Archive for September 22, 2008

Penyebab Masuk Syurga

Hadith :

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:”Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka.”

(Muslim)

Huraian
Orang yang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Oleh itu mereka tidak pernah berputus harap dari rahmat-Nya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi. Antara syarat-syarat untuk memperolehi rahmat Allah S.W.T sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh al-Dailami dari Ibnu ‘Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud: ” Allah S.W.T merahmati orang-orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup) itu dan istiqamah dalam hidupnya.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Puasa dulu-dulu VII

Pada pagi raya merupakan hari yang tidak sabar-sabar ditunggu. Pada hari biasa memang mandi merupa amalan yang berat untuk dilakukan. Kecuali untuk ke sekolah. Pada hari cuti biasanya amat jarang mandi pagi.Ini kerana untuk mandi kami terpaksa ke perigi yang jaraknya hampir  satu kilometer dari rumah. Satu-satunya perigi yang digunakan oleh lebih sepuluh keluarga (hampir 100 orang). Perigi digali berhampiran tanah lembah untuk mendapatkan air. Sekarang di mana-mana kita gali pun ada air. Yang istimewanya air perigi akan bersuhu suam-suam di waktu pagi dan sejuk apabila tengahhari. Airnya rasa sedikit manis jika diminum. Dulu-dulu air diminum begitu sahaja tanpa dimasak. Sambil mandi kita boleh minum, sambil menyelam di sungai kita boleh minum air, sekiranya kita terjumpa parit atau lopak kita boleh terus minum. Tiada sebarang halangan seperti dewasa ini air terpaksa dimasak dahulu sebelum diminum kerana semuanya tercemar. Orang berada terpaksa membelanjakan beribu ringgit untuk memasang penapis air di rumah masing-masing dan orang kampung terpaksa menghabiskan gas yang banyak hanya untuk mendapatkan air yang bersih. Masalah yang dihadapi ialah untuk ke perigi seawal mungkin dan mengenakan pakaian baru. Kami terpaksa ke perigi bersama abah kerana di pagi yang gelap kami tidak berani ke sana kerana perigi agak jauh dari rumah orang. Biasanya pada pagi raya ramai kanak-kanak akan ke perigi secara sukarela untuk mandi berbanding hari biasa yang mandi dengan terpaksa.Selepas mandi kami berlari ke rumah. Walaupun badan berpeluh kembali kerana berlari dalam jarak yang jauh tetapi pada anggapan kami bahawa yang penting sudah mandi. Bersambung…

Tujuh ibadah terbaik diamalkan akhir 10 Ramadan

Bersama Jakim

Apakah amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan.

Abdul Rahim Bakri
Muar, Johor

Antara amalan terbaik dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan ialah:

  • Melakukan solat sunat Rawatib, Tarawih dan sunat lain.
  • Memperbanyakkan berdoa seperti “Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, maka ampunkan aku”.
  • Membaca, mempelajari dan mengkaji al-Quran kerana hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim menyatakan: “Jibril menemui Nabi Muhammad SAW pada setiap malam Ramadan dan bertadarus al-Quran”

  • Berzikir menyebut nama Allah, firman Allah SWT, “Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam dirimu (hatimu) dengan penuh perasaan rendah hati dan takut dan bukan dengan suara keras pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau sampai dikira orang yang lalai.”(Al- A’raf :205).
  • Memperbanyakkan sedekah kepada kaum kerabat dan fakir miskin. Hadis riwayat Bukhari Muslim menyatakan Nabi Muhammad SAW paling pemurah membuat kebajikan lebih-lebih lagi pada Ramadan ketika Baginda SAW dikunjungi Malaikat Jibril.
  • Beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan kerana ini cara terbaik untuk menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang dilarang, sebaliknya memberi rangsangan untuk melakukan perkara yang disuruh. Diharap dengan beriktikaf akan ditemui lailatul qadar kerana ia berlaku pada 10 malam terakhir. Disebut dalam kitab Fath al-Qadir daripada Aishah r.a. berkata “Apabila masuk 10 hari terakhir Ramadan, Nabi banyak berjaga kerana ibadah, Baginda membangunkan keluarganya mengasingkan diri daripada isterinya.”
  • Qiamullail iaitu bangun beribadat pada malam hari. Kelebihannya seperti difirman Allah Taala bermaksud “Dan bangun pada sebahagian daripada malam serta kerjakan “sembahyang Tahajud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji.” (al- Isra’: 79)
  • Sehari Sebuah Firman – Surah Al Mulk

    أَمَّنْ هَذَا الَّذِي يَرْزُقُكُمْ إِنْ أَمْسَكَ رِزْقَهُ بَل لَّجُّوا فِي عُتُوٍّ وَنُفُورٍ

    Ayat 21. Atau siapakah dia yang memberi kamu rezki jika Allah menahan rezki-Nya? Sebenarnya mereka terus menerus dalam kesombongan dan menjauhkan diri?

    Taubat- Ramadhan Bulan Terbaik untuk Memulakannya

    Hadith :

    Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.”

    Riwayat Bukhari & Muslim

    Huraian
    Pengajaran hadis:
    i) Seorang mukmin yang sedar dan berjaga-jaga tidak akan melakukan kelalaian dan boleh ditipu dua kali dalam perkara yang sama.
    ii) Oleh itu dinasihatkan apabila kita telah terlanjur melakukan dosa, hendaklah kita segera bertaubat (taubat nasuha) untuk tidak melakukan dosa itu lagi kerana seorang mukmin yang sebenar apabila melakukan dosa, dia merasakan seolah-olah berada di bawah bukit, takut bukit itu akan jatuh ke atasnya. Sedangkan orang yang selalu menderhaka (melakukan dosa) melihat bahawa dosa-dosanya hanyalah seperti lalat yang lalu di atas hidungnya.
    iii) Di antara syarat-syarat yang menyebabkan taubat itu diterima adalah:
    a) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta-merta. Contohnya orang yang tidak melakukan sembahyang mestilah kembali menunaikan sembahyang atau orang yang selalu memakan rasuah hendaklah segera meninggalkan amalan keji tersebut.
    b) Menyesali dosa yang telah dilakukan di mana setiap kali terkenangkan dosa yang pernah dilakukan itu dia akan menangis kerana takutkan seksaan Allah S.W.T.
    c) Bertekad tidak akan mengulangi dosa.
    d) Mengembalikan hak kepada yang berhak. Ini adalah kerana seorang yang benar-benar ingin bertaubat, dia begitu mengharapkan agar zaman lampaunya yang dipenuhi dengan dosa dapat dikembalikan dan digantikan dengan kebaikan. Oleh itu jika dia pernah merampas, mencuri atau mengambil hak orang lain tanpa kerelaan dan keizinan tuannya maka hendaklah dikembalikan sama ada ia berbentuk harta benda, wang ringgit dan sebagainya. Namun sekiranya hak itu bukanlah sesuatu yang dapat dikembalikan maka dia mestilah memohon perlepasan (kemaafan) daripada orang tersebut.
    e) Dalam tempoh masa- Iaitu sebelum seseorang itu didatangi ajal di mana pada saat itu taubatnya sudah tidak berguna lagi.

    Puasa dulu-dulu VII

    Aktiviti yang dilaksanakan oleh kanak-kanak semasa puasa. Pada kebiasaan bermacam-macam pujukan untuk kanak-kanak berpuasa. Pada masa dulu tidak ramai kanak-kanak yang sanggup berpuasa penuh sebagai mana kanak-kanak kini yang berjaya berpuasa penuh walaupun umurnya bawah 8 tahun. Bagi yang berpuasa biasanya akan disediakan makanan yang agak istimewa daripada hari-hari biasa. Kanak-kanak yang puasa tidak akan dimarahi walaupun telah melakukan kesalahan. Berbanding bukan bulan puasa sedikit kesilapan akan terus dimarahi.Istimewakan!. Biasanya kanak-kanak yang berpuasa ini akan selalu mandi, berkumur dan mencuci kepala. Faham-fahamlah apabila air melepasi mulut semasa mandi. Gayanya amat lemah seolah-seolah orang sudah seminggu tidak menjamah makanan. Rasanya begitu lama hari tersebut untuk tiba waktu berbuka puasa. Ada yang memujuk ibu agar dibenar berbuka. Bermacam-macamlah pujukan, janji dan tawaran dikemukakan kepada anak-anak ini agar meneruskan puasa sehingga waktu berbuka. Rasa macam raja hari itu apabila berpuasa. Bersambung…

    Hikmah Kewajipan Membayar Zakat

    Hadith :

    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah telah memfardhukan zakat sebagai pembersihan terhadap harta.”

    Riwayat Bukhari

    Huraian
    1. Harta juga adalah merupakan suatu unsur yang memerlukan pembersihan dan penyucian kerana dalam proses mendapatkan dan mengembangkan harta ia sering terdedah oleh perkara-perkara yang syubhat.
    2. Zakat merupakan alat untuk menyucikan harta demi menghindari keburukan dan kejahatan yang terkandung di dalamnya.
    3. Tujuan zakat dalam syariat adalah untuk memenuhi keperluan golongan fakir miskin, orang yang dibebani hutang dan para musafir dan juga sebagai tnjang kepada kemaslahatan kaum Muslimin seperti untuk berjihad di jalan Allah, sebagai sumbangan kepada muallaf yang baru memeluk Islam dan pertolongan kepada kaum keluarganya serta perkara-perkara yang boleh mengukuhkan agama dan kedaulatan negara Islam.
    4. Islam berprinsip bahawa seluruh harta pada hakikatnya hanyalah milik Allah SWT. Manusia adalah ditugaskan untuk memegang harta tersebut dan zakat yang diwajibkan itu berfungsi sebagai satu jaminan sosial dalam Islam.

    Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia