jump to navigation

Meminta Kepada Yang Maha Kuasa June 17, 2008

Posted by CikguMat in : Knowledge , add a comment
Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya: “Bahawasanya nabi s.a.w sering berdoa minta perlindungan kepada Allah Taala dari suratan takdir yang buruk, dari mendapat celaka, dari kegembiraan musuh (kerana penderitaan baginda) dan dari tekanan ujian.”

(Muslim)

Huraian
Senang, bahagia, suka cita, duka cita, kecewa dan sebagainya adalah sesuatu yang biasa dialami manusia. Ketika mendapatkan sesuatu yang menggembirakan dari kesenangan-kesenangan duniawi maka kita akan merasa senang dan gembira. Sebaliknya ketika tidak mendapatkan apa yang diinginkan maka kita merasa sedih dan kecewa bahkan kadangkala sampai putus asa. Akan tetapi sebenarnya bagi seorang mukmin, semua perkara itu adalah baik. Jika kita merasa sedih kerana sesuatu menimpa kita maka mohonlah (berdoalah) kepada Allah S.W.T. Hadapilah kesedihan itu dengan kesabaran dan menyerahkan semua permasalahan kepada Allah supaya Dia menghilangkan kesedihan tersebut dan menggantikannya dengan kegembiraan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sehari sebuah Firman - سُوۡرَةُ لقمَان

Posted by CikguMat in : Knowledge , add a comment

ذَٲلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدۡعُونَ مِن دُونِهِ ٱلۡبَـٰطِلُ وَأَنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلۡعَلِىُّ ٱلۡڪَبِيرُ

Maksudnya:Bersifatnya Allah dengan penuh kekuasa

an dan luas ilmu pengetahuan itu kerana bahawaas

nya Allah Dialah sahaja Tuhan Yang Sebenar-benarn

ya dan bahawa segala yang mereka sembah selain dari

Allah adalah palsu belaka dan (ingatlah) sesungguhnya

Allah Dialah Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha

Besar (kekuasaanNya). (30)

Zikir, doa dan tawakal penawar tekanan perasaan June 16, 2008

Posted by CikguMat in : Knowledge , add a comment

Oleh Noor Shakirah Mat Akhir

TEKANAN perasaan adalah antara penyakit dalaman yang banyak dihidapi manusia zaman ini. Walaupun ia adalah masalah rohani manusia, penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan fizikal lain seperti tekanan darah tinggi, jantung dan sakit kepala jika tidak diatasi segera.

Masalah tekanan yang tidak kritikal masih boleh memberi kesan negatif kepada tingkah laku manusia seperti tidak tenteram, bertindak agresif di tempat kerja atau rumah.

Sebagai manusia biasa, setiap daripada kita tidak mungkin terlepas daripada masalah tekanan. Cuma yang berbeza ialah keupayaan menangani tekanan. Ada yang mampu mengawal dengan baik dan ada yang gagal, menyebabkan kesan negatif terhadap kesihatan, tingkah laku dan psikologi.

Tekanan perasaan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya terlalu memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan cuba mengawal keadaan yang masih belum berlaku. Seseorang yang kehilangan sesuatu atau individu disayanginya dan tidak mampu menerima hakikat itu juga akan merasa tertekan.

Tekanan perasaan juga boleh berlaku apabila wujud konflik antara keinginan diri dan pertimbangan akal seseorang. Contohnya, seseorang yang ingin memenuhi keseronokan dirinya dan pada waktu sama menyedari bahawa dia perlu menerima kebenaran perbuatan itu salah di sisi agama.

Al-Quran memberi panduan kepada kita bagaimana menghadapi situasi sebegini. Kehilangan dalam hidup adalah ujian Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 155)

Mereka yang sabar menempuh ujian akan mendapat ganjaran baik daripada Allah. Sesungguhnya manusia sebagai makhluk tidak memiliki hak ke atas sesuatu hatta hidupnya sendiri. Segala-galanya daripada Allah dan kepunyaan-Nya.

Maka, tidak seharusnya kita menangisi atau menyesali apa yang tidak kita miliki sama sekali. Kita tidak diberi pengetahuan apa yang akan berlaku. Namun, kita boleh merancang, berusaha dan berdoa serta bertawakal.

Manusia berupaya berusaha dalam ruang lingkup takdir Ilahi bersandarkan pertimbangan akal yang waras dengan panduan wahyu Ilahi. Kita boleh memilih mana yang baik dan mengandaikan kesan daripada tindakan perbuatan kita.

Namun, ketentuan mutlak adalah daripada Allah. Oleh itu, usahlah terlalu bimbangkan sesuatu yang kita tidak pasti dan sesuatu yang tidak mampu kita kawal. Kebimbangan sebegini hanya akan memberi lebih tekanan kepada kita.

Sebagai makhluk bernama manusia yang terdiri daripada unsur rohani dan jasmani, kita tidak akan bebas daripada konflik dalaman. Setiap daripada kita dijadikan bersama unsur nafsu yang secara fitrah menyediakan segala macam keinginan.

