta material semata. Kerana sesuatu yang baik di sisi aqal dan mata kita kemungkinan sahaja tidak baik di sisi Allah swt, demikian sebaliknya. Bukalah hati dan iman bagi berperanan menentukan pilihan kita yang amat penting ini.

Memang benar, calon yang berkualiti perlu dititik beratkan, namun dalam konteks Malaysia hari ini, kehebatan calon sahaja tidak cukup untuknya berperanan, kerana ia akan terikat dengan manifesto partinya. Kerana itu, manifesto serta dasar parti perlu dilihat selain kemampuan calon.

Perlu diingat bahawa Islam meletakkan pertimbangan utama undian atau kesaksian tidak boleh kerana selain dari Allah swt sebagaimana firman Allah :

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَن كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا

Ertinya : …persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu karena Allah. Demikianlah diberi pengajaran dengan itu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Barang siapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar. ( At-Talaq : 2)

Selain itu, tidak boleh pula rakyat tidak keluar mengundi sedangkan ia berkemampuan sebagaimana tidak harus saksi-saksi enggan memberikan penyaksian  sebagaimana firman Allah terutamanya apabila diminta untuk membantu proses keadilan dan kebaikan.

وَلاَ تَكْتُمُواْ الشَّهَادَةَ وَمَن يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Ertinya : …dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barang siapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”


Amat jelas serta terang lagi nyata, sikap Islam terhadap penyaksian dalam hal hutang dan lain-lain isu yang berkaitan urusan muamalat sesama manusia (yang meliputi undian dan pilihanraya) adalah HARUS malah mungkin sampai ke tahap wajib menyertainya dan keluar mengundi apabila keengganan itu boleh menyebabkan ketewasan calon yang membawa manifesto yang menjurus ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Penentu peribadi bagi calon sudah tentulah agama, pemikiran dan perjuangan seseorang calon itu. Kita tidak mahu bertanggung jawab kelak di akhirat kerana menaikkan calon yang menyukai kemaksiatan dan kederhakaan kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w menyebut :-

Ertinya : “Orang yang menunjukkan (membawakan) ke jalan kebaikan akan mendapat pahala sebagaimana orang yang melakukannya”

Demikian juga hadis :-

Dari Abu Hurairah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk maka baginya dari pahala sama seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dari pahala orang yang mengikutinya sedikit pun, barangsiapa yang mengajak kepada kejahatan maka keatasnya dosa sama seperti orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan sedikit pun dosa orang yang mengikutinya.
 

Undi kita termasuk dalam kategori hadis ini, jika kita mengundi calon baik dan dasar baik, hasilnya mereka mampu melakukan yang baik, maka kita turut mendapat keberkatan dan hasil pahalanya. Jika sebaliknya, kita juga menanggung akibatnya di barzakh dan akhirat. Berhati-hatilah saudara dan saudari, jangan sampai kita mendapat DIVIDEN DOSA berterusan akibat tindakan kita sendiri, iaitu undi.

Undi

Kaedah mengundi bagi urusan pilihanraya, adalah diterima oleh Islam memandangkan ia merupakan satu perkara baru dalam hal keduniaan serta tiada nas qat’ie yang melarang.

Selagi lagi diingatkan kaedah yang disebut oleh Imam As-Syatibi ertinya :

“Asal dalam urusan mualamat dan adat adalah merujuk kepada ma’ani (maqasid)”. (Rujuk Al-Muwafaqat : 2/302).

Maka urusan hubungan politik seperti pilihanraya ini perlulah dilihat kepada maqasid juga, bukan sekadar berhujjah bahawa ia tiada di zaman Nabi ini.    

Boleh dikatakan secara ringkas, bahawa Islam tiada masalah dalam menerima kaedah baru ini apatah lagi ia tergolong dalam perkara KESAKSIAN. Firman Allah :

وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِّنكُمْ

Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”   

Undi merupakan satu kesaksian rakyat terhadap pemerintah yang dipilihnya untuk kebaikan diri mereka di dunia dan akhirat.

 

Walaupun sistem undian wakil rakyat ini boleh diteruskan, namun bagi memastikan ia menepati kehendak Islam ia perlu diletakkan beberapa syarat dan panduan, agar ia bertepatan dengan Islam sepenuhnya.

Ahli Parlimen & konsep ‘Al-Hakimiah Lillah’ sewajarnya hanya bertindak seorang pimpinan seumpama gabenor wilayah di zaman khilafah Islam.

Dalam konteks zaman ini, ahli parlimen berkumpul di Dewan Rakyat bagi mewakili rakyat dalam beberapa perkara:

i. Menggubal dan memperbahaskan undang-undang baru.

ii.Mengawasi undang-undang yang digubal.Kedua-dua perkara tersebut adalah termasuk didalam tugas pemerintah di bawah sebuah kerajaan Islam.

Sudah tentu gabenor-gabenor wilayah akan bertindak sebagai ‘ahli al halli wal aqd’ iaitu kabinet utama khalifah. Tugasnya juga sama iaitu menggubal undang-undang baru yang tidak ditentukan oleh Allah secara qa’tie dan juga mengawasi undang-undang iaitu amar makruf nahi mungkar.

Cuma titik perbezaan ketara yang WAJIB DIFAHAMI ADALAH, ahli parlimen yang ada hari ini mungkin boleh bertindak menafikan ‘al-Hakimiyah Lillah’ iaitu menafikan kuasa perundangan utama dan asas iaitu hak ALLAH. Sistem inilah yang menyebabkan terdapat para ulama semasa yang mengharamkan penyertaan pilihanraya.

Bagaimanapun Al-Qaradhawi berijtihad menyatakan harus menyertainya bahkan wajib jika dengannya boleh mengurangkan mudharat terhadap Islam.. DENGAN SYARAT HANYA MENGAMBILNYA SEBAGAI ALAT, TANPA REDHA DENGAN SISTEM INI, DAN SENTIASA BERUSAHA AGAR DAPAT MENGUASAI SUASANA PARLIMEN AGAR TIDAK MENAFIKAN HAK PERUNDANGAN MILIK ALLAH. [Min Fiqh Ad-dawlah Fil Islam, Al-Qaradawi)

Jangan Menang Undi, Iman Tergadai 

Selamat menggunakan seluruh pancaindera kita, terutamanya hati, iman, aqal dan minda dalam menentukan pilihan kita, pilihan kita juga adalah untuk menentukan bentuk Negara di masa akan datang serta untuk anak-anak kita yang tercinta.

 

Jangan Menjual Iman Anda Dengan Rasuah Pilihanraya

 

Akhirnya, sekali lagi saya mengingatkan, jauhilah rasuah semasa pilihanraya. Kita tidak mahu musim pilihanraya menjadi asbab seseorang itu terhumban di dalam neraka dengan lebih lama. Disebabkan setiap kali pilihanraya rasuah diberi dan diterima, fitnah menjadi mainan, bomoh dirujuk bagi mendapatkan ‘kuasa luar biasa’.

 

Hasilnya setiap kali pilihanraya berapa ramai yang jatuh syirik, menempah bilik neraka lebih lama dan menjauhkan diri dari Syurga. janganlah jual iman dan nilai diri hanya dengan beberapa ratus ringgit. Fikirkanlah….

 

Sekian

www.zaharuddin.net

18 Feb 2008

Sehari Sebuah Firman-سُوۡرَةُ الرَّحمٰن

رَبُّ ٱلۡمَشۡرِقَيۡنِ وَرَبُّ ٱلۡمَغۡرِبَيۡنِ .١٧

(Dialah) Tuhan yang mentadbirkan dua timur dan Tuhan yang mentadbirkan dua barat. (17)

Sehari Sebuah Firman-سُوۡرَةُ الرَّحمٰن

فَبِأَىِّ ءَالَآءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ.١٦

Maksudnya: Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu,

yang kamu hendak dustakan? (16)

Lihat Orang Arab Suka Makan Budu

Orang Arab make budu dari jiwokelate



Membudayakan tabiat suka membaca

SAYA selalu menyebutkan bahawa berdasarkan nilai, industri buku negara lebih kecil daripada industri ayam pedaging (broiler chicken). Hari ini nilai industri buku negara dikatakan RM1.5 bilion setahun tetapi angka itu banyak dipertikaikan oleh mereka yang terbabit dalam industri sendiri. Apa yang kita tahu industri ayam pedaging melebihi RM2 bilion di negara ini. Tambahan pula industri buku di negara ini banyak tertumpu pada buku yang berkaitan dengan sekolah. Hanya 30 peratus jumlah penerbitan buku di negara ini buku bacaan umum.

Dalam setahun, Malaysia menerbitkan paling banyak 6,500 judul baru oleh lebih 200 penerbit yang dikatakan aktif. China menerbitkan 180,000 judul buku baru setahun, United Kingdom (UK), 160,000 judul, Amerika Syarikat (AS) 60,000 dan Korea Selatan 40,000. Sasaran kita, berdasarkan jumlah penduduk sepatutnya 12,000 judul buku setahun.

Penerbit negara ini yang mensasarkan buku untuk umum biasanya memberikan perhatian pada novel ringan atau buku agama. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain diberikan amanah menerbitkan buku teks sekolah, mengeluarkan juga lebih 300 judul buku umum pelbagai disiplin. Moral ceritanya, bilangan buku untuk negara ini tidak mencukupi dan sasaran untuk memastikan lebih banyak buku dalam kategori buku umum belum dicapai.

Industri buku adalah industri berbilion ringgit di dunia. Hari ini di dunia, sebuah buku baru terbit setiap 30 saat. Lebih 50 juta judul buku terbit sejak terciptanya mesin Gutenberg yang memungkinkan percetakan meluas pada pertengahan abad ke-15. Buku tidak mati kerana TV. Malah pada 1950-an apabila TV mula membuat impaknya, dalam setahun 250,000 judul buku baru terbit di dunia. Pada 2000, sejuta judul buku baru diterbitkan. Hari ini jumlah itu sudah pasti bertambah.Ramai orang meramalkan teknologi komunikasi maklumat (ICT) akan membunuh buku. Memang kesan internet cukup luar biasa. Hari ini ada lebih 203 juta pengguna internet di AS dan 100 juta di China. Di seluruh dunia, pengguna internet akan mencecah setengah bilion manusia atau seorang bagi setiap 12 orang. Sasaran untuk menangani jurang digital oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah 25 pengguna internet bagi 100 penduduk. Kita hanya mencapai tujuh orang bagi setiap 100 orang masa kini.Kesan internet tidak boleh dipandang ringan. Generasi muda tidak mengenal medium lain. Mereka menghabiskan banyak waktu melayari internet. Malah oleh kerana internet, sungai maklumat yang mengalir deras dan tanpa dasar, pelbagai bahan boleh diperoleh melaluinya tanpa perlu ke perpustakaan atau membuka buku. Internet menjadi sumber rujukan utama bagi 80 peratus pelajar di negara maju hari ini. Bukan itu saja, internet menjanjikan perpustakaan digital yang luar biasa kandungannya. Internet juga menjadi wahana pendemokrasian ilmu dengan cara yang cukup luar biasa. Bayangkan Wikipedia, iaitu ensiklopedia melalui talian – pantas, percuma dan terbuka.

Apakah buku dalam bentuk tradisionalnya akan pupus? Apakah buku akan hilang pengaruhnya sebagai sumber ilmu? Sekiranya dilihat daripada kejayaan siri buku Harry Potter oleh penulis JK Rowling, buku nampaknya masih ada tempatnya di dunia. Sejak munculnya Harry Potter and the Philosopher’s Stone pada 1997, sebanyak 365 juta buku dalam siri itu daripada enam judul terjual di seluruh dunia. Pada hari pertama buku ketujuh yang diberi nama Harry Potter and the Deathly Hallows dijual, pembeli merebut 10 juta naskhah buku itu. Buku itu membantu meningkatkan sehingga 25 peratus jualan buku kanak-kanak di UK dan AS.

Tetapi tidak semua penulis bernasib baik seperti Rowling. Tidak semua penerbit mempunyai penulis seperti itu. Setiap penerbit berharap satu daripada 100 judul yang diterbitkannya menjadi buku laris. Di negara ini, sebuah novel yang serius sekiranya dicetak 2,000 naskhah mengambil masa lima tahun untuk menghabiskan stoknya.

Memang terlalu awal untuk mengisytiharkan ‘kematian’ buku, tetapi ada petanda bahawa pilihan baru dalam talian akan menjadi cabaran hebat bagi buku. Secara jujurnya, ramai penerbit akhbar gelisah dengan saingan TV24, akhbar melalui talian dan pengaruh berita ringkas melalui SMS. Malah, hampir setiap akhbar arus perdana mempunyai versi taliannya. Dalam filem Minority Report, pelakon Tom Cruise hanya perlu menyentuh skrin untuk memilih bahan berita yang diperlukannya. Hari ini iLiad eReader memungkinkan hal itu. Akhbar boleh dibaca bukan saja dalam bentuk PDA tetapi melalui ‘tablet’ atau papan elektronik mudah alih.

Mengambil kira waktu membaca yang semakin kurang dan asakan teknologi yang semakin hebat, nasib buku dalam bentuk tradisionalnya kini tercabar. Malah, minat terhadap buku dalam bentuk asalnya menandakan sikap baru pengguna industri ilmu. Hal ini mungkin dikesan oleh penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kebelakangan ini. Mereka mendapati lebih 90 peratus pengunjung ke pesta itu adalah orang Melayu. Siapapun yang mengikuti pesta atau pameran ICT akan sedar bahawa lebih 80 peratus pengunjungnya kaum Cina. Apakah ada peringatan tertentu dalam konteks ini? Bahawa orang Cina memula langkah ke hadapan menyesuaikan diri mereka dengan teknologi terbaru sedangkan orang Melayu masih berpegang pada tradisi menimba ilmu cara lama? Atau sememangnya orang Melayu liat menerima perubahan?

Dalam taklimatnya kepada media baru-baru ini, Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Datuk Noh Omar memohon perhatian media berbahasa Mandarin dan Tamil agar turut memberikan perhatian pada PBAKL yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 4 hingga 13 April depan. Harapan itu nampaknya menggambarkan hasrat penganjur agar pesta kali ini mendapat perhatian kaum lain juga.

PBAKL sudah masuk tahun ke-27 tahun ini. Tidak dapat dinafikan ia menjadi sebahagian daripada kalendar kegiatan perbukuan rantau ini. Berdasarkan jumlah pengunjung, Noh memaklumkan bahawa pada 2007, 1.2 juta orang mengunjunginya. Sasaran tahun ini ialah 1.5 juta pengunjung. Seperti biasa PBAKL akan memuatkan acara ilmunya dalam bentuk Persidangan Antarabangsa Industri Buku 2008 (ICOBI) selama dua hari mulai 4 April.

Kita berharap pertembungan minda ilmuwan, pengarang, penerbit dan pencinta buku dalam persidangan itu akan membuahkan banyak hasil untuk menyemarakkan industri buku negara ini dan serantau.

Nampaknya MBKM dan semua yang terbabit dalam industri buku di negara ini harus berfikir di luar kotak. Industri buku berada di persimpangan. Usaha menyemarakkannya tidak harus dilakukan hanya dengan pesta buku, kempen membaca atau insentif kepada penerbit. Apa yang penting ialah memahami perubahan senario industri ilmu semasa serta tabiat baru pembaca. Hari ini orang masih membaca, cuma mediumnya berbeza. Suatu waktu dulu, pembaca akhbar menghabiskan purata 3 jam 14 minit sehari, hari ini jumlah itu tinggal 20 minit saja.

Generasi muda bukan tidak membaca tetapi mereka ‘membaca’ di layar komputer. Teknologi baru mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi malah berkerajaan. Dunia ilmu tidak terkecuali. Hari ini ada penerbit yang memanfaatkan teknologi terbaru untuk memberikan alternatif pada dunia buku. Novel SMS misalnya popular di Jepun masa ini.

Dunia bergerak pantas. Industri buku harus bergerak sederap dengan perubahan teknologi. Selalunya kelompok tradisionalis dalam industri buku leka dengan kegemilangan silam, enggan membuat anjakan dan selesa dengan kaedah yang sedia ada. Industri buku memerlukan pemikiran baru dan dilihat dari kanta baru. Moga-moga pesta buku kali ini akan menjadi titik tolak penting mengorak langkah pada era kegemilangan baru industri buku negara.

Jikalau tidak industri itu akan ditinggalkan zaman.

Sumber : Rencana Berita Harian -170208

Sehari Sebuah Firman-سُوۡرَةُ الرَّحمٰن

وَخَلَقَ ٱلۡجَآنَّ مِن مَّارِجٍ۬ مِّن نَّارٍ۬ .١٥ 

Maksudnya: Dan Dia telah menciptakan jin dari lidah

api yang menjulang-julang. (15) 

Sehari Sebuah Firman-سُوۡرَةُ الرَّحمٰن

  خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِن صَلۡصَـٰلٍ۬ كَٱلۡفَخَّارِ .١٤

Maksudnya: Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar. (14)