Semua itu jika tidak dikawal iman dan akal yang waras, sudah tentu akan menjadi kesempatan hasutan syaitan dengan janjinya untuk menyesatkan umat manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Nafsu amarah cenderung kepada keseronokan dan sifat mazmumah yang membawa manusia kepada kehancuran seperti marah, hasad, tamak dan penipuan. Dalam keadaan nafsu menguasai seseorang, hanya kepuasan diri dan keegoan akan bertakhta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musuhmu yang paling utama ialah nafsu jahat yang ada dalam dirimu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Islam memberikan panduan yang sebaiknya dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia dalam usaha mengelakkan dan menghadapi tekanan. Dalam keadaan tertekan dan keresahan menghadapi ujian Allah, perlu lebih banyak mengingati-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)

Seterusnya, perbanyakkan permohonan kepada Allah dan bertawakal kepadanya. Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Ini disusuli semula dengan sentiasa memohon keampunan Allah dan bertaubat daripada kesalahan. Selain itu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah yang kita hadapi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah al-Ra‘d, ayat 11)

Tekanan perasaan sebenarnya berpunca daripada lemahnya daya tahan spiritual dan ketidakseimbangan aspek dalaman kita. Konflik dalaman yang berterusan akan mengakibatkan tekanan bertambah seterusnya melahirkan pelbagai perlakuan salah hingga mengganggu kesihatan.

Kedamaian spiritual hanya boleh dicapai dengan keimanan dan penyerahan diri kepada Allah, ingatan yang berterusan kepada-Nya. Permintaan yang mutlak daripada-Nya serta permohonan keampunan tidak kira ketika senang, mahupun susah membantu menghadapi tekanan.

Menghina Orang Lain

Posted by CikguMat in : Knowledge , add a comment
Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”

Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi

Huraian
i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Memuliakan tetamu June 14, 2008

Posted by CikguMat in : Knowledge , add a comment
Hadith :

Dari abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda:” Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

(Muslim)

Huraian
Tetamu, secara pasti datang dengan maksud dan tujuan tertentu. Dalam konteks inilah Allah dengan tegas membuat pertimbangan yang begitu besar agar memuliakan tetamu dan meletakkan nilainya sama dengan Beriman Kepada Allah dan Hari Kemudian (kiamat). Dengan perkataan lain seseorang itu belum disebut beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, selama ia tidak memuliakan tetamunya. Oleh itu apabila tetamu datang, bagaimana pun bentuk dan rupa tetamu itu, sama ada kaya, miskin, Islam ataupun kafir, Allah memerintahkan kita agar memuliakan mereka. Pernah diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman a.s pernah ditegur oleh Allah SWT, kerana pada saat baginda didatangi seorang tetamu dari kaum kafir, baginda tidak sepenuh hati memuliakan tetamunya itu. Baginda merasa tidak perlu memuliakan dan menghargai tetamunya seperti baginda memuliakan dan menghargai tetamunya dari sesama pengikutnya. ‘Disebabkan ia bukan umatku yang beriman’, begitulah fikir Nabi Sulaiman. Lantas baginda hanya memberinya minum dan bercakap seadanya. Setelah tetamu itu pulang, datanglah malaikat Jibril a.s menyampaikan teguran Allah: “Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu ? Jawab nabi Sulaiman:”Bukankah dia (tetamu itu) dari golongan kafir?” Jibril bertanya:”Siapakah yang menciptakan langit dan bumi ini?” “Allah!” Jawab Nabi Sulaiman penuh yakin. “Siapakah yang menciptakan malaikat, jin dan manusia?” “Allah!” “Siapakah yang menciptakan tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan?” “Allah!” “Siapakah yang menciptakan orang kafir itu?” “Allah!”
“Lalu, berhakkah engkau berlaku tidak adil terhadap ciptaan Allah? Sementara Allah adalah zat Yang Maha Adil?” Nabi Sulaiman a.s terdiam dan terus bersujud.
“Ya, Allah! Ampunilah hamba-Mu yang telah berbuat zalim ini.” Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah:”Wahai nabi Allah, datangilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.”. Bergegaslah Nabi Sulaiman mencari tetamunya tadi. Setelah bertanya ke sana ke mari dan mencari-cari, ternyata, tetamunya itu sudah jauh berjalan meninggalkan kota. Nabi Sulaiman a.s dengan pantas mengejar tetamunya itu. Setelah bertemu, dan dengan nafas yang masih termengah-mengah, baginda berkata: “Saudara, tunggu…!” Tetamu tadi menoleh dan hairan melihat keadaan Nabi Sulaiman. “Kenapa?” “Saudara… sudikah engkau memaafkan perlakuan saya , ketika mana saudara menjadi tetamu di rumah saya tadi?” Orang itu diam. Dalam hatinya, sebenarnya dia merasa wajar diperlakukan seperti itu, kerana dia memang bukan termasuk di dalam golongan pengikut Nabi Sulaiman. Dia tidak menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh baginda. Tetapi dia terus juga bertanya: “Kenapa, wahai Sulaiman?” “Allah menegurku, setelah engkau pulang dari kediamanku.”
“Allah? Siapakah dia?” Tetamu itu bertanya. “Allah adalah Tuhan, Tuhan Kami dan Tuhan Engkau, Yang menciptakan langit dan bumi, dan semua isinya. Dia yang menciptakan malaikat, jin dan manusia. Dia Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya.”
“Lalu, kenapa Dia menegurmu?” “Allah menegurku, kerana aku sudah tidak berlaku adil terhadapmu. Aku tidak memuliakanmu. Allah yang Maha Kuasa selalu bersifat adil terhadap semua hamba dan ciptaan-Nya, mengapa aku berlaku tidak adil terhadapmu?”
“Sebegitukah Tuhanmu wahai Sulaiman, memperlakukan aku, walaupun aku bukan dari golonganmu?” Tetamu itu bertanya penuh taajub .”Iya…! Maafkan sikapku tadi wahai saudara, ampunan Allah tergantung dengan kemaafanmu” Nabi Sulaiman meminta.
“Saksikanlah, wahai Sulaiman! Asyhadu alla ilaa ha illallah, Wa anta Rasulullah!” Orang itu memeluk nabi Sulaiman a.s. Nabi Sulaiman pun memeluk tetamunya itu dengan penuh rasa terharu.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia